Total Pageviews

Wednesday, November 4, 2015

Matahari Kami

Perut mak buncit dan keras dalam masa dua hari. Mak tidak membuka mata. Kami memanggil doktor ke rumah. Kami juga mengusung mak ke klinik untuk melakukan scan. "Masalah rahim bengkak, maaflah sebab mesin ini agak ketinggalan. Tapi saya syorkan bawa opah ke Hospital Ipoh, bukan ke Hospital Taiping. Komunikasi di Hospital Taiping kurang bagus. Saya pernah kerja di sana dan sebab itulah saya lari..." Doktor perempuan muda itu memberitahu. Orangnya bagus. Dia menulis surat rujukan dengan catatan URGENT di sampul.

Risikonya? Ya, dengan beberapa orang doktor saya bertanya. Risikonya ada dan banyak, demikian mereka menjelaskan. Faktor usia mak dan sejarah kesihatan. Mak ada sedikit kencing manis dan darah tinggi. Hospital mesti melakukan pembedahan, mesti kena suntik ubat penahan sakit. Saya berfikir lama. Bukan saya anti hospital. Hospital pun sudh menjadi rumah kedua saya tetapi mak sudah berusia. Saya tahu jika kita sudah menyerahkan mak ke hospital, kita tidak boleh lagi campur tangan terlalu banyak. Kita tidak boleh menjaga mak serapi kita menjaganya di rumah.Hanya seorang atau dua orang anak atau menantu perempuan yang boleh duduk di sisi mak. Kalau di rumah, anak lelaki dan cucu lelaki mak ada untuk mencempung mak ke bilik air. Mak keseganan kalau bukan anak-anak perempuannya yang menyalin kencing.

Saya bersetuju untuk menghantar mak menjalani rawatan alternatif di Pak Andak Pengubat Kanser di Gerik. Kami terpaksa meminta bantuan bapa tiri dan emak kepada Pak Andak sebab Isnin dan Selasa, pusat rawatan itu bercuti. Sampai di sana, kami disambut dengan wajah masam isterinya. Barangkali kurang senang sebab cuti mereka diganggu. Malam itu mak mengalami kesejukan yang sangat teruk. Mak pengsan. Semua ahli keluarga membaca Yassin. Hari Rabu sekali lagi kami membawa mak. Alhamdulillah abang ipar saya berjaya mendapatkan nombor giliran kelima. Menurut abang sulung saya, ada pesakit dari Pulau Pinang yang datang dengan ambulans.

Kali kedua berubat, mak boleh tidur sedikit tetapi menjelang tengah malam, mak tidak lena. Mak tidur duduk. Menurut Pak Andak, mak ada masalah rahim, sama seperti yang dikatakan oleh doktor.

Saya bukan jenis yang yakin dengan perubatan alternatif tetapi Allah sedang menegur saya. Rawatan perubatan moden pun bukan bagus, dipenuhi bahan kimia yang memberi kesan jangka panjang seperti yang sedang saya hadapi sekarang. Kami melakukan apa sahaja untuk mak. Dari unit kecemasan klinik kerajaan sebanyak beberapa kali, dengan klinik swasta, dengan segala perubatan herba dan segala-galanya. Kami juga meminta jemaah membacakan Yassin. Anak menantu dan cucu sentiasa di sisi mak, membantu dengan cara masing-masing.

Mudah-mudahan mak semakin bagus. Saya kata kepada mak, mak sudah lihat hasil didikan mak. Anak-anak, menantu dan cucu semuanya menjaga emak dengan baik. Kami bergilir-gilir membaca Yassin dan berzikir. Saya tanya mak, apa rahsianya. "Mak bagi makan daun-daun kayu saja kepada anak-anak. Mak dan ayah bukan orang senang..."

Namun saya tahu semuanya berpunca daripada keberkatan. Tangan mak yang memasak, bukan seperti saya yang membawa anak makan di restoran. Air susu mak yang kami minum, bukan susu formula seperti yang saya suap ke mulut anak.

Pagi ini matahari bersinar di ufuk. Memberikan kami segunung harapan. Matahari kami. Tetamu yang membanjiri rumah silih berganti menyebabkan mak selalu mengingatkan kami dalam kesakitannya, "bancuh air, bagi makan orang datang. Jangan bakhil..."

Itulah mak. Manusia yang sangat pemurah meskipun pada saat sedang bertarung dengan kesakitan!