Total Pageviews

Sunday, November 29, 2015

Kekuatan Doa

Kekuatan doa. Saya sangat yakin dgn itu.

Pagi2 saya menunggu tren menuju Hukm. Gerimis kecil. Orang banyak meskipun tidak seramai musim sekolah.

Segalanya menjadi cepat hari ini. Saya ke klinik ENT untuk pembatalan temu janji, terpaksa menjawab soal selidik yg panjang dan tebal, mengambil ubat yg sudah bertambah untuk tulang kaki, membayar bil api dan makan kentang sedikit. Onkologis yg cantik dan baik hati itu meriangkan hati.

Seorang pesakit wanita India berkerusi roda, kakinya bengkak. Dia bicara dalam bahasa penjajah, menujukan kerusi rodanya ke arah saya, meminta sedikit wang sebab tidak mampu membayar kos ubat. Malaysia Ku...dan khabarnya harga ubat akan naik lagi. Tamoxifen saya pun kena catu. Kata doktor, bajet sudah kurang. Ada kisah 'off record' juga dgn onkologis comel berketurunan tionghua itu.

Sepanjang waktu saya berdoa untuk Mak. Jika bagus, mudahkanlah. Jika tidak, wujudkan halangan dan minta petunjuk. Saya tidak tahu kenapa saya sangat yakin cyst Mak akan hilang. Rupa2nya memang betul. Hospital mengesahkan yg cyst bersaiz 17cm itu sudah tiada.

Alhamdulillah. Subhanallah. Allah telah angkat kesakitan Mak.

Nikmat Tuhan manakah lagi yang kita dustakan?

Saturday, November 28, 2015

Masih tentang emak

Nama puan ya? Nama samaran? Sedap namanya.

Tanya orang itu. Rasanya bukan orang sastera, mungkin jemputan agensi kerajaan.

Mereka melihat saya berfoto di hadapan gambar pemenang2. Gambar dan nama saya duduknya agak tinggi.

Nama betul. Saya tiada nama samaran, jawab saya. Rasanya ini bukan pertama kali orang tanya saya begitu.Alhamdulillah.

Penat. Akhirnya setelah merata mencari ubat, ternyata sudah kehabisan. Saya kena juga memenuhi apoinmen ke HUKM. Jadi, saya lepaskan si bongsu pulang ke kampung sendirian. Jam delapan setengah malam dia bergerak dan kurang lebih satu empat puluh lima pagi dia tiba di kampung. Sebelum itu kami uruskan kucing2 ke klinik.

Ada berita juga, mak menerima tawaran haji. Saya menulis surat terus kepada tiga menteri. Nampaknya berhasil. Kami berdoa (dan saya merayu yang membaca ini juga turut berdoa) agar mak segera sihat, mempunyai pengiring dan mampu menunaikan haji dengan mental dan fizikal yang bagus.

Mak sudah boleh buang air besar setiap hari. Cuma tidurnya terganggu sebab bimbang. Cuti kakak akan berakhir hujung November. Sudah tentu Mak bimbang. Saya kira tiada orang yang dapat menjaga Mak secekap dan sesempurna kakak.

Saya akan cuba sedaya upaya saya, Mak.

Saya berjanji. Tuhan, permudahkanlah!

Wednesday, November 25, 2015

HSPM 2014

Sebuah piala yang sangat berat dengan tertera logo (?) kerajaan Malaysia, sebuah watikah (?) berisi sijil dan sekeping sampul bertulis “wang tunai” (sebenarnya hanya ada nota sahaja di dalamnya)...saya mengambilnya daripada tangan Menteri Pendidikan Malaysia pada tarikh 25 November 2015 di Hotel Palace of Golden Horses Seri Kembangan. PM yang dijadualkan hadir, tidak hadir. Barangkali beliau ada urusan lain yang lebih penting daripada bertemu para penulis dan penggiat sastera tanah air yang mungkin sebahagian orang menganggap “tiada menyumbang apa-apa” kepada ekonomi negara!

Alhamdulillah. Ini pengikhtirafan tertinggi sastera daripada kerajaan Malaysia. Meskipun saya hanya menang untuk kategori cerpen tetapi mendengar laporan pengerusi panel, terlalu banyak pencalonan untuk kategori cerpen dan puisi berbanding kategori lain. Dalam makna yang lain, Hingyaku diberikan Allah dua peluang untuk menang. Satu sebagai Hadiah Utama Kategori Cerpen HSKU ExxonMobil dan satu lagi untuk anugerah berprestij ini. Barangkali kekuatan Hingyaku adalah temanya, atau gaya tulisnya.

Waktu nama dan gambar saya tertera di skrin besar, saya hanya membayangkan mak yang sedang berjalan naik ke pentas. Saat lampu kamera bergemerlapan, saya juga membayangkan mak sedang tersenyum menerima ucapan tahniah pak menteri.

Saya ditemani pengiring setia, si bongsu. Kami menghadapi perjalanan jauh dari Lenggong ke Seremban, menguruskan kucing-kucing kemudian ke Seri Kembangan dalam pekat cuaca dan lebat hujan. Hati saya kurang keruan mengingatkan mak di kampung dan kakak yang sedikit merosot kesihatannya.

Sesungguhnya hadiah ini untuk mak, guru sastera saya yang terhebat. Meskipun mak tidak sekolah, mak hanya boleh membaca ekoran ketekunannya ke kelas dewasa, tetapi mak adalah “penulis” sebenar sajak Keberangkatan Ayah, sajak Anak Tanpa Rumah, cerpen Hingyaku, cerpen Dingin Bara, sajak Sepatu Hijrah dan sajak Benarlah Katamu.

Terima kasih mak. Tunggu saya pulang menunjukkan piala berat dan plak-plak lain kepada mak.

Tuesday, November 24, 2015

Mak dan semangatnya

Mak tidak tidur 24 jam. Kesejukan. Kami cuba memanaskan badan mak tetapi masih berasa sejuk. Kata mak, bawalah mak ke hospital. Saya tahu fobia mak masih kuat tetapi mak sudah berjanji.

Mak bangun duduk, memakai baju dan lampin sendiri. Kemas seperti biasa. Saya duduk di depan muka mak dan berkata, "Mak mesti bersemangat. Jangan takut. Kita doa yang bagus2. Yang pun berani, Mak juga mesti berani. Semangat!"

Saya mengacungkan penumbuk ke udara. Mak ikut melakukan yg sama.

Saya bergerak balik untuk acara Hadiah Sastera Perdana 2014 yg akan berlangsung di Hotel Palace Of Golden Horses. Saya kata nanti dapat duit, saya belanja Mak lagi. Saya menang bagi pihak Mak. Jiwa Mak yg akan naik ke pentas bersama saya.

Hati saya separuh tertinggal bersama Mak, bersama kakak, kakak ipar dan adik bongsu yg sedang menguruskan Mak. Moga mereka juga kuat. Maklumlah menghadapi kerenah pengurusan hospital luar bandar yang sangat menyakitkan jiwa.

Monday, November 23, 2015

Mak

Kami melalui hari-hari yang sukar. Ada waktunya mak OK dan ada waktunya mak tidak sedarkan diri. Pandangan mata mak kosong. Butir bicaranya tidak jelas. Namun apa yang kami syukuri ialah mak tetap mengaji, membaca ayat-ayat suci dalam keadaannya yang tidak sedarkan diri itu.

Kami membawa mak sekali lagi ke Poliklinik Azhar, menemui Dr Azmi yang memang sudah biasa datang jika kami melakukan “house-call”. Mak demam kuat pada jam 1 pagi. Itulah puncanya kami membawa mak ke sana. Kami juga meminta dilakukan Scan sekali lagi. Meskipun perut mak sudah agak surut, tetapi doktor dapat mengesan cyst berukuran 17 sentimeter. “Jangan letak minyak panas atau menggosoknya di kawasan ini. Kita bimbang jika cyst ini pecah”.

Dan saya bertanya, ke mana hilangnya ketulan keras di perut mak yang membengkak itu. Doktor itu pun tiada jawapan. Allah yang telah menghilangkannya melalui tangan perawat-perawat khususnya perawat di Pengkalan Hulu.

Balik ke rumah, mak tidak sedarkan diri dari selepas Maghrib membawa ke pagi. Semua anak di sisi mak kecuali kakak sulung yang sibuk menjaga cucu kembarnya yang baru lahir dan adik lelaki yang bekerja di Batu Pahat. Mak muntah banyak malam itu, saya fikir kesan ubat. Sebelum ini mak tidak muntah pun.

Kalau mak sudah semakin kurus, demikian juga kami. Kami makan sahaja apa yang ada. Kadangkala tidak makan sehingga tengah hari.

Saya sudah tidak berdoa meminta banyak perkara. Hanya berbaki dua iaitu kesejahteraan anak-anak saya dan yang paling utama memohon dikembalikan kesihatan mak. Kesihatan saya sudah tidak penting lagi.

Mujur tahun ini kami masih ada cuti semester. Ini tahun akhir kami dapat menikmatinya meskipun sekejap-sekejap saya kena balik ke Seremban menguruskan beberapa perkara berkaitan kerja dan peribadi. Dapatlah saya membantu kakak dan adik beradik lain menguruskan mak. Alhamdulillah.

Mak hanya seorang sahaja di dunia sini dan sana. Kita pernah berada dalam perut mak, memakan sebahagian daripada apa yang mak makan, mengganggu tidur mak dengan kerenah kita menendang dan menumbuk dinding perut mak, mengambil separuh upaya mak, menyukarkan pergerakan mak, menyakitkan seluruh kudrat mak ketika meneran untuk melahirkan kita ke dunia ini.

Belum lagi bagaimana payahnya mak membesar dan mendidik kita, menghadapi seribu macam perangai kita yang mencabar sabarnya.

Maka kita bersabarlah dengan kesakitan mak. Mak hanya seorang. Hanya seorang.

Mak...dengan kekuatan semangat terus menyuntiknya ke dalam sanubari kami.

Saturday, November 21, 2015

Sejalur Cahaya Memercik Di Daun

Saya bergerak balik ke Seremban lewat petang Selasa. Sendirian. Rabu saya bergerak awal pagi untuk menjadi hakim Pertandingan Mencipta dan Mendeklamasi Sajak di Majlis Perbandaran PD. Jam 7.30 pagi saya sudah menunggu di dewan yang sangat sejuk. Tiada sesiapa di situ. Acara sepatutnya bermula jam 8 dengan sarapan pagi, jam 8.30 konon majlis bermula.

Saya nampak Puan Mahaya. Beliau antara hakim juga. Kami menunggu dan menunggu. jam 9.30 saya beritahu beliau, “ayuh kita duduk di depan. Nampaknya majlis macam bertangguh-tangguh. Kita sudah didisiplinkan dengan masa. Ini sudah agak lebih”.

Acara bermula. Sajak-sajak yang dicipta berdasarkan tema 5S. Ada yang melucukan juga. Sajak yang kelihatan seperti bukan sajak. Yang dibaca dengan menjerit-jerit. Tetapi tidak mengapalah, sekurang-kurangnya tanpa asas sastera, mereka tetap mencuba.

Jam tiga saya tiba di Seremban. Kepenatan. Esoknya ada majlis jamuan makan tengah hari Kelab Pegawai Pendidikan Kampus Raja Melewar dan mesyuarat jabatan. Mesyuarat berakhir sedikit lewat. Saya perlu bergerak balik ke kampung.

Jam tujuh petang saya memulakan perjalanan dengan Bismillah. Teringatkan pesanan sahabat sejabatan, Tuan Haji Khambali (dia menahan tangis, hatinya luruh kasihankan saya), “dik, boleh tak tolong SMS saya jika adik tiba di kampung. Saya bimbang...” saya mengirim mesej bahawa saya baru hendak memulakan perjalanan dan mungkin tiba sekitar jam 12.30 pagi.

Mujur sahaja cuaca bagus, hanya hujan turun di beberapa tempat setelah saya memasuki sempadan Perak. Akhirnya sekitar jam 12 saya tiba di laman mak. Dua anak saudara lelaki, anak adik saya sedang menunggu di serambi emak. Alhamdulillah.

Ada sesuatu yang menjentik syukur. Bengkak di kaki dan perut emak sudah surut. Hanya tinggal luka akibat kegatalan melampau. Dan kemuncaknya ialah pada Jumaat malam. Mak akhirnya mempu buang air besar setelah hampir tiga minggu terlantar. Petang itu saya beritahu mak, kalau mak dah sihat, mak pergilah ke Mekah sekali lagi. Duit mak ada dan sangat mencukupi. Saya tidak memberitahu jumlahnya. Kemudian kata mak, malam itu selepas Maghrib, mak berdoa dalam hati, sihatkanlah mak supaya mak boleh dapat ke Mekah. Terlena sebentar, tiba-tiba mak rasa perutnya sakit.

Saya dan kakak sudah bernazar, jika usus mak kembali terbuka dan mak boleh buang air, kami akan berpuasa. Tanpa melengahkan waktu, esoknya kami menunaikan niat tiga hari berturut-turut. Tiada perkataan yang dapat menggambarkan rasa syukur atas belas kasihan Allah kepada emak.

Mujur sahaja kami tidak lekas membawa mak ke hospital. Kalau tidak pasti pembedahan yang menyakitkan itu berlaku. Mak merayu agar disembuhkan dahulu luka di perutnya sebelum dibawa ke hospital. Saya yang sudah biasa duduk di wad menjalani pembedahan, sudah biasa juga melihat bagaimana kondisi warga emas yang berjuang untuk hidup selepas prosedur tersebut.

Allah tahu apa yang Dia buat. Dia tahu apa yang terbagus untuk mak.

Meskipun mak masih belum boleh bangun, tetapi saya sedang melihat sejalur cahaya memercik di daun.

Sekarang, emak mahukan ikan seluang @ bunga air. Anak cucu sedang berikhtiar untuk mencari.

Saturday, November 14, 2015

Mak, Bangunlah Untuk Kembali Menjadi Matahari




MM 15/11/2015

Sebentar-sebentar saya mengharungi perjalanan panjang di lebuh raya, kadang-kadang memulakannya pada waktu malam, pertengahan siang atau awal subuh. Saya berulang alik dari Seremban ke Lenggong. Perjalanan enam jam itu menjadi sedemikian singkat dengan doa saya, Ya Allah, Engkau yang berkuasa mendekatkan yang jauh. Doa saya juga semoga si sulung saya yang sudah hamil itu diberi kesejahteraan bersama suaminya. Mereka terpaksa tinggal di rumah saya dahulu untuk menjaga kucing-kucing saya, menangguhkan niat untuk berpindah ke rumah sewa baharu, meskipun kos perjalanan ke tempat kerja Syed agak tinggi dari rumah saya.

Kadang-kadang saya mengharungi perjalanan itu dengan si bongsu dan kadang-kadang sendirian. Kadang-kadang juga dengan ditemani Si Comel, Shiro dan Simba. Allah memelihara perjalanan kami, sesungguhnya begitu. Dengan Axia Advance yang sudah melepasi meter yang sepatutnya diservis, saya nekad. Allah mengasihani saya dan mak. Allah mengasihani kita.

Rabu itu saya bergerak ke Seremban. Dengan si bongsu di tempat duduk penumpang hadapan. Dia tidak sihat, begitu juga saya. Namun saya membawanya juga dengan pesanan Puan Mahaya Mohd Yassin, “bawa adik balik. Untuk semangat. Pandu perlahan...”

Malam itu kami ke Allson Klana Resort. Ada majlis Anugerah Sastera dan Media Negeri Sembilan. MB yang akan menyampaikan anugerah. Saya melihat buku program. Ada tiga pencalonan untuk saya. Kategori Penulis Harapan Negeri, Kategori Cerpen Eceran dan Kategori Puisi Eceran. Saya tidak menaruh harapan tinggi sebab saya bukan anak negeri. Saya hanya menumpang bekerja di NS selama kurang lebih 15 tahun dan bersuamikan anak negeri. Jadi, tanpa persediaan kamera dan sebagainya, saya hanya hadir untuk meraikan majlis. Rupa-rupanya saya memenangi Kategori Puisi Eceran. Keesokan harinya baru saya tahu sajak yang menang ialah Benarlah Katamu yang saya tulis berkaitan dengan kebenaran kata-kata emak suatu saat dahulu.

Alhamdulillah. Meskipun harga hadiahnya tidak lumayan berbanding Hadiah Sastera Darul Ridzuan tetapi saya tetap bersyukur. Maklumlah saya berulang alik saban minggu dengan kos minyak dan tol yang tinggi. Kos ubat-ubatan mak juga memerlukan biaya yang tinggi. Memang perancangan Allah itu sangat hebat. Saya selalu berkata, kemenangan saya adalah rezeki mak, maka keseluruhan hadiah kemenangan saya itu memang telah ditentukan untuk keperluan mak. Alhamdulillah.

Insha-Allah akan ada lagi satu kemenangan hujung November ini.

Dalam kantuk dan penat, saya menulis Mak, Bangunlah Dan Kembali Menjadi Matahari saat saya berada dalam sebuah bengkel OBE di Bilik Seminar. Alhamdulillah pada Ahad 15 November 2015, sajak itu disiarkan oleh MM. Saya membacakan kepada emak dengan suara tersekat. Air mata saya berjuraian di pipi. Moga mak segera bangun. Saya kata, mak kena bangun dan sihat. Supaya mak boleh buat solat wajib dengan sempurna, solat Israq dan Dhuha, baca Quran, rumput-rumput sudah banyak di halaman, Puse tidak susah hati melihat tuannya terbaring, semua orang rindukan cerita mak. Mak angguk-angguk.

Ya, ini memang tahun-tahun saya. bermula dengan beberapa anugerah peringkat negara dan negeri yang saya terima sejak tahun 1990an, 2000 dan 2014, tahun ini saya menerima empat anugerah berkaitan penulisan kreatif. Ada yang di peringkat jabatan, negeri dan kebangsaan. Sebenarnya itu anugerah untuk mak sebab kalau mak yang tidak rajin bercerita kepada saya ketika masih kecil, pasti saya tidak mampu untuk menulis karya kreatif seperti sekarang ini.

Sekarang saya masih di kampung. Membantu kakak saya menjaga mak. Kakak saya itu telah bercuti tanpa gaji untuk menjaga mak. Memang tidak banyak yang dapat saya lakukan sebab saya tidak sekuat orang lain. Saya selalu beritahu mak, saya sudah sihat. Cuba mak tengok saya, saya sudah OK. Tapi mak berkata, “macam mak juga, Yang suka menipu...”

Mak lebih tahu.

Mak, bangunlah dan kembali menjadi matahari kami dan semua yang merindui mak.

Saturday, November 7, 2015

Telor dan Kopiah

Jam 9.30 malam kami bergerak dari kampung. Saya menganggarkan dalam jam 2.30 pagi kami akan tiba di rumah. Masalahnya saya berasa sangat mengantuk, langsung meminta anak berhenti di Hentian Sebelah Simpang Pulai. Saya tidur di situ dan terjaga oleh dengkuran sendiri.

Si bongsu memandu. Saya kurang biasa tidur jika orang lain memandu. Saya bimbang dia mengantuk. Akhirnya ketika melepasi tol Pajam, saya meminta dia berhenti. Saya bertukar ke sebelah tempat duduk pemandu. Mengambil kopiah dan memakaikannya di kepala. Saya tahu agak berisiko jika melalui LEKAS jika melepasi jam 12 tengah malam. Itulah kebiasaan saya sejak anak-anak masih kecil. Maklumlah, anak-anak saya perempuan dan saya juga perempuan. Sudah biasa anak-anak melihat saya melakukan penyamaran sebagai lelaki jika memandu melewati jam tengah malam.

Ketika menuruni lengkungan arah kanan mengikut papan tanda Seremban Kuala Pilah, saya berasa kurang selesa dengan tempat duduk. Saya memperlahankan kereta dengan tujuan mahu berhenti di sisi jalan dan membetulkan tempat duduk.

Tiba-tiba...puuuuukkkkkkkkkkk! sesuatu yang kuat mengenai cermin kereta di sisi si bongsu. Saya menoleh. Saya fikir bila masa pula si bongsu saya membeli tin air gas? Tiba-tiba dia menjerit, “ibu teruskan. Telor. Jangan berhenti!”

Saya memecut laju bimbang jika ada yang mengekori. Sambil membaca doa-doa perlindungan, saya meluru membelah kesunyian LEKAS. Ya, barangkali disebabkan doa-doa yang dibaca sebelum perjalanan menyebabkan tembakan telor itu tersasar ke bahagian cermin tepi penumpang hadapan, bukan di skrin depan pemandu. Walhal, pihak yang berkenaan boleh sahaja menembak terus ke skrin hadapan sebab saya memandu dengan sangat perlahan. Itu modus operandi yang sudah sangat popular. Tembak telor ke skrin depan, biasanya pemandu akan membuka viper (yang sebenarnya akan menyebabkan putih telor menghalang penglihatan pemandu) langsung memudahkan si penjahat datang dan melakukan rompakan.

Saya berasa lega ketika tiba di tol Ampangan. Alhamdulillah. Dengan kelajuan yang sama, saya menuju ke Jalan Pantai. Ada sekatan polis. “Kenapa laju ni?” tanya seorang pegawai. Saya pun menceritakan hal yang berlaku. Dia meninjau kawasan yang menerima balingan telor. “Saya tak pernah tengok macam ni lagi...” katanya berulang kali. Dalam hati saya berbisik, “tak rajin membaca ke apa polis ni? Takkan tak pernah tahu ada penjahat yang gunakan teknik balingan telor itu”

Setelah itu saya terus menuju ke rumah. Tiba-tiba si bongsu ketawa terbahak-bahak sambil menunjukkan atas kepala saya. saya meraba kepala. Aduhhhhh...kopiah itu!

Patutlah polis tadi asyik mengulang kata yang dia “tidak pernah lihat macam ini”. Rupa-rupanya dia pun keliru saya ini mak cik atau pak cik! Hahahaha...

Sampai di rumah sekitar jam 3.30 pagi. Saya terus membersihkan rumah, merawat Comel yang kurang sihat. Saya tidak tidur, sebaliknya terus ke pejabat. Melakukan sedikit kerja sebelum menguruskan hal-hal peribadi. Jam 7.30 malam saya dan si bongsu bergerak ke Rumah Pena KL untuk majlis pelancaran Kumpulan Puisi Pelabuhan Matahari oleh ITBM-PENA. Dengan suara serak, saya membaca puisi Ibuku Perempuan Biasa Yang Luar Biasa, dengan wajah mak yang muncul di mata dan hati. Saya beritahu kawan-kawan bahawa saya akan bergerak balik lagi ke Perak untuk membantu kakak dan adik beradik lain menjaga mak. Pyanhabib meminta saya awas di sekitar Tanjung Malim ke atas sebab ada modus operandi lain seperti meletakkan tayar-tayar di atas jalan raya dengan tujuan rompakan.


Wednesday, November 4, 2015

Matahari Kami

Perut mak buncit dan keras dalam masa dua hari. Mak tidak membuka mata. Kami memanggil doktor ke rumah. Kami juga mengusung mak ke klinik untuk melakukan scan. "Masalah rahim bengkak, maaflah sebab mesin ini agak ketinggalan. Tapi saya syorkan bawa opah ke Hospital Ipoh, bukan ke Hospital Taiping. Komunikasi di Hospital Taiping kurang bagus. Saya pernah kerja di sana dan sebab itulah saya lari..." Doktor perempuan muda itu memberitahu. Orangnya bagus. Dia menulis surat rujukan dengan catatan URGENT di sampul.

Risikonya? Ya, dengan beberapa orang doktor saya bertanya. Risikonya ada dan banyak, demikian mereka menjelaskan. Faktor usia mak dan sejarah kesihatan. Mak ada sedikit kencing manis dan darah tinggi. Hospital mesti melakukan pembedahan, mesti kena suntik ubat penahan sakit. Saya berfikir lama. Bukan saya anti hospital. Hospital pun sudh menjadi rumah kedua saya tetapi mak sudah berusia. Saya tahu jika kita sudah menyerahkan mak ke hospital, kita tidak boleh lagi campur tangan terlalu banyak. Kita tidak boleh menjaga mak serapi kita menjaganya di rumah.Hanya seorang atau dua orang anak atau menantu perempuan yang boleh duduk di sisi mak. Kalau di rumah, anak lelaki dan cucu lelaki mak ada untuk mencempung mak ke bilik air. Mak keseganan kalau bukan anak-anak perempuannya yang menyalin kencing.

Saya bersetuju untuk menghantar mak menjalani rawatan alternatif di Pak Andak Pengubat Kanser di Gerik. Kami terpaksa meminta bantuan bapa tiri dan emak kepada Pak Andak sebab Isnin dan Selasa, pusat rawatan itu bercuti. Sampai di sana, kami disambut dengan wajah masam isterinya. Barangkali kurang senang sebab cuti mereka diganggu. Malam itu mak mengalami kesejukan yang sangat teruk. Mak pengsan. Semua ahli keluarga membaca Yassin. Hari Rabu sekali lagi kami membawa mak. Alhamdulillah abang ipar saya berjaya mendapatkan nombor giliran kelima. Menurut abang sulung saya, ada pesakit dari Pulau Pinang yang datang dengan ambulans.

Kali kedua berubat, mak boleh tidur sedikit tetapi menjelang tengah malam, mak tidak lena. Mak tidur duduk. Menurut Pak Andak, mak ada masalah rahim, sama seperti yang dikatakan oleh doktor.

Saya bukan jenis yang yakin dengan perubatan alternatif tetapi Allah sedang menegur saya. Rawatan perubatan moden pun bukan bagus, dipenuhi bahan kimia yang memberi kesan jangka panjang seperti yang sedang saya hadapi sekarang. Kami melakukan apa sahaja untuk mak. Dari unit kecemasan klinik kerajaan sebanyak beberapa kali, dengan klinik swasta, dengan segala perubatan herba dan segala-galanya. Kami juga meminta jemaah membacakan Yassin. Anak menantu dan cucu sentiasa di sisi mak, membantu dengan cara masing-masing.

Mudah-mudahan mak semakin bagus. Saya kata kepada mak, mak sudah lihat hasil didikan mak. Anak-anak, menantu dan cucu semuanya menjaga emak dengan baik. Kami bergilir-gilir membaca Yassin dan berzikir. Saya tanya mak, apa rahsianya. "Mak bagi makan daun-daun kayu saja kepada anak-anak. Mak dan ayah bukan orang senang..."

Namun saya tahu semuanya berpunca daripada keberkatan. Tangan mak yang memasak, bukan seperti saya yang membawa anak makan di restoran. Air susu mak yang kami minum, bukan susu formula seperti yang saya suap ke mulut anak.

Pagi ini matahari bersinar di ufuk. Memberikan kami segunung harapan. Matahari kami. Tetamu yang membanjiri rumah silih berganti menyebabkan mak selalu mengingatkan kami dalam kesakitannya, "bancuh air, bagi makan orang datang. Jangan bakhil..."

Itulah mak. Manusia yang sangat pemurah meskipun pada saat sedang bertarung dengan kesakitan!