Total Pageviews

Friday, March 27, 2015

Ranai Luka Sang Serigala

Dua hari yang sangat penat.

Khamis awal pagi saya ke Klinik Surgeri HUKM. Tiga jam menunggu akhirnya baru dapat masuk ke bilik doktor.

“Alhamdulillah” kata saya menyebabkan doktor yang sedang tekun menulis mengangkat muka. Dia senyum. “Kenapa?” tanyanya.

“Saya berdoa agar dapat doktor perempuan. Ada masalah sedikit...” dan saya menerangkan masalah terbaharu yang agak menakutkan juga.

Dia menanyakan soalan lazim sebab fail saya entah berada di klinik mana. Saya diperiksa untuk pemeriksaan rutin dahulu. Lama dia menekan di satu tempat dan daripada pengalaman saya, ada sesuatu yang kurang kena. Kemudian dia membawa saya untuk ujian ultrabunyi di kamar sebelah.

“Macam ada beberapa biji kecil. Tapi yang satu itu agak ketara” dia menerangkan. Langsung menulis surat rujukan untuk dibawa ke Jabatan Radiologi. Dia memberitahu doktor yang lain, “saya mahu pakar yang buat ultrabunyi, bukan doktor biasa...”

Pemeriksaan untuk masalah kedua agak menyakitkan. Alat diambil dari Klinik O&T dan saya terpaksa menahan malu demi memastikan tiada masalah yang berlarutan.

Selepas itu dia menulis lagi satu surat rujukan untuk pakar di Klinik O&T. “Mereka lebih tahu sama ada ia bersangkutan dengan serviks atau hanya benda biasa yang boleh dibuang begitu sahaja...”

OK. Saya tahu bahawa saya akan berada sehingga petang di hospital itu sebab jam sudah menunjukkan pukul 1.30 dan semua kaunter ditutup.

Jadi, saya menunggu dengan ditemani oleh buku Pak Abdul Latif bertajuk Mustafa Kamal Ataturk yang saya dapat semasa menjadi panel hakim sayembara.

Selepas berjaya mendapatkan tarikh temu janji, saya kembali ke Klinik Surgeri untuk mendapatkan tarikh temu janji di klinik tersebut pula. Kemudian saya mencari Klinik O&G. Ada tiga hari sahaja rawatan untuk sakit puan dan hari tersebut akan jadi tetap, tidak boleh bertembung dengan temu janji di klinik lain.

Saya melihat catatan. Isnin adalah jadual saya dengan Klinik Onkologi, Khamis dengan Klinik Surgeri, setahun sekali dengan Klinik ENT...jadi, hanya tinggal hari Rabu.

Ya. Rabu untuk klinik O&G. Bertambahlah bilangan klinik yang akan menerima saya sebagai pesakit!

Jam lima setengah baru saya tiba di rumah. Tetapi saya tidak boleh rehat. Ada dua kertas cadangan kajian yang saya kena semak. Esok saya kena ke HUKM lagi. Mereka mahu saya buat ujian ultrabunyi dengan cepat.

Kakak dan keluarga saya di kampung sangat risau. Saya tahu mereka berdoa untuk saya. Memang saya menangis sedikit ketika bercerita kepada Tuhan. Saya menangis juga ketika berbual dengan si Baby dan Comel. Ya, ibu bunga matahari menangis. Tetapi tidak lama. Saya kesat kembali air mata dan bersyukur kerana air mata itu tidak lagi mengalir ke dalam seperti dahulu!

Keesokannya, saya menuju ke hospital sekali lagi. Menikmati pagi yang nyaman dari tingkap gerabak. Berbual dengan pemandu teksi mengenai kehidupan dan kematian. Menikmati masa menunggu dengan menanda kertas laporan kajian, menadah terik matahari dan melihat gelagat manusia dalam gerabak yang sedikit sesak menjelang petang.

Dalam bilik ultrabunyi yang pintunya berat, doktor cuba mencari biji yang dikatakan oleh pakar surgeri. Seorang lagi mencuba apabila doktor yang pertama gagal mengesan.

“Puan ada urusan tak tengah hari ini?” tanya doktor yang perempuan. Saya menggeleng. “Puan boleh tunggu tak? Saya mahu panggil profesor datang memeriksa. Selalunya kami memang risau kalau surgeon kata ada sesuatu sebab tangan mereka memang made to be surgeon...”

Saya kata, “gifted hand?”

“Ya,” kata doktor yang seorang lagi. “Kalau mereka ada gifted hand, kami pun ada eagle eyes. Itu sebab kami mahu minta tolong our eagle eyes...”

Profesor perempuan yang sudah berusia itu datang. Sambil memeriksa, dia mengajar dalam terma medikal. Yang dapat saya faham terjemahannya ialah, “kalau gagal mengesan kelenjar limfa di bahagian ini, cari di sini...” sambil dia membawa alatan itu ke pangkal leher.

Barangkali doa semua orang dimakbulkan. Saya lulus untuk yang ini. Sekarang saya hanya perlu tunggu yang lagi satu. Yang pastinya memang akan ada pembedahan kecil (?).

Saya hanya bertemu makanan sekitar jam dua petang. Turun dari tren, saya meredah panas menaiki jejambat dan turun ke medan selera sebuah kompleks. Mengambil makanan dan menghabiskannya dengan cepat sekadar syarat untuk menelan ubat. Kemudian saya menuju ke pejabat, memasukkan kertas proposal untuk dibaiki pelajar.

Terima kasih Tuhan. Terima kasih kucing-kucing. Terima kasih keluarga. Terima kasih sahabat.

Terima kasih daripada ibu bunga matahari.

Ini pesan serigala yang terluka...menangislah ke luar, bukan menangis ke dalam!

Saturday, March 21, 2015

Dan Aku Pun Semakin Tua

Jumaat lepas saya meningkat usia. Walaupun saya sibuk menyemak laporan penyelidikan, tetapi hari itu saya sengaja membuka laman muka buku. Kalau bosan, saya menjenguk laman dan membalas setiap ucapan rakan-rakan.

Walaupun jumlahnya banyak, saya kena jawab sebagai tanda menghargai, termasuk juga yang menelefon dan mengirim mesej. Kakak-kakak, abang, adik-adik, ipar dan keluarga tidak pernah melupai tarikh Mac dua puluh itu. Kakak sulung saya yang usianya sudah sekitar enam puluh dua menelefon dan menyanyikan lagu hari jadi. Terasa saya masih seperti adik yang kecil. Mak macam biasa, ayatnya sama...”ha? Yang sudah umur sebegitu banyak? Cepatnya!”

Kasihan mak. Setiap kali enam anaknya meningkat usia, mak akan terkejut. Dan mak akan berkisahan, mengenang saat-saat getir melahirkan anak-anaknya yang sebahagiannya sudah berada di syurga dan sebahagian lagi sedang bertarung dengan kerenah dunia.

Jumaat itu juga sepatutnya saya menghantar Baby menjalani pembedahan pemandulan. Tetapi entah bagaimana takdir Illahi, seorang adik pensyarah semasa saya bertugas di sebuah kolej menawarkan kucing Parsinya untuk dijodohkan dengan Baby. Malam itu saya mengadakan undian yang saya namakan pilihan raya meow. Saya meletakkan dua gambar kucing Parsi rakan dalam grup whassap keluarga. Nampaknya persaingan sengit dan akhirnya meow yang berwarna oren menang setelah dicampur dengan undi pos...hehe...

Keesokan hari, paling menyedihkan. Saya menghantar si kecil Naget ke Kelang. Siap dengan kandang, makanan, mainan, bekas pasir, baju dan kalung ubat. Si bongsu yang pulang untuk menyambut hari lahir saya (dan menghantar keretanya ke bengkel) menemani saya menemui kakak angkatnya itu. Saya tahu si kecil akan bahagia bersama tuan baharu. Beberapa hari saya sudah menangis apabila mengenangkan hal tersebut.

Memang...ketika malam, rumah jadi sunyi. Tiada lagi makhluk yang berlarian dalam rumah bermain dan mengusik meow yang dua ekor itu. Saya simpan kesedihan. Naget sedang seronok di rumah baharu. Pasti begitu! Comel macam kebingungan. Agaknya dia pun rasa kehilangan si kecil yang nakal.

Si Atat, baka Parsi berwarna oren yang gemuk dan kacak dihantar ke rumah. Menantu baharu!

Kerja mengemop saya akan bertambah. Baka Parsi sangat sensitif dengan kekotoran. Tidak mengapa, asal hati gembira. Bola bulat berbulu-bulu berkeliaran dalam rumah. Kalau ada si kecil Naget kucing tiga warna, habislah semua kena tampar dengan tangannya yang kecil comel.

Saya akan terus menyelamatkan bayi yang terbuang dan sakit seperti si kecil Naget. Kasihan mereka. Dunia yang luas ini Allah ciptakan untuk semua, bukan untuk manusia semata-mata.

Doakan saya dapat merealisasikan impian sebuah pusat perlindungan untuk makhluk yang cepat membiak ini.

Terima kasih kepada mereka yang mengucapkan selamat untuk si ibu bunga matahari.

Mak dan ayah, terima kasih melahirkan saya dan menamakan saya dengan nama yang unik. Terima kasih kerana tidak jemu melayan kerenah saya sewaktu kecil, yang mahu mak bercerita ketika saya mahu tidur. Sekarang, saya pula bercerita kepada dunia dengan menyusun aksara menjadi perkataan indah bermakna.

Terima kasih Allah yang meminjamkan dunia ini untuk saya. Memberikan segala apa yang saya minta, menguji saya sebagai tanda cinta.


Kalian menjadikan hidup saya seperti pelangi.

Dan saya masih menjadi ibu bunga matahari yang tidak peduli dengan teriak guntur yang memekak di langit.

Thursday, March 19, 2015

Di Atas Hamparan Tecoma

Anak saudara saya yang baru menjadi pengantin itu bertanya, “bagaimana Mak Yang berhadapan dengan segala masalah yang pada saya sangat berat...”

OK. Saya bukan malaikat. Pengetahuan agama juga tidak banyak, sekadar yang asas. Saya perempuan menghampiri umur lima puluh. Saya berpenyakit dan sekarang barangkali akan berhadapan dengan risiko baharu.

Memang saya banyak masalah. Kiri kanan depan belakang atas bawah. Semuanya seperti peluru yang boleh membunuh bila-bila masa. Saya tiada wang. Tidak boleh bermudah-mudah memborong tudung berjenama sehingga runtuh almari. Tidak boleh suka hati membeli kereta mewah dengan hutang bertapuk dan memboroikan perut kapitalis.

Rumah kecil sewaan saya kosong dan jika ada pun, perabot yang sudah usang dan penuh cakaran. Tiada pinggan mangkuk atau periuk berjenama sehingga poket kosong mahu membayar harganya. Tiada pakaian yang penuh batu berkilauan, tiada apa-apa.

Saya mahu semua yang bernama kemewahan sebab saya manusia biasa yang ada nafsu. Tetapi semuanya itu bukan satu keperluan!

Maka, saya akan bergembira dengan apa yang saya ada. Jika tiada wang yang cukup, saya makan sekadar mengisi perut. Jika mahu belanja orang, saya akan belanja sahaja sebab saya percaya Allah akan sentiasa memberi rezeki-Nya kepada hamba.

“Jadi, Mak Yang tak fikir apa-apa?” tanyanya lagi.

Mustahil saya tidak berfikir. Malahan adakalanya saya kebingungan. Umur, keyakinan kepada takdir Allah, pengalaman hidup... telah banyak kali menyelamatkan saya daripada terus buntu.

Kita hidup dengan apa yang kita ada. Sehingga pertengahan tahun ini, saya kena bertahan. Anak-anak saya akan menamatkan pengajian. Apa yang berlaku kepada mereka selepas itu, hanya Allah sahaja yang tahu.

Sayap-sayap saya yang sering tercarik, saya biarkan sahaja tercarik sebab saya tidak pandai menjahit. Carikan-carikan itu adalah ingatan perjuangan hidup saya yang sering kelabu. Ujian seperti hujan, akan sentiasa muncul sepanjang tahun. Berhentinya sebentar cuma dan selepas itu akan menyerbu kembali. Selagi belum ada takdir yang bernama kematian, selagi itulah kehidupan kita diuji.

Mahu menangis sehingga buta mata? Selalu saya berkata kepada diri, di dalam kubur nanti aku akan sendirian juga.

Kepada anak saudara saya yang masih bertanya, hidup bukan semudah jangkaan kita. Apa yang kita sangka bagus, tiba waktunya belangnya akan terserlah. Apa yang kita nampak baik, suatu saat akan mencalit warna. Apa yang terlihat buruk, suatu ketika akan menjadi putih dan cantik.

Kita boleh memilih jika kita ada pilihan. Ada kalanya kita terpaksa memilih sebab kita tiada pilihan. Sebagai contoh, kita sukakan buku tetapi tiada seorang pun rakan kita yang suka buku. Kita terpaksa berkawan dengan orang yang tidak suka ke kedai buku, tetapi lebih gemar ke kedai baju, memborong emas atau ke butik-butik mewah.

Pada saya tiada masalah, asal saja saya tidak menjadi sebahagian daripada mereka. Begitu juga dengan kehidupan ini. Adakalanya kita boleh memilih. Adakalanya kita terpaksa memilih dan berhadapan dengan berani terhadap apa yang telah kita pilih.

Berdoalah.

Di atas hamparan tecoma yang gugur dan menjadi selimut rumput, saya menatap bunga yang kelopaknya berwarna putih, ungu dan merah jambu. Di bawahnya, ada sehelai daun duka yang sedang mengering dan mereput menjadi tanah.

Kita boleh memilih. Atau terpaksa memilih.

Untuk menjadi tecoma atau daun di bawahnya!

Thursday, March 12, 2015

Kucing-kucing Itu Tidak Menyusahkan Hati Saya

Kucing itu sangat pandai dan rajin mengurut. Dan dia hanya mengurut saya, bukan penghuni lain dalam rumah itu.

Ketika saya baring kepenatan, dia akan datang dan mengangkat kaki depannya ke atas tubuh saya dan mula mengurut. Kukunya yang tidak dipotong menikam-nikam kulit. Kadangkala dia mengejutkan saya sekitar jam 3.30 atau 4 pagi dengan urutannya. Dan saya tahu itu isyarat daripada Allah supaya saya bangun.

Apabila saya bangun dan ke kamar mandi, kedua-dua ekor yang lain juga bangun.Duduk di tepi sejadah atau sejadah kecil yang saya hampar di sisi dengan harapan supaya dia gembira ada sejadah sendiri dan tidak mengganggu ibunya.

Itulah si Bibiyanalayola @ Baby.

Sekarang dia makin kerap mengurut saya dan lama juga.

Si Comel yang mukanya sangat comel, kucing yang beratnya hampir enam kilogram itu suka duduk dan tidur di atas dada saya. Comel sudah tidak boleh memanjat gril. Badannya berat. Baby pula kelihatan besar tetapi sebenarnya bulunya yang menyebabkan dia kelihatan besar. Sementara si Naget dengan keletah kanak-kanak, tidak boleh duduk diam. Kalau dia duduk diam, saya tahu dia mengantuk dan penat bermain. Saya mendukungnya dan dia akan menggigit bahu menandakan yang dia perlu segera dimasukkan ke dalam kandang untuk tidur. Kandangnya perlu ditutup dengan kain keseluruhannya untuk mengelakkan dia terganggu dengan "usikan kakak-kakaknya" di luar kandang.

Apabila Naget diserahkan nanti kepada tuan baharu, pasti saya akan merindui ketangkasannya melarikan diri apabila ternampak saya memegang botol ubat semburan untuk kulitnya yang elergik.

Kucing-kucing ini memang menyebabkan saya penat tetapi mereka tidak menyusahkan hati saya.

Malam tadi Comel merajuk sebab saya meleteri dan menarik telinganya. Dia keluar ke bahagian belakang dan duduk diam. Saya mencarinya dengan cemas. Kalaulah dia hilang dan sesat, tentu sukar untuk mencarinya. Anjing liar pemakan kucing sangat banyak. Comel pula jenis indoor cat. Dia duduk atas meja, tidak peduli ketika saya panggil untuk tidur. Ketika memegangnya, dia menggigit sedikit tanda marah. Saya pun seperti orang bodoh bercakap dengannya, "ibu marah sebab takut Comel hilang. Kena gigit anjing dan kucing liar. Ibu sayang Comel..."

Nampaknya kucing mengerti bicara tuan. Dia OK selepas itu.

Wednesday, March 11, 2015

Memanglah!

Tiada perkataan yang dapat menggambarkan kesibukan para pensyarah ketika mahu menghadapi beberapa siri audit MQA, menyelia kertas proposal dan laporan kajian tindakan, menyemak kerja kursus, ke kelas, keluar menyelia praktikum...dan...dan...

Kesibukan menimbulkan tekanan. Tekanan menyebabkan penyakit. Menambah penyakit kepada yang sudah berpenyakit dan memberi penyakit kepada yang asalnya sihat.

Saya biasanya menyenaraikan apa yang perlu saya buat mengikut keutamaan. Tetapi kali ini yang itu pun saya gagal ikut. Tanggungjawab di tempat kerja itu mesti dilunasi sebab di situ Allah menempatkan kita untuk mencari rezeki. Tanggungjawab kepada anak-anak dan keluarga serta haiwan peliharaan juga perlu diuruskan dengan baik.

Kita hanya sekujur jasad yang sudah menghampiri renta.

Tetapi pagi ini isi alam telah mengajar saya. Saya berasa sangat malu walaupun sebenarnya saya sudah tahu rutin mereka.

Sementara menunggu tren, dengan kelaparan yang menyebabkan perut dan belakang saya senak, saya tunduk melihat aspal.

Makhluk-makhluk itu sedang berusaha memindahkan sisa makanan yang saya kira sangat berat. Coklat yang cair di mulut memang berat. Tiada yang nampak berputus asa. Saya tidak tahu kenapa mereka tidak ramai. Selalunya mereka bergerak dalam komuniti yang agak ramai.

Barangkali ini makhluk PATI, kata saya terasa mahu gelak dalam hati.

Kebisingan tren yang asyik ke sana ke mari tidak memberi kesan kepada makhluk itu. Saya rasa mereka pekak.

Lima belas minit mereka berusaha menggerakkan benda itu. Waktu tren sampai, mereka masih berusaha. Saya harap tiada manusia yang gelojoh mahu cepat dan memijak komuniti yang sedang berusaha mencari rezeki.

Tidak menarik pun. Hanya yang biasa-biasa. Tapi saya rasa tersindir. Kerja dunia yang banyak ini yang saya sibukkan sampai separuh mereng.

Makhluk itu tidak berputus asa macam saya.

Mesti ada yang kata, mana sama? Kita kan manusia?

Memanglah!

Saya pun tak mahu jadi semut!

Tuesday, March 10, 2015

Muak

"Saya rindukan zaman masuk ke kelas dan mengajar. Fokus. Bukan menghabiskan waktu dengan penyediaan dokumen yang sebahagian kecilnya berisi kemunafikan".

Itu katanya dalam bahasa Inggeris dan saya menterjemahkan ikut kemampuan menterjemah yang masih bersisa.

Sebenarnya saya setuju dan ingin menambah...petang2 saya suka melatih pelajar untuk pementasan drama. Pagi di kelas, mereka belajar dengan serius dan petang mencabar emosi dan intelektual dengan latihan teater.

Waktu itu seronok. Tiada cabaran mengisi segala butiran atas talian dengan 'talian yang asyik bermasalah' atau timbunan dokumen sekadar untuk 'disemak dan dikoreksi segala macam'.

Sebenarnya mungkin dunia canggih ini tidak sesuai lagi buat saya dan mereka yang sezaman dengan saya.

Kemudian terbaca pula ada cadangan mahu menaikkan usia persaraan kepada enam puluh dua. Nenek dan atuk beraduh-aduhlah sakit lutut memanjat tangga.Mata pun sudah kelabu. Terlupa di mana duduknya kaca mata.

Sebenarnya ada bagusnya teknologi dan juga pertambahan usia ini. Pihak yang merancang sudah pasti ada alasannya. Tapi saya tidak mahu menunggu sebegitu lama. Upaya sudah tiada. Anak cucu pun mahu bekerja. Jadi, kosongkanlah kerusi untuk mereka.

Saya dan dia rindukan masa lalu yang mustahil berulang.

Orang yang berjiwa sentimental (konon) macam saya sedikit alergi dan lekas muak kalau asyik menghadap benda bulat yang asyik 'berpusing2' di skrin komputer.

Jadi, pagi ini saya berhenti berjalan laju untuk menikmati lagu Gerhana yang dinyanyikan oleh seniman jalanan yang meniup harmonika dan memetik gitar secara solo, sementara menanti tren tiba.

Hidup kena sesekali menikmati...

Monday, March 9, 2015

Friday, March 6, 2015

Tulisan Frekalicious Strawberry

The Ugly Truth of Today's Youth
Frekalicious Strawberry Blog (Atira Laila)


Just a few weeks ago Malaysian citizens were being shocked by the news regarding to the decease of Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Mom was the first one to tell me on that very night, as her friends called her in tears. It was devastating for us – we adore him too much. We never have the chance to see him and now he’s gone, back to where he belongs, to the Creator. Mom recited yaasin on that night and later after Subuh prayer I decided to recite one too; for our great leader who has ended his journey and jihad in this temporary world. It is a sad sad day for almost all Malaysians except for some of my friends who I might say quiet ignorant when it comes to serious issues. It’s not that I want to reveal their weaknesses but this is the ugly truth of nowadays youth.

Most of my classmates from secondary school and Diploma are very open-minded on sharing thoughts about politics, current issues and religions. We read and do quite good research as we debated each other’s opinions. And I thought Bachelor degree should be more fun! Man, I was wrong. Almost everyone is unaware of anything. They only care about assignments, TV shows, internet, celebrities, gadgets and “please, no politics talk but we support government” kind of attitude. And they say the F words a lot. I once thought university is full of intelligent people!

Guys, we hold the handbook to guide the future generations. How come you know Maharaja Lawak’s winner but never heard of Ahmad Ammar? You talk about iPhone 6 but ignore MH17? I don’t want to live in this planet anymore. Seriously. When I told a friend about TGNA’s death, she just replied that she wanted to go out to watch movie to ease her boredom. She hates politics and I knew about it but this is not politic talks; we just lost one of a kind religious leader. Every typical Muslims would be terribly sad to know this news, even the non-Muslims.

Youths nowadays need to wake up from their awfully long sleep and open the window to understand the real world, witness every single thing that is currently happening. We are not little children anymore. The world is not as dirty as you expected; took off your glasses and clean the dirt on it. If needed, remove the lenses too and change them with a new one – which enables you to see from different angles.


Catatan: Itu persepsi peribadinya sebagai remaja dua puluh tiga terhadap persekitaran dunianya sendiri. Saya gemar tulisannya yang ini sebab ada sesuatu yang jelas mahu diperkatakan dengan percikan api kesedaran! Selalu saya berpesan, berkatalah benar meskipun pahit.

Dan dia sedang melakukannya!

Thursday, March 5, 2015

Kecoh Budak Hilang

Saya melihat suasana agak kecoh.

Seorang bapa muda kelihatan berjalan ke sana ke mari. Kemudian dia menunjukkan sesuatu dalam telefon bimbitnya apabila seorang pekerja bertanya, “ada gambar?”

Seorang budak lelaki, sekitar usia delapan tahun menangis teresak-esak, juga bermuka cemas dan susah hati.

“Mari kita tolong,” kata saya kepada Tuti, jiran yang ikut saya membeli barang keperluan. Saya baru sahaja mahu meletakkan barang ke dalam bakul dan berniat mahu mencari di aras atas ketika encik pengawal membawa seorang budak perempuan rambut kerinting dan memakai baju merah jambu...

Budak itu barangkali masih tadika.

Dia hilang ketika bapanya sibuk membayar di kaunter. Abang yang ditugaskan untuk mengawasi barangkali terlepas pandang.

Kasih sayang si abang teruji. Saya masih melihat dia teresak-esak sambil memegang erat bahu si adik berjalan menuju ke kereta. Wajah adik perempuannya selamba sahaja, tidak mengerti bahawa dialah penyebab kepada kekecohan.

Rupa-rupanya budak perempuan itu keluar ke bahagian hadapan pasar raya sambil makan makanan ringan. Lain kali kalau mahu bawa budak yang macam itu, kena pegang tangannya sentiasa. Saya lebih kasihan melihat abangnya itu. Tidak peduli ramai orang yang melihat dia menangis tersedu-sedu.

Saya teringat kisah si sulung yang pernah hilang ketika dibawa ayahnya ke pasar raya di kota KL. Dia hilang di aras lain dan dijumpai di aras lain. Saya tidak diberitahu oleh ayahnya, barangkali tidak sanggup menerima kemarahan saya atas kelalaian menjaga anak. Tetapi budak itu membocorkan rahsia dengan menyatakan bahawa “kakak takut bila polis tu tanya...” saya kemudian difahamkan bahawa polis yang dimaksudkannya ialah pengawal keselamatan.

Tidak dapat saya bayangkan kalau anak itu hilang. Budak itu masih kecil. Sejak itu saya sangat awas, sentiasa menelefon untuk memastikan keberadaan anak saya meskipun sering dicemburui kekasih hati ayahnya. Peduli apa saya! Dia masa itu belum berkahwin dan punya anak, mana dia tahu rusuh hati seorang ibu! Lagipun kalau mahu memikat ayah burung, kenalah berjinak-jinak dengan anak burung dan ibu burung yang kasihan...hehe (jangan guna perumpamaan itu sebab saya yang cipta ikut suka hati).

Yang masih ada anak kecil, hati-hatilah selalu. Orang jahat berlambak-lambak sekarang. Kos hidup meningkat. Orang jahat boleh jual apa sahaja termasuk budak kecil. Yang ada anak besar pun kena awas juga. Apa lagi anak perempuan...

Alamak!

Sendiri tulis, sendiri yang susah hati...

Sekarang juga saya menelefon anak-anak saya!

Wednesday, March 4, 2015

Kembali Sunyi


Kakak sedang bersiap-siap untuk pulang


Giliran adik pula yang melambai ibu seminggu kemudian

Hampir dua bulan anak-anak bercuti semester. Seorang sudah balik, sementara seorang lagi masih ada seminggu baki cuti.

Apabila yang sulung balik ke kampus, tiada terasa sangat sebab masih ada seorang lagi yang sentiasa mengekori ke mana-mana sahaja ibunya pergi.

Sepatutnya dia pulang hujung minggu tetapi ada sesuatu yang berlaku. Wang yang dikeluarkan melalui mesin ATM telah dipotong jumlah bakinya sedangkan wang tidak keluar. Saya cuba menelefon bahagian aduan bank berkenaan tetapi gagal. Keesokan harinya, saya meminta kebenaran ketua jabatan untuk keluar menguruskan hal tersebut.

Dia pulang ke kampus tengah hari. Usai waktu pejabat, sekitar jam enam petang, saya pun balik ke rumah. Melihat garaj yang kosong, saya berfikir, “ke mana pula si adik pergi?”

Biasanya sepanjang cuti, sama ada si kakak atau adik tidak akan keluar ke mana-mana kalau tidak ditemani ibu. Kadang-kadang saya suruh juga mereka keluar ke bandar, tetapi mereka tidak mahu. Entah apa seronoknya duduk berkurung dalam rumah sepanjang hari. Bukannya ada peti televisyen untuk ditonton...

Masya-Allah, saya lupa yang si adik sudah pulang ke kampus!

Masuk ke dalam rumah, saya hanya disambut si Baby, Chomel dan Naget. Tiada gadis yang suka memeluk si Bengal Marble walaupun alahan atau kakaknya yang suka membuli kucing. Sunyi mula menyergah di mana-mana. Saya menjenguk kamar anak-anak yang kosong.

Ini semester akhir tahun akhir.

Perjuangan mesti lebih kuat. Hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi.

Pergilah anak. Semoga Allah melindungi kalian.

Tuesday, March 3, 2015

Lelaki Yang Mencabar Minda Warga

Majlis perpisahan untuk Dr Mehander Singh, Timbalan Pengarah.

Saya diminta mendeklamasikan sajak dengan iringan seruling Intan, anak didik Pak Wan.

Saya menulis sajak khas untuk Dr M. Tajuknya Lelaki Yang Mencabar Minda Warga. Dr M merupakan pencetus idea untuk Program Country Expert (saya kena negara Angola...hehehe) dan juga Melewar Challenge (Cabaran Melewar). Itu sebab saya tulis sajak tentang lelaki yang mencabar warga kampus untuk menulis, melakukan inovasi dan berfikir di luar segala macam kotak.

Saya minta Intan carikan lagu Hindi yang agak sedih. Saya kata, “cubalah tiup. Kalau boleh, gunakan lagu itu. Kalau tidak, mainkan saja lagu yang Intan tahu...”

Budak itu bagus. Saya memang tidak tahu lagu Hindi. Ini kolaborasi yang ketiga dengan Intan, selepas Pak Wan pencen. Dia jenis menepati masa. Macam sifunya juga. Keserasian saya dengannya sama seperti keserasian saya dengan Pak Wan.

Saya terlalu letih sebenarnya. Tidak sempat menghafal penuh. Raptai pertama selesai jam dua belas tengah malam. Jadual sangat padat minggu itu dengan beberapa program.

Rupa-rupanya memang Allah membantu saya.

“Ratna, this is the best. You punya energy memang superb. Bla bla bla...” itu kata Dato’ Alias, orang kuat perhimpunan budaya.

Thank you very much. I’m really touching...bla bla...” kata Dr M. Dan dia menyebut tentang janji Dato’ Alias yang mahu menghantar sajak yang akan dibingkaikan.

Saya ternganga. Biar betul! Saya yang sangat penat, tidak menghafal banyak...tapi akhirnya saya tahu sebabnya. Saya memegang mikrofon! Bukan di tiang pemegang seperti selalu. Itu sebab lontaran suara saya bertenaga. Jadi, terima kasih kepada mikrofon!

Itu kerja Allah. Segala pujian milik Allah. Saya tiada apa-apa yang hebat kalau Dia tidak izinkan.

Ada cerita daripada Dr M yang sangat mengujakan saya. Tentang allahyarham TGNA. Nanti di lain waktu saya akan tuliskan.