Total Pageviews

Thursday, March 19, 2015

Di Atas Hamparan Tecoma

Anak saudara saya yang baru menjadi pengantin itu bertanya, “bagaimana Mak Yang berhadapan dengan segala masalah yang pada saya sangat berat...”

OK. Saya bukan malaikat. Pengetahuan agama juga tidak banyak, sekadar yang asas. Saya perempuan menghampiri umur lima puluh. Saya berpenyakit dan sekarang barangkali akan berhadapan dengan risiko baharu.

Memang saya banyak masalah. Kiri kanan depan belakang atas bawah. Semuanya seperti peluru yang boleh membunuh bila-bila masa. Saya tiada wang. Tidak boleh bermudah-mudah memborong tudung berjenama sehingga runtuh almari. Tidak boleh suka hati membeli kereta mewah dengan hutang bertapuk dan memboroikan perut kapitalis.

Rumah kecil sewaan saya kosong dan jika ada pun, perabot yang sudah usang dan penuh cakaran. Tiada pinggan mangkuk atau periuk berjenama sehingga poket kosong mahu membayar harganya. Tiada pakaian yang penuh batu berkilauan, tiada apa-apa.

Saya mahu semua yang bernama kemewahan sebab saya manusia biasa yang ada nafsu. Tetapi semuanya itu bukan satu keperluan!

Maka, saya akan bergembira dengan apa yang saya ada. Jika tiada wang yang cukup, saya makan sekadar mengisi perut. Jika mahu belanja orang, saya akan belanja sahaja sebab saya percaya Allah akan sentiasa memberi rezeki-Nya kepada hamba.

“Jadi, Mak Yang tak fikir apa-apa?” tanyanya lagi.

Mustahil saya tidak berfikir. Malahan adakalanya saya kebingungan. Umur, keyakinan kepada takdir Allah, pengalaman hidup... telah banyak kali menyelamatkan saya daripada terus buntu.

Kita hidup dengan apa yang kita ada. Sehingga pertengahan tahun ini, saya kena bertahan. Anak-anak saya akan menamatkan pengajian. Apa yang berlaku kepada mereka selepas itu, hanya Allah sahaja yang tahu.

Sayap-sayap saya yang sering tercarik, saya biarkan sahaja tercarik sebab saya tidak pandai menjahit. Carikan-carikan itu adalah ingatan perjuangan hidup saya yang sering kelabu. Ujian seperti hujan, akan sentiasa muncul sepanjang tahun. Berhentinya sebentar cuma dan selepas itu akan menyerbu kembali. Selagi belum ada takdir yang bernama kematian, selagi itulah kehidupan kita diuji.

Mahu menangis sehingga buta mata? Selalu saya berkata kepada diri, di dalam kubur nanti aku akan sendirian juga.

Kepada anak saudara saya yang masih bertanya, hidup bukan semudah jangkaan kita. Apa yang kita sangka bagus, tiba waktunya belangnya akan terserlah. Apa yang kita nampak baik, suatu saat akan mencalit warna. Apa yang terlihat buruk, suatu ketika akan menjadi putih dan cantik.

Kita boleh memilih jika kita ada pilihan. Ada kalanya kita terpaksa memilih sebab kita tiada pilihan. Sebagai contoh, kita sukakan buku tetapi tiada seorang pun rakan kita yang suka buku. Kita terpaksa berkawan dengan orang yang tidak suka ke kedai buku, tetapi lebih gemar ke kedai baju, memborong emas atau ke butik-butik mewah.

Pada saya tiada masalah, asal saja saya tidak menjadi sebahagian daripada mereka. Begitu juga dengan kehidupan ini. Adakalanya kita boleh memilih. Adakalanya kita terpaksa memilih dan berhadapan dengan berani terhadap apa yang telah kita pilih.

Berdoalah.

Di atas hamparan tecoma yang gugur dan menjadi selimut rumput, saya menatap bunga yang kelopaknya berwarna putih, ungu dan merah jambu. Di bawahnya, ada sehelai daun duka yang sedang mengering dan mereput menjadi tanah.

Kita boleh memilih. Atau terpaksa memilih.

Untuk menjadi tecoma atau daun di bawahnya!