Total Pageviews

Wednesday, March 11, 2015

Memanglah!

Tiada perkataan yang dapat menggambarkan kesibukan para pensyarah ketika mahu menghadapi beberapa siri audit MQA, menyelia kertas proposal dan laporan kajian tindakan, menyemak kerja kursus, ke kelas, keluar menyelia praktikum...dan...dan...

Kesibukan menimbulkan tekanan. Tekanan menyebabkan penyakit. Menambah penyakit kepada yang sudah berpenyakit dan memberi penyakit kepada yang asalnya sihat.

Saya biasanya menyenaraikan apa yang perlu saya buat mengikut keutamaan. Tetapi kali ini yang itu pun saya gagal ikut. Tanggungjawab di tempat kerja itu mesti dilunasi sebab di situ Allah menempatkan kita untuk mencari rezeki. Tanggungjawab kepada anak-anak dan keluarga serta haiwan peliharaan juga perlu diuruskan dengan baik.

Kita hanya sekujur jasad yang sudah menghampiri renta.

Tetapi pagi ini isi alam telah mengajar saya. Saya berasa sangat malu walaupun sebenarnya saya sudah tahu rutin mereka.

Sementara menunggu tren, dengan kelaparan yang menyebabkan perut dan belakang saya senak, saya tunduk melihat aspal.

Makhluk-makhluk itu sedang berusaha memindahkan sisa makanan yang saya kira sangat berat. Coklat yang cair di mulut memang berat. Tiada yang nampak berputus asa. Saya tidak tahu kenapa mereka tidak ramai. Selalunya mereka bergerak dalam komuniti yang agak ramai.

Barangkali ini makhluk PATI, kata saya terasa mahu gelak dalam hati.

Kebisingan tren yang asyik ke sana ke mari tidak memberi kesan kepada makhluk itu. Saya rasa mereka pekak.

Lima belas minit mereka berusaha menggerakkan benda itu. Waktu tren sampai, mereka masih berusaha. Saya harap tiada manusia yang gelojoh mahu cepat dan memijak komuniti yang sedang berusaha mencari rezeki.

Tidak menarik pun. Hanya yang biasa-biasa. Tapi saya rasa tersindir. Kerja dunia yang banyak ini yang saya sibukkan sampai separuh mereng.

Makhluk itu tidak berputus asa macam saya.

Mesti ada yang kata, mana sama? Kita kan manusia?

Memanglah!

Saya pun tak mahu jadi semut!