Total Pageviews

Thursday, March 5, 2015

Kecoh Budak Hilang

Saya melihat suasana agak kecoh.

Seorang bapa muda kelihatan berjalan ke sana ke mari. Kemudian dia menunjukkan sesuatu dalam telefon bimbitnya apabila seorang pekerja bertanya, “ada gambar?”

Seorang budak lelaki, sekitar usia delapan tahun menangis teresak-esak, juga bermuka cemas dan susah hati.

“Mari kita tolong,” kata saya kepada Tuti, jiran yang ikut saya membeli barang keperluan. Saya baru sahaja mahu meletakkan barang ke dalam bakul dan berniat mahu mencari di aras atas ketika encik pengawal membawa seorang budak perempuan rambut kerinting dan memakai baju merah jambu...

Budak itu barangkali masih tadika.

Dia hilang ketika bapanya sibuk membayar di kaunter. Abang yang ditugaskan untuk mengawasi barangkali terlepas pandang.

Kasih sayang si abang teruji. Saya masih melihat dia teresak-esak sambil memegang erat bahu si adik berjalan menuju ke kereta. Wajah adik perempuannya selamba sahaja, tidak mengerti bahawa dialah penyebab kepada kekecohan.

Rupa-rupanya budak perempuan itu keluar ke bahagian hadapan pasar raya sambil makan makanan ringan. Lain kali kalau mahu bawa budak yang macam itu, kena pegang tangannya sentiasa. Saya lebih kasihan melihat abangnya itu. Tidak peduli ramai orang yang melihat dia menangis tersedu-sedu.

Saya teringat kisah si sulung yang pernah hilang ketika dibawa ayahnya ke pasar raya di kota KL. Dia hilang di aras lain dan dijumpai di aras lain. Saya tidak diberitahu oleh ayahnya, barangkali tidak sanggup menerima kemarahan saya atas kelalaian menjaga anak. Tetapi budak itu membocorkan rahsia dengan menyatakan bahawa “kakak takut bila polis tu tanya...” saya kemudian difahamkan bahawa polis yang dimaksudkannya ialah pengawal keselamatan.

Tidak dapat saya bayangkan kalau anak itu hilang. Budak itu masih kecil. Sejak itu saya sangat awas, sentiasa menelefon untuk memastikan keberadaan anak saya meskipun sering dicemburui kekasih hati ayahnya. Peduli apa saya! Dia masa itu belum berkahwin dan punya anak, mana dia tahu rusuh hati seorang ibu! Lagipun kalau mahu memikat ayah burung, kenalah berjinak-jinak dengan anak burung dan ibu burung yang kasihan...hehe (jangan guna perumpamaan itu sebab saya yang cipta ikut suka hati).

Yang masih ada anak kecil, hati-hatilah selalu. Orang jahat berlambak-lambak sekarang. Kos hidup meningkat. Orang jahat boleh jual apa sahaja termasuk budak kecil. Yang ada anak besar pun kena awas juga. Apa lagi anak perempuan...

Alamak!

Sendiri tulis, sendiri yang susah hati...

Sekarang juga saya menelefon anak-anak saya!