Total Pageviews

Saturday, March 21, 2015

Dan Aku Pun Semakin Tua

Jumaat lepas saya meningkat usia. Walaupun saya sibuk menyemak laporan penyelidikan, tetapi hari itu saya sengaja membuka laman muka buku. Kalau bosan, saya menjenguk laman dan membalas setiap ucapan rakan-rakan.

Walaupun jumlahnya banyak, saya kena jawab sebagai tanda menghargai, termasuk juga yang menelefon dan mengirim mesej. Kakak-kakak, abang, adik-adik, ipar dan keluarga tidak pernah melupai tarikh Mac dua puluh itu. Kakak sulung saya yang usianya sudah sekitar enam puluh dua menelefon dan menyanyikan lagu hari jadi. Terasa saya masih seperti adik yang kecil. Mak macam biasa, ayatnya sama...”ha? Yang sudah umur sebegitu banyak? Cepatnya!”

Kasihan mak. Setiap kali enam anaknya meningkat usia, mak akan terkejut. Dan mak akan berkisahan, mengenang saat-saat getir melahirkan anak-anaknya yang sebahagiannya sudah berada di syurga dan sebahagian lagi sedang bertarung dengan kerenah dunia.

Jumaat itu juga sepatutnya saya menghantar Baby menjalani pembedahan pemandulan. Tetapi entah bagaimana takdir Illahi, seorang adik pensyarah semasa saya bertugas di sebuah kolej menawarkan kucing Parsinya untuk dijodohkan dengan Baby. Malam itu saya mengadakan undian yang saya namakan pilihan raya meow. Saya meletakkan dua gambar kucing Parsi rakan dalam grup whassap keluarga. Nampaknya persaingan sengit dan akhirnya meow yang berwarna oren menang setelah dicampur dengan undi pos...hehe...

Keesokan hari, paling menyedihkan. Saya menghantar si kecil Naget ke Kelang. Siap dengan kandang, makanan, mainan, bekas pasir, baju dan kalung ubat. Si bongsu yang pulang untuk menyambut hari lahir saya (dan menghantar keretanya ke bengkel) menemani saya menemui kakak angkatnya itu. Saya tahu si kecil akan bahagia bersama tuan baharu. Beberapa hari saya sudah menangis apabila mengenangkan hal tersebut.

Memang...ketika malam, rumah jadi sunyi. Tiada lagi makhluk yang berlarian dalam rumah bermain dan mengusik meow yang dua ekor itu. Saya simpan kesedihan. Naget sedang seronok di rumah baharu. Pasti begitu! Comel macam kebingungan. Agaknya dia pun rasa kehilangan si kecil yang nakal.

Si Atat, baka Parsi berwarna oren yang gemuk dan kacak dihantar ke rumah. Menantu baharu!

Kerja mengemop saya akan bertambah. Baka Parsi sangat sensitif dengan kekotoran. Tidak mengapa, asal hati gembira. Bola bulat berbulu-bulu berkeliaran dalam rumah. Kalau ada si kecil Naget kucing tiga warna, habislah semua kena tampar dengan tangannya yang kecil comel.

Saya akan terus menyelamatkan bayi yang terbuang dan sakit seperti si kecil Naget. Kasihan mereka. Dunia yang luas ini Allah ciptakan untuk semua, bukan untuk manusia semata-mata.

Doakan saya dapat merealisasikan impian sebuah pusat perlindungan untuk makhluk yang cepat membiak ini.

Terima kasih kepada mereka yang mengucapkan selamat untuk si ibu bunga matahari.

Mak dan ayah, terima kasih melahirkan saya dan menamakan saya dengan nama yang unik. Terima kasih kerana tidak jemu melayan kerenah saya sewaktu kecil, yang mahu mak bercerita ketika saya mahu tidur. Sekarang, saya pula bercerita kepada dunia dengan menyusun aksara menjadi perkataan indah bermakna.

Terima kasih Allah yang meminjamkan dunia ini untuk saya. Memberikan segala apa yang saya minta, menguji saya sebagai tanda cinta.


Kalian menjadikan hidup saya seperti pelangi.

Dan saya masih menjadi ibu bunga matahari yang tidak peduli dengan teriak guntur yang memekak di langit.