Total Pageviews

Wednesday, March 4, 2015

Kembali Sunyi


Kakak sedang bersiap-siap untuk pulang


Giliran adik pula yang melambai ibu seminggu kemudian

Hampir dua bulan anak-anak bercuti semester. Seorang sudah balik, sementara seorang lagi masih ada seminggu baki cuti.

Apabila yang sulung balik ke kampus, tiada terasa sangat sebab masih ada seorang lagi yang sentiasa mengekori ke mana-mana sahaja ibunya pergi.

Sepatutnya dia pulang hujung minggu tetapi ada sesuatu yang berlaku. Wang yang dikeluarkan melalui mesin ATM telah dipotong jumlah bakinya sedangkan wang tidak keluar. Saya cuba menelefon bahagian aduan bank berkenaan tetapi gagal. Keesokan harinya, saya meminta kebenaran ketua jabatan untuk keluar menguruskan hal tersebut.

Dia pulang ke kampus tengah hari. Usai waktu pejabat, sekitar jam enam petang, saya pun balik ke rumah. Melihat garaj yang kosong, saya berfikir, “ke mana pula si adik pergi?”

Biasanya sepanjang cuti, sama ada si kakak atau adik tidak akan keluar ke mana-mana kalau tidak ditemani ibu. Kadang-kadang saya suruh juga mereka keluar ke bandar, tetapi mereka tidak mahu. Entah apa seronoknya duduk berkurung dalam rumah sepanjang hari. Bukannya ada peti televisyen untuk ditonton...

Masya-Allah, saya lupa yang si adik sudah pulang ke kampus!

Masuk ke dalam rumah, saya hanya disambut si Baby, Chomel dan Naget. Tiada gadis yang suka memeluk si Bengal Marble walaupun alahan atau kakaknya yang suka membuli kucing. Sunyi mula menyergah di mana-mana. Saya menjenguk kamar anak-anak yang kosong.

Ini semester akhir tahun akhir.

Perjuangan mesti lebih kuat. Hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi.

Pergilah anak. Semoga Allah melindungi kalian.