Total Pageviews

Friday, March 27, 2015

Ranai Luka Sang Serigala

Dua hari yang sangat penat.

Khamis awal pagi saya ke Klinik Surgeri HUKM. Tiga jam menunggu akhirnya baru dapat masuk ke bilik doktor.

“Alhamdulillah” kata saya menyebabkan doktor yang sedang tekun menulis mengangkat muka. Dia senyum. “Kenapa?” tanyanya.

“Saya berdoa agar dapat doktor perempuan. Ada masalah sedikit...” dan saya menerangkan masalah terbaharu yang agak menakutkan juga.

Dia menanyakan soalan lazim sebab fail saya entah berada di klinik mana. Saya diperiksa untuk pemeriksaan rutin dahulu. Lama dia menekan di satu tempat dan daripada pengalaman saya, ada sesuatu yang kurang kena. Kemudian dia membawa saya untuk ujian ultrabunyi di kamar sebelah.

“Macam ada beberapa biji kecil. Tapi yang satu itu agak ketara” dia menerangkan. Langsung menulis surat rujukan untuk dibawa ke Jabatan Radiologi. Dia memberitahu doktor yang lain, “saya mahu pakar yang buat ultrabunyi, bukan doktor biasa...”

Pemeriksaan untuk masalah kedua agak menyakitkan. Alat diambil dari Klinik O&T dan saya terpaksa menahan malu demi memastikan tiada masalah yang berlarutan.

Selepas itu dia menulis lagi satu surat rujukan untuk pakar di Klinik O&T. “Mereka lebih tahu sama ada ia bersangkutan dengan serviks atau hanya benda biasa yang boleh dibuang begitu sahaja...”

OK. Saya tahu bahawa saya akan berada sehingga petang di hospital itu sebab jam sudah menunjukkan pukul 1.30 dan semua kaunter ditutup.

Jadi, saya menunggu dengan ditemani oleh buku Pak Abdul Latif bertajuk Mustafa Kamal Ataturk yang saya dapat semasa menjadi panel hakim sayembara.

Selepas berjaya mendapatkan tarikh temu janji, saya kembali ke Klinik Surgeri untuk mendapatkan tarikh temu janji di klinik tersebut pula. Kemudian saya mencari Klinik O&G. Ada tiga hari sahaja rawatan untuk sakit puan dan hari tersebut akan jadi tetap, tidak boleh bertembung dengan temu janji di klinik lain.

Saya melihat catatan. Isnin adalah jadual saya dengan Klinik Onkologi, Khamis dengan Klinik Surgeri, setahun sekali dengan Klinik ENT...jadi, hanya tinggal hari Rabu.

Ya. Rabu untuk klinik O&G. Bertambahlah bilangan klinik yang akan menerima saya sebagai pesakit!

Jam lima setengah baru saya tiba di rumah. Tetapi saya tidak boleh rehat. Ada dua kertas cadangan kajian yang saya kena semak. Esok saya kena ke HUKM lagi. Mereka mahu saya buat ujian ultrabunyi dengan cepat.

Kakak dan keluarga saya di kampung sangat risau. Saya tahu mereka berdoa untuk saya. Memang saya menangis sedikit ketika bercerita kepada Tuhan. Saya menangis juga ketika berbual dengan si Baby dan Comel. Ya, ibu bunga matahari menangis. Tetapi tidak lama. Saya kesat kembali air mata dan bersyukur kerana air mata itu tidak lagi mengalir ke dalam seperti dahulu!

Keesokannya, saya menuju ke hospital sekali lagi. Menikmati pagi yang nyaman dari tingkap gerabak. Berbual dengan pemandu teksi mengenai kehidupan dan kematian. Menikmati masa menunggu dengan menanda kertas laporan kajian, menadah terik matahari dan melihat gelagat manusia dalam gerabak yang sedikit sesak menjelang petang.

Dalam bilik ultrabunyi yang pintunya berat, doktor cuba mencari biji yang dikatakan oleh pakar surgeri. Seorang lagi mencuba apabila doktor yang pertama gagal mengesan.

“Puan ada urusan tak tengah hari ini?” tanya doktor yang perempuan. Saya menggeleng. “Puan boleh tunggu tak? Saya mahu panggil profesor datang memeriksa. Selalunya kami memang risau kalau surgeon kata ada sesuatu sebab tangan mereka memang made to be surgeon...”

Saya kata, “gifted hand?”

“Ya,” kata doktor yang seorang lagi. “Kalau mereka ada gifted hand, kami pun ada eagle eyes. Itu sebab kami mahu minta tolong our eagle eyes...”

Profesor perempuan yang sudah berusia itu datang. Sambil memeriksa, dia mengajar dalam terma medikal. Yang dapat saya faham terjemahannya ialah, “kalau gagal mengesan kelenjar limfa di bahagian ini, cari di sini...” sambil dia membawa alatan itu ke pangkal leher.

Barangkali doa semua orang dimakbulkan. Saya lulus untuk yang ini. Sekarang saya hanya perlu tunggu yang lagi satu. Yang pastinya memang akan ada pembedahan kecil (?).

Saya hanya bertemu makanan sekitar jam dua petang. Turun dari tren, saya meredah panas menaiki jejambat dan turun ke medan selera sebuah kompleks. Mengambil makanan dan menghabiskannya dengan cepat sekadar syarat untuk menelan ubat. Kemudian saya menuju ke pejabat, memasukkan kertas proposal untuk dibaiki pelajar.

Terima kasih Tuhan. Terima kasih kucing-kucing. Terima kasih keluarga. Terima kasih sahabat.

Terima kasih daripada ibu bunga matahari.

Ini pesan serigala yang terluka...menangislah ke luar, bukan menangis ke dalam!