Total Pageviews

Thursday, March 12, 2015

Kucing-kucing Itu Tidak Menyusahkan Hati Saya

Kucing itu sangat pandai dan rajin mengurut. Dan dia hanya mengurut saya, bukan penghuni lain dalam rumah itu.

Ketika saya baring kepenatan, dia akan datang dan mengangkat kaki depannya ke atas tubuh saya dan mula mengurut. Kukunya yang tidak dipotong menikam-nikam kulit. Kadangkala dia mengejutkan saya sekitar jam 3.30 atau 4 pagi dengan urutannya. Dan saya tahu itu isyarat daripada Allah supaya saya bangun.

Apabila saya bangun dan ke kamar mandi, kedua-dua ekor yang lain juga bangun.Duduk di tepi sejadah atau sejadah kecil yang saya hampar di sisi dengan harapan supaya dia gembira ada sejadah sendiri dan tidak mengganggu ibunya.

Itulah si Bibiyanalayola @ Baby.

Sekarang dia makin kerap mengurut saya dan lama juga.

Si Comel yang mukanya sangat comel, kucing yang beratnya hampir enam kilogram itu suka duduk dan tidur di atas dada saya. Comel sudah tidak boleh memanjat gril. Badannya berat. Baby pula kelihatan besar tetapi sebenarnya bulunya yang menyebabkan dia kelihatan besar. Sementara si Naget dengan keletah kanak-kanak, tidak boleh duduk diam. Kalau dia duduk diam, saya tahu dia mengantuk dan penat bermain. Saya mendukungnya dan dia akan menggigit bahu menandakan yang dia perlu segera dimasukkan ke dalam kandang untuk tidur. Kandangnya perlu ditutup dengan kain keseluruhannya untuk mengelakkan dia terganggu dengan "usikan kakak-kakaknya" di luar kandang.

Apabila Naget diserahkan nanti kepada tuan baharu, pasti saya akan merindui ketangkasannya melarikan diri apabila ternampak saya memegang botol ubat semburan untuk kulitnya yang elergik.

Kucing-kucing ini memang menyebabkan saya penat tetapi mereka tidak menyusahkan hati saya.

Malam tadi Comel merajuk sebab saya meleteri dan menarik telinganya. Dia keluar ke bahagian belakang dan duduk diam. Saya mencarinya dengan cemas. Kalaulah dia hilang dan sesat, tentu sukar untuk mencarinya. Anjing liar pemakan kucing sangat banyak. Comel pula jenis indoor cat. Dia duduk atas meja, tidak peduli ketika saya panggil untuk tidur. Ketika memegangnya, dia menggigit sedikit tanda marah. Saya pun seperti orang bodoh bercakap dengannya, "ibu marah sebab takut Comel hilang. Kena gigit anjing dan kucing liar. Ibu sayang Comel..."

Nampaknya kucing mengerti bicara tuan. Dia OK selepas itu.

No comments: