Total Pageviews

Tuesday, October 30, 2018

TULISAN PENYAIR DJAZLAM ZAINAL PADA 17 SEPTEMBER 2018

BENARLAH KATAMU - KATA-KATA YANG TAK PERNAH BERHENTI

Nama Ratna Laila Shahidin antara nama yang tidak boleh dipisahkan daripada dunia puisi tanah air. Penglibatan beliau sejak pertengahan tahun 1980-an sehingga kini adalah jangkamasa yang sangat mematangkan beliau sebagai penyair. Mendapat pendidikan di MGS Ipoh (1979-1983), SMK Cliffiord Kuala Kangsar (1984-1985) sebelum ke Universiti Malaya dalam jurusan Penulisan Kreatif dan Deskriptif (1986-1988) serta Sarjana Sains Pengurusan di Universiti Utara Malaysia (1997-1998) Ratna pernah bertugas sebagai wartawan di majalah Sarina, editor buku sastera di Fajar Bakti, guru sekolah menengah, pensyarah Kolej Matrikulasi dan berakhir sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu Institut Pendidikan Guru, Kampus Raja Melewar, Seremban. Sejumlah karyanya telah memenangi hadiah karya Malaysia. Ratusan puisinya diterbitkan di pelbagai jurnal penerbitan di Malaysia. Selain puisi, Ratna juga menulis cerpen dan skrip drama pentas.

Benarlah Katamu (UUM, Sintok, 2016) merupakan kumpulan puisinya yang kedua selepas Pelabuhan Matahari (ITBM, 2015) Kumpulan ini sarat dengan pemikiran, saranan dan peringatan mengenai dunia keluarga, ketuhanan, alam sekitar, kemanusiaan, kasih sayang dan lain-lain. Sajak yang diangkat menjadi judul kumpulan ini memaparkan pengakuan tulus seorang anak yang telah menjadi ibu, akan kebenaran kata-kata ibunya terdahulu.

terperangkap di jaring hujan
dan ribut kehidupan
aku terkenang katamu
puluhan tahun dahulu

"setelah menjadi ibu
kau akan tahu
putih kasih mak
sonder syarat dan sebab"

Banyak sekali puisi yang mengangkat tema kekeluargaan. Selain puisi yang didedikasikan kepada ayah dan ibu, puisi-puisi nasihat kepada anak-anaknya, Atika Laila dan Atira Laila juga diciptakan;

telah kuciptakan sebuah lagu
dan kutiup harmonika cinta
bacalah lirik yang kutulis
terjemahkan dengan tulus dan manis

jangan lekas melatah
jika ada irama yang sumbang
atau perkataan yang kurang

ibu hanya mahu meniup
dan melagukannya
dengan cinta

Begitu juga dengan sajak Atika Laila, Saat Kusebut Namamu (hal.53)

engkau gadis kurus kecil
yang tak diam dengan ujian
tetapi engkau juga tidak pernah diam
untuk menjadi teguh
dan berani
menentang payah

saat kusebut namamu
hatiku rindu

Ratna dapat menyampaikan maksud sajaknya ke jiwa pembaca. Apatah lagi pembaca yang kenal dengan diri penulisnya. Liku-liku kehidupan mencabar telah menjadikannya seorang penyair pejal dan keras dengan semangat.

Ratna banyak mengutip pengalaman hidup getir keluarganya. Hidup dalam perkampungan yang serba kekurangan tidak mematahkan semangatnya mencapai cita-cita. Beliau akhirnya dapat belajar di menara gading dalam bilang kreatif sastera. Mulai dari situ beliau telah menulis puisi. Sehingga puisinya bukan hanya mainan kata-kata seperti yang dituliskan dalam prakatanya, menulis sajak seperti menikmati kehidupan yang di dalamnya terkandung segala rasa. Segala rasa itu pula terhasil daripada proses adunan emosi, ketepatan pemilihan diksi yang menzahirkan makna, gaulan pemikiran dan sukatan ritma yang akhirnya melengkapkan resepi sebuah sajak...

(II)

Tentang dunia dan kematian, banyak juga disentuh oleh Ratna. Misalnya dalam sajak Dunia Yang Renta (hal.44)

...
kita pun membaca tanda
matahari menjadi semakin dekat menghangat
hujan lebat di luar musim
taufan bertukar menjadi gelombang
bumi berlipat dan merekah
manusia dan haiwan
sering bertukar peranan

Tentang kematian;

engkau tidak mendengar lagi, sahabat
tidak juga kau dapat membaca
puisi-puisiku
kerana sempadan takdir
telah membawa kau jauh menyendiri
ke wilayah sunyi

(engkau tidak mendengar lagi sahabat, hal. 38)

Dalam Keberangkatan Ayah (hal.55) Ratna menulis;

saat itu ayah pun berangkat
dengan mata pejam dan wajah tenang
meskipun selaut sedih bergelombang di dada
kami akur juga akhirnya
kecintaan-Nya melebihi segala cinta

Begitu pula sajak Jika Nanti Tiba Waktunya (hal. 54)

sebenarnya tiadalah
yang lebih mengejutkan
daripada kematian
meskipun kematian itu
adalah kebiasaan
dan lawannya kehidupan
setelah itu kita kembali terlupa
sehingga dikejutkan lagi
oleh sederetan kebiasaan
sementara kita menanti giliran
menuju ke akhir jalan

Dalam Keberangkatan Murabbi Sejati ditulis;

wahai
setelah selamanya engkau berpeluh
dengan urusan Tuhanmu di dunia
sekarang baringlah dengan gembira
di atas kasur cinta yang kau impi

selamat berangkat murabbi sejati
ke sisi Dia yang kau rindui

Kematian mengesani seluruh pemikirannya. Apakah kerana usia dirinya yang sedang meningkat tua atau pun kerana kematian mendatanginya berjela-jela. Ia ditandai begini;

banyak yang memberi tanda
seperti memutih hitam rambut
berulangan disapa perit sakit
hati menjadi rapuh
mudah patah dan jatuh
pantang tersentuh

Menjadi tua memang menakutkan. Namun bagi mereka yang sedia menghadapi hari tua, setiap bekalan yang disediakan akan menjadikannya sebuah pengharapan. Pesanan Untuk Mar ini menguji;

bangunlah berdiri
dan belajar jadi berani
melangkah pergi
tanpa perlu berpaling
meskipun yang kau dengar itu
mendayu merdu seruling
merayu di cuping

Rata-rata puisi Ratna sonder bahagia. Kegelapan dan kesenduannya merajalela....

(III)

Lenggong, sebuah bandar di utara negeri Perak kira-kira 100 km dari Ipoh. Ia diapit oleh bandar Grik, empangan Temengor, Lawin, Kota Tampan dan Banding. Lenggong masih diseliputi hutan rimba dan ladang kelapa sawit yang luas. Terdapat penternakan rusa, lembu dan kambing di sini. SMK Dato Ahmad merupakan sekolah tertua di daerah Hulu Perak.

Lembah Lenggong telah diwartakan sebagai tapak arkeologi. Tapak-tapak arkeologi yang penting termasuk Kota Tampan, Bukit Jawa di kampung Gelok dan Kampung Temelong. Penemuan bahan-bahan arkeologi yang terkenal ialah Perak Man, rangka manusia purba berusia lebih 11,000 tahun pada tahun 1990. Lembah Lenggong diwartakan sebagai satu daripada Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2 Julai 2012. Pada 2014, ditemukan pula rangka wanita purba berukuran tinggi 148 cm berusia 40 tahun di Teluk Gua Kelawar. Lenggong terkenal dengan ikan pekasam (ikan air tawar) yang diperam bersama garam dan beras bakar) di dalam tempayan selama 2 minggu, kebebe (rojak tradisional) dan daging masak hitam. Di daerah inilah penyair Ratna Laila Shahidin dibesarkan.

Maka terciptakan puisi-puisi seperti Belajar Menjadi Tabah (hal. 3)

mereka telah lama menganyam baju tabah
sehingga ujian menjadi seperti lintasan kilat

Juga Tahun Baharu Telah Membuka Pintu (hal.4)

tiada yang lebih diharap
selain tanah akan kembali basah
yang hilang akan bertamu
pohon kembali tumbuh
sentosa menyapu angin
yang bertiup perlahan dari gunung

Juga tergambar dalam Penjara Tanpa Dinding (hal. 9)

telah lama dia berdiam di situ
di atas lantai keras dan dingin beku
menjadi terlalu biasa dengan ruang tidak berdinding
tanpa besi berjaring
dia masih terus di situ
antara pasrah dan sabar
mengunyah hati sendiri

Puisi bukan sekadar alat pengucapan sosial, tetapi sebagai satu penemuan peribadi dan suatu kerja seni yang khusus untuk kesempurnaa penciptaan dan bukan untuk kegunaan di luar dirinya semata-mata. Ia menjadi wadah indah untuk melahirkan ide, perasaan, cita-cita, kebenaran pengalaman manusia dan bukan sekadar masalah masyarakatnya.

Beberapa puisi menunjukkan Ratna mengambil situasi diri dan keluarganya untuk memperlihatkan keadaan sebenar masyarakat. Yang demikian, pengalaman peribadi telah bertukar menjadi pengalaman sesama dalam satu kitaran kehidupan manusia.

Demikian Ratna menawarkan pemikiran dan kesenjangan kehidupan yang diakrapi dari alam sekitarnya....

(IV)

Kita menemukan dunia yang suram dalam puisi-puisi Ratna. Apakah memang kesuraman itu menarik pemerhatiannya. Dari Jendela Lantai Delapan Belas, Ratna menulis;

kota ini menjadi begitu kecil
dengan putih asap yang meluru
dari serombong kilang
dan menebalkan debu
di bumbung-bumbung kereta

Atau Puisi Seorang Isteri;

aku harus belajar
menyekat tebing amarah
daripada sering
menghumban puing
ke muara mesramu

Juga puisi Namanya Guru;

jangan sebab ada nila
yang tumpahnya setitik
habis semuanya terpalit
dengan sinis pandangan
lantas merendahkan martabat
pendidik umat

Memang tidak ada puisi yang menggembirakan dalam kumpulan puisi ini.

bersambung...

Sunday, October 28, 2018

BIODATA HAJAH RATNA LAILA SHAHIDIN

* Maklumat sehingga Oktober 2018
* Tujuan: untuk rujukan para siswa kesusasteraan yang selalu mencari bahan tentang saya. Moga dapat membantu kalian.

Lahir pada 20 Mac 1966 di Lenggong Perak dalam keluarga petani yang miskin. Anak keempat daripada enam beradik, tiga lelaki dan tiga perempuan. Ayah bernama Haji Shahidin Haji Mat Dom dan emak Hajah Absah @ Mariam Shary. Bersekolah rendah di SKBB Lenggong dan menjadi pelajar terbaik Peperiksaan Penilaian Darjah Lima 1978, mendapat tawaran Rancangan Khas di MGS Ipoh dan pengajian tingkatan enam di Clifford School K.Kangsar (sepatutnya ke Anglo Chinese School, Ipoh). Pelajar terbaik STPM jurusan sastera daerah Hulu Perak tahun 1985 dan menerima anugerah daripada YAB Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu, Encik Ghaffar Baba (Tun). Siswa terbaik Jabatan Penulisan (Kreatif dan Deskriptif) Universiti Malaya dan memperoleh Hadiah Buku Universiti semasa konvokesyen pada tahun 1989.

Pernah menjadi pengasuh bayi di Kuala Kangsar ketika menunggu tawaran ke universiti. Pernah menjalani latihan wartawan penyiaran di Unit Berita Radio RTM KL, editor sastera Teks Publishing, wartawan majalah SARINA di Amir Enterprise, Editor di Fajar Bakti Sdn Bhd, guru sekolah menengah di KL, Perak dan Negeri Sembilan, serta pensyarah di Kolej Matrikulasi NS. Kerjaya terkini pensyarah Jabatan Pengajian Melayu Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Negeri Sembilan, Malaysia.

Memperoleh Sarjana Muda Sastera Penulisan Kreatif & Deskriptif Universiti Malaya (1989), Diploma Pendidikan Bahasa Melayu Institut Bahasa Kuala Lumpur (1991) dan Sarjana Sains Pengurusan Universiti Utara Malaysia (1999).

Memenangi beberapa anugerah di peringkat negeri dan kebangsaan dalam genre puisi, cerpen, skrip drama pentas dan buku puisi. Antaranya Sayembara Hari Guru Negeri Perak 1997 Kategori Puisi dan Drama Pentas, Hadiah Utama Kategori Puisi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2000, Hadiah Sastera Darul Ridzuan IV 2014 Kategori Puisi, Anugerah Sastera & Media Negeri Sembilan 2015 (Kategori Puisi). Anugerah Sastera & Media Negeri Sembilan 2017 (Kategori Buku Puisi: Benarlah Katamu & Kategori Puisi Eceran Terbaik), Anugerah Kecemerlangan Melewar Kategori Penerbitan Kreatif/Penulisan 2014, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil 2014 (Hadiah Utama Kategori Cerpen & Kategori Puisi), Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014 (Kategori Cerpen). Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2016 (Kategori Puisi), Hadiah Karya Darul Ridzuan V 2016 (Kategori Puisi & Kategori Cerpen).

Sajak Keberangkatan Ayah yang memenangi Hadiah Utama HSKU 2000 telah dijadikan bahan dalam buku Madu Ilmu untuk subjek Kesusasteraan Melayu SPM pada tahun 2000-2005.

Blogger di ibubungamatahari.blogspot.com, ikut mewakili Malaysia dalam 33rd World Congress of Poets 2013, Festival Puisi & Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor sejak 2010 dan Temu penyair Asia Tenggara 2018 . Menulis dalam genre puisi, cerpen, novel, skrip drama pentas, skrip drama radio dan buku akademik. Memiliki dua kumpulan puisi Pelabuhan Matahari (ITBM, 2015) dan Benarlah Katamu (UUM Press, 2016), Novel Suci (LEPAS, 2015). Karya diterbitkan dalam 50 buah antologi, selain karya eceran di media cetak dan radio (skrip drama dan puisi). Buku akademik antaranya Kebudayaan Melayu (Penerbit Multimedia), Kesantunan Masyarakat Malaysia (Penerbitan Multimedia), Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak (Sasbadi). Juga menjadi penyelenggara kepada beberapa buah antologi, antaranya antologi puisi Lautan Bukan Pemisah (usahasama antara siswa IPGKRM dan siswa Universiti Islam Sumatera Utara).

RLS juga penerima Anugerah Cemerlang dalam perkhidmatan awam sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2004 dan 2016. Pernah juga dianugerahkan sebagai Tokoh Pensyarah Kreatif dan Inovatif IPGKRM pada tahun 2016.

Mempunyai dua anak perempuan yang berusia dua puluh delapan dan dua puluh enam serta seorang cucu perempuan. Merupakan pencinta haiwan dan memiliki kucing angkat sebanyak tujuh ekor yang dipelihara seperti anak sendiri.

RLS juga seorang “cancer survivor”.

Saturday, October 27, 2018

IMITASI DAN KAYYISA

Saya berdoa terus agar Kayyisa menjadi muslimah yang baik.

Dia sibuk juga kalau lihat saya memakai telekung. Jika terdengar azan dari surau berdekatan, dia akan segera menyebut, “Allah hu Akbar, semayang semayang…” dalam pelat kanak-kanak berusia dua tahun enam bulan. Telekong yang saya beli di Bukit Tinggi, Sumatera itulah yang dipakainya. Solatnya sekejap saja, selebihnya dia bermain-main. Jika solat, dia berbunyi-bunyi sedikit gaya orang membaca surah.

Malam tadi, saya terdengar Kayyisa seperti sedang mengaji. Bunyi dia membaca Bismillah dan menyebut Yassiiiiin. Saya mengintai ke dalam bilik. Dia sedang menghadap dinding. Satu demi satu novel berbahasa Inggeris mamanya diambil. Dibuka, baca Bismillahirrahmanirrahiiimm… yaaaasiiiiinnn. Kemudian mengambil buku itu, menjunjung, mencium dan meletakkan ke dada. Diambilnya buku lain dengan perlakuan serupa.

Imitasi daripada apa yang dia selalu nampak saya lakukan.

Saya mengajarnya membaca sebuah buku bertajuk Si Cantik dengan menukarkan watak-watak kepada dirinya, mama, papa dan maksu. Dia seorang yang kuat ingatan. Kadang-kadang saya mendengarnya membuka buku tersebut dan meniru gaya suara saya atau aksi lain yang saya lakukan semasa membacakannya buku tersebut.

Imitasi. Dan saya bimbang juga dia meniru perlakuan-perlakuan negatif daripada kami, orang-orang dewasa yang tinggal bersama-samanya.

Wednesday, October 17, 2018

BF Saya Pun Berkahwin

Tarikh itu 9.9.18 Ahad puteri bongsu saya pun diambil orang. Saya sangat sedih.Sahabat baik saya yang selalu mengekori saya ke acara sastera sehingga dikenali rakan-rakan saya, telah rasmi menjadi suri.

Saya pulang ke kampong agak lewat. Beberapa hari sebelum pulang, saya ke TPG untuk mengambil dua ekor kambing baka Bor (saya tidak tahu ejaan ini betul atau salah). Saya fikir kambing-kambing itu telah disembelih. Rupa-rupanya sangkaan saya salah. Seekor disembelih dan seekor lagi masih hidup.

Macam mana nak bawa, kata saya. Wak Jenal ketawa. "Dalam keretalah,"katanya lagi. Gila! bisik hati saya. Kalau saya cakap dia gila, nanti tidak jadi pulak kambing itu ditaja hahaha. Maka, saya yang tidak sanggup melihat haiwan terseksa, masuk ke dalam rumah untuk menjaga bayi Wak Jenal yang baru berusia sekitar sebulan lebih sedikit. Wak Jenal (yakni ayah kandung anak saya) dengan isterinya bertungkus lumus meletakkan kambing tersebut dalam bonet kereta Axia saya yang cenonet itu. Bonet tersebut dibuka sedikit supaya kambing itu dapat udara, kemudian bonet yang terbuka itu diikat dengan tali rafia supaya kambing itu tidak terjun dan menimbulkan kegemparan di lebuh raya (jadi viral atau masuk TV pula nanti...maklumlah rakyat Malaysia suka sangat dengan benda viral).

Allah. Malam dan hujan. Perjalanan dari Telok Panglima Garang ke kampong saya di hulu Perak bukannya dekat. Sepanjang jalan saya menahan lapar dan keinginan ke tandas. Kasihan saya melimpah-limpah. Saya membongkokkan badan sedikit menahan senak yang menusuk di perut dan belakang. Kelaparan yang menggila! Tetapi demi puan kambing, saya teruskan perjalanan. Kalau kena tahan dengan polis, matilah saya. Alhamdulillah dalam hujan sekitar jam satu setengah pagi, kami sampai ke kampong. Saya terus parkir di bawah khemah. Saya sudah pesan awal-awal kepada anak-anak saudara lelaki, jangan tidur. Tolong keluarkan kambing itu daripada seksaan!

Kasihan betul. kambing itu biasanya tidur atas lantai, bukan di tanah. Oleh yang demikian, dia asyik menangis. Saya masuk sekejap ke rumah, suaranya sayu sahaja memanggil. Bunyi anjing menyalak, dia ketakutan. Maka sehingga ke pagi, saya tidak tidur. Sekejap masuk ke rumah dan sekejap duduk menemani puan kambing. Mata pun bertukar menjadi mata panda tua.

Hari kenduri. Anak saya mahukan konsep DIY dan sedikit sederhana. Dia menempah PA sistem dengan DJ yang berkonsepkan islamik. Lagu nasyid dan doa-doa. Dia budak grafik, sepupunya juga orang seni. Mereka buat pelamin "olok2" sendiri. Bukan pelamin pun sebenarnya, hanya untuk menutup kebisingan leteran opah hahaha. Saya menempah gegantung yang memaparkan sajak-sajak untuk ayah, mak, anak-anak dan cucu. Ramai yang hadir termasuk ketua jabatan dan rakan-rakan dari IPG, sahabat-sahabat masa tingkatan enam dari Clifford School, sahabat sekolah saya dahulu (MGS Ipoh), rakan-rakan dari UM, penyair-penyair tanah air, penerbit Radio Klasik Haji Zazmie Zain dan kaum keluarga jauh dan dekat. Majlis kami memang sederhana. Saya tempah kebebe yakni makanan tradisi Lenggong untuk tetamu.

Saya sangat kehilangan. Saya tahu akan kitaran hidup. Anak saya sudah dewasa. Sudah tiba masanya untuk dia pergi dan mencari kebahagiaan. Ya, saya semakin mengerti perasaan emak. Begitulah rupa-rupanya.

Saya menelan air mata ketika membuka pintu kamarnya yang sudah kehilangan isi. Berbahagialah nak. Ibu sudah melepaskanmu.




Sunday, August 12, 2018

Doa Buat Mak

Hari Sabtu yang lepas, saya dan anak bongsu mengangkut barang-barang keperluan pengantin ke kampong. Jam enam kami sampai. Waktu itu saya dapati kakak sedang menyusun barang-barang emak sebab emak mahu mengikut kakak ke Ipoh. Saya mendakap emak yang berusaha untuk bangun. Air mata mak bergenangan di pipi. "Mak, sekejap lagi Yang ikut mak ke Ipoh. Ini mahu angkut barang-barang adik dulu, susun dan berehat. Lepas itu kami akan ikut mak ya"

Mak angguk. wajah mak tidak seperti yang dulu. Kurus dan lusuh. Kali terakhir mak melambai saya saat mahu pulang ke Seremban ialah waktu hari raya itu. Mak berusaha untuk berjalan keluar dan duduk di katilnya yang di luar. Wajah mak masih ceria. Selepas itu mak jatuh sakit. Makan hanya beberapa sudu bubur nasi sehari. Mujur mak mahu minum air. Dengan izin Allah, asbab airlah mak boleh bertahan.Mak buang air di atas katil, solat pun baring di katil. Waktu mandi, kakak berusaha membawa mak ke bilik air. Waktu lain, hanya menyembur air ke tubuh mak.

Mak sangat kurus. Ingatan, pendengaran dan penglihatan mak sudah amat berkurang. Selepas mak dibawa ke Ipoh dan dijaga anak angkat mak dari Imdonesia, Cah namanya...mak jadi sangat berselera, tidurnya lena dan mak gembira. Saya kasihan melihat emak. Kasihan yang tak mampu saya ungkap dengan kata-kata.

Mak sedang diuji dengan sakit tua. Mak sudah tidak berdaya berjalan. Kebergantungan mak terhadap anak-anak menjadi maksima.

Saya tidak tahu bagaimana mahu mengungkapkan ketika melihat senyum dan tangis mak yang silih berganti. Moga saya masih boleh memeluk mak. Moga mak kembali sihat.

Sebab ketika mak sakit terlantar,matahari tiada lagi muncul di sebalik awan.

Thursday, August 9, 2018

Kayyisa dan Matahari

Sudah seminggu Kayyisa dihantar ke rumah pengasuh. Malam sebelum menghantar, kami macam mahu mengirimnya ke asrama. Maksu Kayyisa menyiapkan beg, menyusun keperluan-keperluan. Mama juga demikian. Papa di kejauhan menghantar WA. Apah apatah lagi, dengan seribu pesanan. Pandai pula dia mengangguk dan macam biasa, celotehnya boleh memekakkan telinga!

Pengasuhnya baik. Itu Pun rezeki. Allah beri rezeki dengan macam-macam cara. Saya mohon bantuan Tuty, jiran yang baik hati. Dia banyak kenalan dan rajin menyantuni orang. Jauh amat bezanya dengan saya huhu. Kemudian kami ke rumah pengasuh.Kakak ipar kepada rakan sekampus. Cuma ustazah itu menyambung pengajian PHD dan sedang bercuti. Memang Tuty memilih yang bagus. Orangnya lembut begitu. Memang tiap-tiap pagi budak itu menangis ketika nampak sahaja rumah pengasuh tapi beliau ini mahir memujuk.

setiap pagi Kayyisa bersemangat. Berzikirlah kami atau membaca Fatehah sepanjang ke rumah pengasuh. Namun apabila matanya mengenal pasti lokasi taman, dia akan mula menangis. Ada anak asuhan yang suka mahu bermain tapi sebab lelaki, agaknya disebabkan Kayyisa manja, sergahan rakan itu menjadikan dia fobia. Maka dia akan menjauh daripada anak asuhan itu, mengekori pengasuh yang dipanggil Ummi itu ke mana-mana.

Waktu balik, dia akan bercerita dalam bahasa Jermannya. Saya bukan faham pun tapi saya suka membalas-balas. Dia pun berkisahan dengan bersungguh-sungguh, mimik muka, kerut dahi, mata, mulut, tangan, nada suara...hahahahaha...

Kayyisa...dengan lipas pun takut. Dengan matahari pun takut. Panashhhhh katanya. Amboi, ini Malaysia bukan? Walaupun Kayyisa anak kacukan, bukan Melayu asli macam Apah, tapi Kayyisa lahir di sini. Saya selalu cakap dengan dia, jangan takut dengan lipas, atau dengan matahari. Hidup mesti berani.

Dia akan bersemangat menggendong begnya tetapi selalu terhenti dan lari.

Kenapa? tanya saya.

No no no...panashhhhhh!

Saya cakap dengan dia...hai bayi, papa mamamu makan belacan,cu!

Suatu hari nanti, saya akan bawa Kayyisa jumpa matahari. Dia mesti jadi berani!

Wednesday, August 8, 2018

Leteran Nenek Kayyisa

Saya telah selesai mengedit, menyusun, menulis prakata, blurb dan menghabiskan kerja-kerja akhir untuk antologi Lautan Bukan Pemisah himpunan sajak antara siswa dua negara berjiran. Usaha ini adalah milik pujinya kepada Saudara Rosman Md Shah, peneraju Kerabat Seni Negeri Sembilan. Anak muda yang sangat energetik dan komited tanpa kepentingan peribadi atau menjurus kepada pelacuran seni sastera itu sendiri. Saya melihatnya demikian.

Seikhlasnya saya sukakan kerja-kerja begini sebab begitulah saya dilatih sejak di universiti, kemudian ekoran saya pernah bertugas sebagai editor juga. Walaupun tugasnya sukar khususnya untuk menyusun bahagian teknikal. Kena teliti dan cerewet. Kena sungguh-sungguh hingga mata saya naik kelabu.

Alhamdulillah. Ini kali kedua saya menjadi penyelenggara bersama-sama seorang lagi rakan.

Mengedit sajak bukan mudah terutama daripada penyair pemula atau mereka yang langsung tiada latar belakang puisi. Namun saya menghormati karya mereka walau tampak banyak bocor dan tampalan juga. Itu sebabnya saya tidak pernah menggunakan istilah cincang. Cincang itu seakan menghina. Seakan demikianlah. Saya menghormati karya dan penulisnya. Itu sebab saya akan teliti ellipsis itu perlu atau tidak atau hanya sekadar menaip sesaja saja. Saya mengedit dengan awas. Itu sebab jika kerja itu diberikan kepada saya, ia akan mengambil masa yang agak lama.

Penyair pemula…izinkan saya menamakannya demikian, memang gemarkan banjir kata. Melimpah-limpah. Kadang-kadang benda yang sama diulang sehingga mesejnya tersembunyi entah di mana. Tetapi mereka mesti diberi peluang untuk belajar. Bukankah hidup kita ini pun penuh dengan pelajaran, bab demi bab? Jika lekas sahaja kita mencincang atau membakul-sampahkan karya mereka, maka cinta yang baru mekar pun akan ke bakul sampah juga. Sebagai orang yang biasa dengan sajak, saya dengan mudah akan tahu bahawa mereka mengambil sajak orang atau tidak. Sebab tampalan-tampalan itu akan menjadi celaru.

Bagi sebahagian orang, mudahnya menulis sajak. Sudah biasa, katanya. Tapi ketika dibaca, eh masih klise klise begitu. Diksinya. Patahan rimanya. Masih selapis. Terus mata. Yang dikatakan kata-kata terbaik dalam susunan terbaik itu di mana?

Sekarang musim orang suka bersajak. Orang-orang berpesta sajak. Saya tidak ikut. Sebab? Banyak sebab. Selain ada tanggungjawab atas keluarga, saya juga melihat siapa penganjurnya. Kelompok populiskah? Jadi, yang hadir itu nanti sebahagian besarnya populis. Tuan puan, ini dunia yang tidak layak dihuni artis. Ini dunia marhaen. Kalau mahu popular dengan karya yang palsu dan gaya mewah, di sini bukan tempatnya.

Jadi…pesta puisi jadi tempat beli belah. Jadi tempat pacaran. Jadi tempat seronok-seronok. Dunia sedang tenat, tuan. Negara kita juga hampir terjual. Bagaimana ini? Ada pengasuh sumbat anak asuhannya ke dalam peti ais. Ada orang potong kaki kucing banyak-banyak sekadar untuk menyiksa binatang tersebut. Ada orang bunuh orang macam bunuh nyamuk. Ada politikus seperti singa kelaparan menyiat daging para marhaen dan orang asal. Kita masih pesta-pestaan?

Kembalikan puisi kepada masyarakat, anak-anak sekolah. Biar mereka menghargai kemanusiaan.