Total Pageviews

Monday, November 23, 2015

Mak

Kami melalui hari-hari yang sukar. Ada waktunya mak OK dan ada waktunya mak tidak sedarkan diri. Pandangan mata mak kosong. Butir bicaranya tidak jelas. Namun apa yang kami syukuri ialah mak tetap mengaji, membaca ayat-ayat suci dalam keadaannya yang tidak sedarkan diri itu.

Kami membawa mak sekali lagi ke Poliklinik Azhar, menemui Dr Azmi yang memang sudah biasa datang jika kami melakukan “house-call”. Mak demam kuat pada jam 1 pagi. Itulah puncanya kami membawa mak ke sana. Kami juga meminta dilakukan Scan sekali lagi. Meskipun perut mak sudah agak surut, tetapi doktor dapat mengesan cyst berukuran 17 sentimeter. “Jangan letak minyak panas atau menggosoknya di kawasan ini. Kita bimbang jika cyst ini pecah”.

Dan saya bertanya, ke mana hilangnya ketulan keras di perut mak yang membengkak itu. Doktor itu pun tiada jawapan. Allah yang telah menghilangkannya melalui tangan perawat-perawat khususnya perawat di Pengkalan Hulu.

Balik ke rumah, mak tidak sedarkan diri dari selepas Maghrib membawa ke pagi. Semua anak di sisi mak kecuali kakak sulung yang sibuk menjaga cucu kembarnya yang baru lahir dan adik lelaki yang bekerja di Batu Pahat. Mak muntah banyak malam itu, saya fikir kesan ubat. Sebelum ini mak tidak muntah pun.

Kalau mak sudah semakin kurus, demikian juga kami. Kami makan sahaja apa yang ada. Kadangkala tidak makan sehingga tengah hari.

Saya sudah tidak berdoa meminta banyak perkara. Hanya berbaki dua iaitu kesejahteraan anak-anak saya dan yang paling utama memohon dikembalikan kesihatan mak. Kesihatan saya sudah tidak penting lagi.

Mujur tahun ini kami masih ada cuti semester. Ini tahun akhir kami dapat menikmatinya meskipun sekejap-sekejap saya kena balik ke Seremban menguruskan beberapa perkara berkaitan kerja dan peribadi. Dapatlah saya membantu kakak dan adik beradik lain menguruskan mak. Alhamdulillah.

Mak hanya seorang sahaja di dunia sini dan sana. Kita pernah berada dalam perut mak, memakan sebahagian daripada apa yang mak makan, mengganggu tidur mak dengan kerenah kita menendang dan menumbuk dinding perut mak, mengambil separuh upaya mak, menyukarkan pergerakan mak, menyakitkan seluruh kudrat mak ketika meneran untuk melahirkan kita ke dunia ini.

Belum lagi bagaimana payahnya mak membesar dan mendidik kita, menghadapi seribu macam perangai kita yang mencabar sabarnya.

Maka kita bersabarlah dengan kesakitan mak. Mak hanya seorang. Hanya seorang.

Mak...dengan kekuatan semangat terus menyuntiknya ke dalam sanubari kami.