Total Pageviews

Friday, December 1, 2017

HSPM 2015-2016





Pada 28 November 2017 bertempat di Balai Tun Nasir DBP, saya menang HSPM Kategori Sajak Eceran.

Tuesday, November 7, 2017

Anugerah Sastera & Media NS 2017



Pada malam Rabu 1 November 2017, bertempat di Allson Klana Seremban, saya menang dua kategori dalam Anugerah Sastera Negeri Sembilan untuk karya 2015-2016.

Kategori A: Buku Puisi Benarlah Katamu, UUM Press 2016
Kategori B: Puisi Eceran: Puisi Terbaik Sengaja Aku Memilih Beza

Berbanding Perak, HSKU dan HSPM...negeri ini satu-satunya negeri yang merahsiakan pemenang. Selain itu, tiada buku yang diterbitkan untuk mengumpul karya eceran. Sehingga saat pengumuman, barulah kami tahu siapa yang menang daripada beberapa orang pencalonan akhir yang tercatat dalam buku program. Oleh sebab itu, mahu meminta orang tolong ambil foto pun rasa segan sebab tidak tahu menang atau tidak.

Ada sedikit kecacatan juga jika dilihat daripada corak persembahan. Tahun 2015 pun demikian. Persembahan yang sesuai mungkin lagu puisi. Namun sedikit terkilan sebab ada lagu Inggeris, ada tarian seakan "dancing" berpasangan. Mujur seniman M.Nasir menyelamatkan ruang persembahan.

Sementara itu pengacaraan juga tercalar sedikit dengan beberapa kesilapan. Kesilapan terbesar ialah ketika menjemput juri untuk mengambil hadiah daripada MB. Zainal Palit (Zaen Kasturi) tidak dipanggil naik sedangkan beliau sudah berdiri untuk naik ke pentas. Tiada urus setia yang menyedari hal ini menyebabkan saya meluru keluar mencari Zainal. Malangnya, beliau telah tiada di situ.

Apa pun, terima kasih kepada pihak perpustakaan NS dan pihak MB NS yang saya sukai corak pimpinannya. Walaupun nilai hadiah tidak sebanyak di Perak, tetapi alhamdulillah. Ada rezeki emak saya kali ini. Saya yang sudah menetap di sini hampir dua puluh tahun, diterima baik untuk anugerah ini meskipun bukan kelahiran di bumi adat ini.

Alhamdulillah.

Usai majlis, saya tidak menunggu untuk berfoto sebab saya tidak boleh fokus. Emak tidak sihat di kampong. Hati saya gusar.

Tuesday, October 31, 2017

Mencari Bahagia



Minggu ini saya banyak berbual dengan dua orang sahabat dari jabatan berbeza. Encik Zainon bin Johari dan Puan Hajah Norlila Talib.

Saya gemar mendengar lontaran buah fikiran mereka. Saya sendiri berasa yang saya sesuai dengan pemikiran mereka, memandangkan yang saya kurang gemar (tidak gemar juga) bersembang tentang rantai emas, beg tangan jenama Channel asli, percutian ke negara bersalju, kereta Honda keluaran terbaharu, anak yang dipuji melangit sebab pandai belajar sampai ke luar negara, baju penuh berbatu-batuan harga ratus-ratus, tudung yang harganya boleh kenyang kucing-kucing saya dua minggu…

Kami berdiskusi tentang konsep nikmat, tentang sastera, tentang buku. Bosan bukan? Sebenarnya tidak. Sebab kalau kita mengakui bahawa kita orang akademik, kita guru, kita pendidik, maka hal-hal itu mesti berkeliaran dalam lingkungan hidup kita. Bukannya sibuk dengan menayang emas di badan, atau sibuk juga bercerita harga beg tangan yang beribu-ribu atau berapa biji batu hang bubuh di baju hang!

Saya beritahu dia, apabila kita sakit, kita diuji, kita menjalani proses rawatan yang panjang dan rumit, sebenarnya apabila sampai satu tahap yang kita sudah lali, kita redho, kita boleh senyum ketika bercerita, malahan sampai boleh ketawa lucu atas peristiwa tertentu, itu nikmat terindah dalam kehidupan. Malahan menurut saya, apabila Allah tidak memasukkan keinginan melampau dalam hati kita untuk memiliki segala yang berbentuk material, di luar kemampuan kita, dan kita pula tidak berasa dengki dengan kelebihan-kelebihan orang lain…sebenarnya itulah nikmat dan rezeki dalam pengertian sebenar-benarnya.

Saya juga berkongsi beberapa hal berkaitan emak saya yang saya kira aura semangatnya sangat hebat. Ada rakan yang mempersoalkan tentang peranan adik beradik saya. Saya kata semua adik beradik saya melaksanakan tanggungjawab mereka menjaga emak. Apabila saya atau kakak saya memilih untuk pulang menguruskan emak, bukan bermakna adik beradik lain tidak peduli. Cuma menguruskan orang tua ini ada kaedahnya. Contohnya begini. Emak kita kalau kita menggoreng bihun, apa yang dia suka? Kalau emak saya, mudah sahaja. Tumbuk bawang merah, bawang putih, masukkan garam dan sedikit serbuk perasa (yang mudah didapati di kedai produk muslim di Seremban ini dan saya membawanya pulang ke kampong), tumiskan dengan minyak yang sedikit sahaja. Kalau mahu masak sayur pula, hanya ada dua sayur yang emak makan. Kangkung dan sawi bunga. Potong halus-halus. Tumis dengan bawang sahaja. Masa mencuci, rendam dengan air garam untuk menghilangkan racun dan serangga yang mungkin ada. Mak akan makan sehingga habis (tidak membungkusnya dalam kertas dan perlahan-lahan memasukkan dalam bakul sampah tanpa orang sedari, dan berpura-pura sudah kenyang) Ikan pula hanya dua jenis. Keli dan bawal. Kalau sudah goreng, pastikan sudah disiat-siat isinya sebab mata mak sudah tidak nampak tulang.

Ada rakan juga mengatakan beri ganjaran kepada diri sendiri dengan ikut mereka melancong atau membeli-belah. Bukan saya tidak mahu. Tetapi jika kos melancong itu boleh saya belikan sesuatu untuk mak, atau cucu atau anak, atau untuk kucing di rumah dan di jalanan…wah! Itulah ganjarannya buat saya. Harus dimengerti bahawa manusia itu berbeza. Sudahlah dibesarkan dan dididik dengan kaedah berbeza, pengalaman hidup berbeza, akhirnya membentuk peribadi tersendiri dengan prinsip berbeza. Apabila pendirian dan prinsip hidup kita sudah seteguh banjaran gunung, tiada apa yang dapat ikut meruntuhkannya kecuali jentikan dari Yang Maha Agung.

Kesimpulan daripada cekcokan saya dengan mereka ialah, tidak perlu selalu merungut akan kasut yang usang (hahaha…anak selalu cakap, gaji beribu tapi kasut BATA ibu sudah terlalu lama tidak ditukar baharu) sebab ada orang tidak berasa kekurangan walaupun tidak berkaki. Tidak payah kita banyak mengeluh akan lauk yang kemasinan sebab ada orang yang langsung tidak berpeluang menjamah makanan. Jangan juga banyak merungut akan keletihan mengurus anak, sedangkan ada orang yang langsung tidak punya anak atau lama menunggu baru dapat anak, atau dapat anak tetapi menjadi anak syurga. Bagus sekali, kata saya…apabila kita mendampingi manusia yang memang gerenti Allah berikan syurga.

Puan Norlila sebaya saya, bertudung labuh, pengalamannya luas, orangnya hebat. Encik Zainun pula pernah bekerja di UM, berpengetahuan banyak dan berpengalaman hebat. Bicara dengan mereka, berasa diri saya sangat kecil ilmu. Saya yang kurang bercakap dengan orang, agak banyak bercakap dengan mereka ini, sebagai tanda keserasian atas beberapa perkara.

Hidup ini jangan banyak sangat mengeluh, sedikit-sedikit itu normal. Kalau langsung tidak mengeluh, itu namanya luar biasa.

Sunday, October 29, 2017

Memberilah...



Kehidupan menjadi sangat indah apabila kita selalu memberi meskipun hanya sekadar doa.

Contohnya begini. Kita sedang berbaris untuk mengambil tiket balik ke kampong halaman. Kita mungkin berada pada kedudukan yang ke-25 orang jauhnya dari kaunter. Di hadapan kita ada seorang perempuan yang kelihatan kurang sihat. Apalah salahnya jika kita berdoa sungguh-sungguh di dalam hati. Ya Allah, kasihanilah orang ini, permudahkan segala urusannya, sihatkanlah dia. Ya Allah, permudahkan juga semua orang yang sedang beratur ini termasuklah yang berada di belakang kaunter. Cepatkanlah yang lambat, mudahkanlah yang payah. Moga-moga kami semua ini Ya Allah, dapat pulang ke kampong halaman dengan selamat.

Atau ketika kita sedang memandu di lebuh raya. Kita melihat ada kemalangan jalan raya dan pihak terbabit sedang bertungkus lumus melakukan usaha menyelamat. Doakanlah untuk mangsa kemalangan dan pasukan penyelamat. Doakan juga untuk diri kita, kenderaan kita, diri pengguna jalan raya yang lain serta kenderaan mereka.

Memberi bukan semata-mata dalam bentuk material. Berikan laluan kepada pemandu yang kelihatan mahu lekas dan memohon izin untuk melintas. Kita tidak tahu apa yang ada dalam minda mereka. Mungkin mereka baru mendapat berita kematian ahli keluarga atau urusan lain yang segera. Doakan dan doakan terus biarpun kita tidak mengenali mereka.

Anda pasti berasa kemanisan memberi itu lebih daripada kita menerima. Allah tidak pernah buta. Dia akan menambah apa yang kurang, menggandakan apa yang sudah ada. Memberilah kepada manusia dan haiwan semampu yang kita ada. Tidak perlu banyak tapi konsisten.

Tuan-tuan, hidup ini bukan hanya untuk diri kita. Dunia ini juga kita kongsi dengan yang lain. Jika kita masih punya kaki, melangkahlah untuk kita saling memberi. Tetapi jika kita sudah tidak punya kaki, senyuman dan doa kita akan menjadi “kaki” kita yang pasti menjanjikan ruang di jannah.

Memberilah…

Thursday, August 17, 2017

Tutuplah Sedikit Langit Itu

Kayyisa sudah semakin bijaksana. Saya mengelak untuk pulang jam 1 tengah hari. Jika saya balik juga, saya menghadapi masalah yang sangat besar untuk melepasi kawalan keselamatan. Kayyisa semacam dapat menghidu bahawa saya mahu segera pergi. Maka dia akan duduk di atas riba, memegang lengan saya dengan begitu kejap dan matanya melingas awas dengan setiap pergerakan mencurigakan.

Huh, jika saya menghantar apa-apa, saya ada strategi lain. Jangan sampai dia mendengar suara atau kelibat saya.

7 Mei lalu, ikut tahun internasional, Kayyisa sudah setahun. Hari ini tujuh belas Ogos (Indonesia sambut hari merdeka).Ertinya sudah setahun tiga bulan lebih. Giginya sudah delapan. Empat di atas empat di bawah. Sesekali di hujung telinga saya, saya dengar mamanya menjerit sakit. Dia menggigit hahahaha...

Dia membesar persis mama dan maksunya. Sangat mudah. Sihat. Makan apa sahaja. Tidak banyak kerenah (asalkan ada makanan). Lekas mesra dengan orang. Tidak meragam. Mudah. Mudah. Alhamdulillah. Allah sangat adil. Hanya Dia yang tahu semuanya.

Saya membelikannya buku-buku, mainan murah-murah. Selebihnya saya letak dia dalam besen dan menolak ke sana ke mari, dengan kucing-kucing yang saya namakan sebagai singa, zirafah, harimau belang dan sebagainya. Kononnya saya sedang membawanya menikmati Night Safari. Kadang-kadang saya letakkan dia atas tikar, atau baldi, atau kotak atau tilam kecil, kemudian "menjelajah" hutan rimba atau sungai yang ada haiwan buas.

Susah juga membesarkan kanak-kanak dalam dunia gajet. Saya beritahu anak, ibu besarkan anda berdua dengan buku, tiada Astro, tiada TV yang canggih. Tetapi ketika dewasa, anda memilih gajet. Bagaimana anak seperti Kayyisa yang dibesarkan dengan dunia gajet, adakah dia akan memilih buku pada ketika dewasanya kelak? Saya kagum dengan mama papa Kayyisa, mereka ada cara membesarkan anak dalam dunia yang asing ketika saya menjadi ibu kepada dua anak kecil dahulu.

Sangat menakutkan. Gajet telah membunuh kemanusiaan. Kasih sayang. Komunikasi. Adab. Agama. Tuhan.

Datuk yang tua renta merogol cucu yang kecil. Orang membunuh orang. Orang membunuh haiwan. Orang menghasut orang. Kuasa besar dan kecil saling menyebarkan kejahatan.

Salahkah gajet?

Bukan macam itu. bergantung kepada kawalan peribadi. Pisau...boleh guna untuk yang jahat sahajakah? Pisau boleh siang sayur, masak, bagi keluarga makan, hidup gembira dan sihat. Pisau yang sama boleh bunuh orang juga.

Pisau tidaklah salah. Pelaku yang memperlakukan pisau ke jalan salah itulah yang salah.

Tapi kena ada kawalan juga atas pisau tersebut. Janganlah bubuh merata-rata. Di dapur sudah ada, tajam pula. Di ruang tamu ada, bilik tidur, bilik mandi, balkoni, garaj, atas meja luar, dekat pintu pagar, merata-rata.

Saya mengesat peluh, membetulkan urat-urat pinggang. Menolak dan menarik Kayyisa sama ada dalam kotak atau besen memang mencuri tenaga. Tetapi itu lebih baik daripada melihat dahinya berkerut-kerut menonton di skrin tablet.

Sukarnya bukan?

Tapi itulah realiti yang kita kena berdepan. Saya mendoakan agar pihak berwajib yang menang pilihan raya nanti melakukan sesuatu untuk membendung langit yang terlampau terbuka ini. Bukannya apa, takut langitnya runtuh dan menghempap, menghilangkan ingatan-ingatan kita, menjadikan kita rangka-rangka yang bukan sahaja tidak bernyawa, bahkan juga tidak layak untuk diberikan nyawa!

Tuesday, August 8, 2017

Definisi Bahagia

Kebahagiaan hidup bukan bermakna kita mesti memiliki segala yang besar-besar.

Jika kita memiliki rumah besar tetapi rumah ibu bapa kita usang, itu bukan kebahagiaan

Jika kita memiliki kereta besar tetapi ayah kita yang sudah tua terpaksa menunggu bas dalam panas terik, itu bukan kebahagiaan.

Jika kita memiliki gelaran dan dihormati segenap manusia tetapi ibu bapa kita di kampong setiap petang menunggu dengan penuh kesedihan, itu bukan kebahagiaan

Kebahagiaan bermakna kita memberikan kegembiraan kepada orang dan haiwan, khususnya kepada ibu bapa kita

Biar kita tidak dikagumi orang disebabkan kita hanya memandu kereta kecil, asalkan dengan kereta kecil itu kita mampu pulang menjenguk ibu bapa yang sudah tua

Biar kita dicemuh kerana hanya tinggal di rumah kecil asalkan kita dapat membawa ibu bapa kita menunaikan umrah dan haji

Biar kita tidak disantuni kerana kita tidak punya gelar yang hebat, asalkan kita dapat pulang, memandikan, menyikat rambut dan membacakan ayat-ayat suci untuk didengar oleh ibu bapa kita yang sudah rabun dan kurang mendengar

Jika mendengar engkau mengaji itu dapat menggembirakan hati ibu bapa, lakukanlah. Allah pasti menggembirakan dirimu. Belilah barangan dengan warna kesukaan ibu bapamu. Pastikan apabila engkau memperoleh sesuatu, orang pertama yang mendapat khabar itu adalah ibu bapamu.

Maka gembirakan ibu bapamu meskipun engkau menganggapnya sebagai hal remeh.

Apa yang engkau miliki sekarang bermula dengan usaha dan doa ibu bapa, maka kembalikanlah hak mereka.

Thursday, July 27, 2017

Kayyisa Kecilku

Ok...sambung sedikit.

Saya ke RTM untuk rakaman baca sajak merdeka. Asalnya saya keberatan atas sebab-sebab tertentu tapi akhirnya saya mengekori Tuan Haji Khambali ke sana.

Saya baca satu tetapi diminta dua. Bacaan kedua pastilah sudah kurang bagus seperti yang pertama.

Saya tidak tahu apa sebenarnya yang telah terjadi kepada diri saya. Kehidupan saya kelihatan sangat berubah. Kesibukan saya juga berubah. Setiap subuh saya akan terbongkok-bongkok mengelap lantai rumah dengan tisu basah antiseptik. Begitu juga sekarang saya akan memborong bergulung-gulung tisu tebal dan pencuci lantai antiseptik. Balik kerja jam enam petang juga begitu. Malam sebelum tidur jam satu pagi juga begitu.

Sajak sudah kelihatan aneh buat saya. Saya mula menulis skrip drama yang diminta tetapi kemudian saya berhenti begitu saja. Idea cerpen bergentayangan di udara minda. Acara-acara sastera dan seni teater juga semakin menjauh.

Bulus-bulus saya kelihatan kekurangan kasih sayang. Cuma minggu hadapan, seekor akan dimandulkan dan yang tiga lagi akan menjalani proses lion-cut. Puse yang saya bawa balik ke kampung sekejap untuk bertemu mak, saya bawa kembali ke rumah. Nmpaknya kesihatan mak sangat tidak mengizinkan beliau menjaga kucingnya itu.

Sesungguhnya sangat mencabar apabila seorang penulis (?) menjadi nenek.

Semua benda saya lakukan untuk Kayyisa.

Penjual tisu antiseptik juga mengalami keuntungan berganda disebabkan Kayyisa hahahaha...

Wednesday, July 26, 2017

Aduhhhh

Lama sungguh blog ini dipenuhi sarang labah-labah.

Saya memang jarang menulis ekarang ini. Menulis sajak, cerpen atau skrip drama pun jarang. Paling akhir pun skrip drama radio khas aidilfitri radio Negerifm bertajuk Lemangku Tak Mentah Lagi. Disiarkan pada jam 2.30 petang hari raya pertama. Saya sendiri tidak berpeluang mendengar.

Banyak yang berlaku sepanjang saya berdiam itu. Saya sangat sibuk dengan cucu nan seorang. Rasanya semua nenek pun begitu. Macam dunia ini dipenuhi oleh cucu sahaja. Tiada keinginan-keinginan lain. Mahu tonton teater beria-ia tapi apabila nampak muka cucu yang berjalan laju mendepang tangan, semua keinginan jatuh berderaian ke tanah.

OK. Saya mahu ke RTM sekejap. Nanti saya menulis lagi.

Nampak? Betapa sibuknya saya hahahaha...kononnyalah hahahaha

Monday, June 12, 2017

Kisah Luka dan Ria

Semester satu 2017, semasa perayaan Hari Guru, saya dianugerahkan Tokoh Pensyarah Kreatif dan Inovatif (kreatif tu ok lagi, yang inovatif tu...hurmmmmm). Kemudian tanpa dijangka sekali lagi saya memperoleh Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016. Alhamdulillah. Pada akhir-akhir proses penutupan IPGKRM... Anugerah untuk mak sebenarnya, dan juga sahabat-sahabat saya di JPM.

7 Mei kami meraikan hari lahir Kayyisa. Sudah setahun budak itu. Cerdiknya pun bukan main. 9 Jun dia sudah boleh berjalan terhegeh-hegeh. Orang-orang selalu bertanya, ini anak orang putihkah? Hahahaha...sebab tengok opahnya kulit hitam kut.

Masuk semester dua, hari pertama ada taklimat tentang penyuraian pensyarah. Semuanya gara-gara PERMATA. Suasana stres dan sendu. Saya sendiri berasa kecewa sebab seakan tiada pembelaan untuk para pensyarah yang majoritinya sudah berusia dan berpenyakit. Saya bercakap dalam taklimat tersebut, jika guru-guru muda yang terpisah cuba dibereskan isunya dalam kes guru duka lara, pensyarah yang akan berusia ini, yang sudah berpenyakit pula, akan menyambung duka lara tersebut andainya dihantar ke sana sini ikut suka hati orang atasan.

Saya tidak tahu akan nasib saya. Saya serahkan kepada takdir Illahi. Dia tahu apa yang bagus buat saya. Berfikir banyak-banyak pun tak guna. Mereka durian dan kita mentimun. Digolek luka, tergolek pun luka. Mahu pencen, hutang masih menimbun. Ibu, anak-anak dan cucu masih perlukan saya. Sekurang-kurangnya saya perlu bertahan lima enam tahun lagi sebelum membuat keputusan untuk berhenti kerja.

Apa pun, Allah sebaik-baik perancang.

Monday, May 22, 2017

Hanya Ini

Lama sungguh tidak menulis.

Sepanjang tempoh itu banyak benda telah berlaku. Rutin saya setiap hujung minggu berterusan. Jam dua tiga pagi di jalanan adalah perkara biasa buat saya. Bersendirian, menahan apa yang perlu ditahan, dengan segala urusan yang perlu saya beres dan fikir.

Sukarkah menjadi seorang Ratna?

Bagaimanakah selayaknya saya untuk menjawabnya?

29 Rejab yang lalu, Kayyisa genap setahun menurut tahun Hijrah. Ikut tahun Masihinya ialah 7 Mei. Keletahnya bijaksana. Demikian ibunya mahu dia begitu. Sedaya upaya saya tidak mahu dia membesar dengan kalimah kasihan. Dia mesti membesar dengan keberanian. Hidup yang dipenuhi dengan kalimah kasihan tidak membantunya berdikari.

Mak pula sudah semakin ok. Alhamdulillah.

Saya telah menyiapkan skrip drama radio bertajuk Lemangku Tak Mentah Lagi. Drama khas Aidil Fitri. Rakaman telah selesai Isnin lalu.

Ada waktu saya cerita. Saya sangat sibuk.

Tuesday, April 11, 2017

Sunday, March 5, 2017

Perasmian Kampung Karyawan Malim & Daun Hayat Pun Gugur





Saya lalu di Exit Gopeng sekitar jam 12 tengah malam. Kak Rosmiaty Shaari menelefon. Saya kata saya tidak jadi masuk ke kawasan hutan itu sebab sudah melewati tengah malam. Saya terus memandu ke kampung dan bertekad untuk kembali ke KKM awal pagi.

Saya tidak tahu mengapa saya sedikit tiada mood. Barangkali sebab saya sudah ada niat mahu mengundur diri daripada terlibat dengan program sastera. Bukan mengundur diri menulis dan berkarya. Saya rasa sedikit kesal sebab tahun ini saya agak slow. Sehingga tarikh 5 Mac, saya hanya ada dua antologi, satu buku akademik dan satu sajak tersiar di media dan terbit.

Sebenarnya saya kurang selesa dengan overdose & topeng2an atau aliran acara yang tersasar daripada tujuan.

Mengenangkan Dr Malim Ghozali Pk yang baik hati dan Kak Ros yang menanti, sahabat-sahabat yang bagus, saya pergi juga. Saya tidak bermalam. Bukan tiada penginapan tetapi seperti yang saya katakan, kadang2 kita perlu akur dengan prinsip.

KKM yang sangat harmonis alamnya memang mendamaikan. Saya menitipkan buku saya untuk sahabat saya DS Pah melalui suaminya. Menurut MB, DS Pah berada di Afrika Selatan untuk sesi lawatan.

Daun Hayat Pun Gugur terbit di MM Ahad 5 Mac 2017. Saya tidak mengharapkan sajak itu yang terbit. Saya lebih mengharapkan sajak lain. Tapi mungkin sebab dalam minggu sebelumnya ada tiga orang selebiriti yang meninggal dunia, maka kemungkinan sebab itulah sajak itu terbit.

Perak memang bumi bertuah sebab pemimpin tertingginya peminat sastera.

Mujur begitu. Maka KKM pun menjadi satu wilayah seni satu-satunya di tanah air tercinta ini.

Tahniah Pak Malim. Tahniah Perak.

Wednesday, February 22, 2017

Jika Kita Jadi Tua



Saya sudah melepasi setengah abad setahun lalu. Saya anak emak yang keempat daripada enam beradik yang masih hidup.

Emak pula akan mencapai lapan puluh tidak lama lagi. Ketika saya membaca status yang ditulis kakak tentang mak, saya menangis. Bayangkan kehidupan yang dilalui mak dengan mata yang kabur, hanya samar di sekeliling, dengan telinga yang sudah tidak begitu jelas mendengar, dengan kaki yang sudah tidak gagah lagi. Tulis kakak, emak cuba membancuh air, tetapi separuh daripadanya tidak masuk ke cawan. Emak mahu makan tetapi sebahagiannya jatuh ke lantai. Makanan mak dihurungi semut. Mak tidak nampak semua itu.

Melihat mak pada zahirnya, beliau kelihatan sangat sihat. Tapi saya tahu betapa mak menyimpan segunung duka yang membentuk banjaran. Hidup yang sangat mencabar dan menyedihkan sejak mak lahir sehinggalah ke usia mak sekarang ini. Tidak habis-habis mak diuji.Sudah pasti saya tidak dapat menyelami perasaan seorang tua yang sudah enam belas tahun suaminya menemui Tuhan. Maka saya membuat keputusan, saya akan pulang setiap Sabtu dan Ahad, kecuali jika ada hal yang tidak mampu saya elak.

Jumaat lepas, saya sampai di rumah jam 6 petang. Saya terus menguruskan hal ehwal kucing-kucing saya, membersihkan rumah dan kemudian jam 7.15 saya bergerak dengan Bismillah. Jam 12.30 malam saya keluar daripada lebuh raya memasuki jalan kampung menuju Lenggong. Selesai membayar tol, saya mula memakai topi untuk menyamar sebagai lelaki. Jalan menuju kampung saya agak gelap dan sunyi. Saya sangat pasti Allah menjaga saya. Dan sememangnya Allah menjaga saya. Saya tiba di halaman emak jam 1 pagi. Alhamdulillah.

Dan mak memberikan saya kekuatan. Kata mak, "masa mak muda dulu, mak pun berani macam Yang. Tapi mak tak ada kereta. Mak cuma ada motosikal buruk. Masa ayah sakit dan anak-anak masih kecil, mak tunggang motosikal waktu tengah malam untuk cari ubat ayah. Jauh mak menunggang sendirian..."

Waktu mak bercerita, saya berpaling dan cuba sedaya upaya menahan air mata.

Saya tahu mak sangat berani. Dan mak juga seringkali difitnah, diumpat keji sepanjang mak berjuang untuk membesarkan kami.

Saya ingin merakamkan ucap tahniah kepada mak. Saya mungkin tidak seberani mak, sebab saya naik kenderaan yang terkepung, yang berkunci, yang ada ciri keselamatan. Saya juga bukan anak yang baik tetapi mak telah berjaya mendidik saya untuk selalu ingat hidup bukan untuk dibolot untuk kepuasan sendiri tetapi juga untuk dinikmati orang lain.

Mak,kalau usia kami panjang, kami juga akan menjadi tua.

Entah bagaimanalah kami nanti.

Adakah anak-anak kami akan seperti kami, anak-anak mak?

Monday, February 13, 2017

Hanya Dia Yang Tahu...Siri 2



Saya sambung sedikit kisah agar dapat menjadi motivasi kepada orang lain.

Setelah pasti bahawa saya yang akan mengiringi mak mengerjakan haji, saya mula menyenaraikan beberapa perkara penting, di samping terus mengikuti kursus haji yang dilaksanakan oleh pihak TH. Saya hanya dapat membawa mak dua kali. Beberapa minggu seterusnya kakak saya menemani mak. Namun begitu, kondisi mak yang agak teruk menyebabkan akhirnya mak tidak lagi mengikuti kursus tersebut. Meskipun begitu keinginan mak sangat kuat. Sesekali saya akan balik kampong dan menjelaskan apa yang saya fahami daripada kursus yang saya hadiri.

Suatu hari saya menerima panggilan daripada pejabat TH yang memaklumkan bahawa saya perlu memastikan akaun mak dan saya terdapat jumlah yang cukup sebab pemotongan akan dibuat pada hujung bulan. Saya tahu akaun mak tidak ada masalah sebab sejak saya memasukkan sejumlah wang ke dalamnya, sekali pun mak tidak mengeluarkan simpanan tersebut. Buku TH mak ada dengan saya. Masalah utamanya sekarang ialah tabungan saya yang asyik keluar masuk. Anak-anak saya waktu itu baru tamat pengajian universiti yang memerlukan biaya tinggi, mereka menganggur. Sejujurnya pada saat itu saya buntu. Saya memang tiada wang. Saya jenuh memikirkan bagaimana saya mahu memenuhkan tabungan dalam waktu yang tidak sampai sepuluh hari. Bagaimana saya mahu mencari wang biaya sepanjang kami berada di tanah suci, bagaimana saya mahu meninggalkan sejumlah wang untuk anak-anak yang saya tinggalkan di tanah air?

Saya akhirnya sedar bahawa saya ada Allah yang saya sembah lima kali sehari. Saya ada “tuan” yang memiliki keupayaan daripada segala upaya. Saya bersendirian pada suatu hari, hanya saya dan Dia. Saya mengadu kepada-Nya akan kesulitan2 yang saya percaya hanya Dia sahaja yang mengerti. Saya terkenang tangisan saya lama dahulu, berpuluh tahun lalu tatkala menonton siaran TV hitam putih, ketika melihat jutaan umat manusia sedang tawaf sekeliling kaabah. Saya katakan kepada-Nya…Allah, saya sangat teringin melihat kaabah. Saya sangat teringin membawa mak saya ke tanah suci. Saya mahu berada di bumi Rasul saya lahir dan juga di bumi di mana jasadnya bersemadi. Tetapi sekarang saya ada masalah…dan saya mengadu, terus mengadu dan mengadu.

Allah. Allah.

Tuan-tuan, memang Dia sangat mendengar. Memang Dia yang menjemput saya dan mak. Suatu hari selepas saya menangis2 itu, saya pun dengan lintasan ingatan mahu menyemak akaun bank, memasukkan kad ke dalam lubang ATM dan hampir meraung di situ ketika melihat ada jumlah yang sangat mencukupi untuk saya dan mak, malahan untuk biaya kami di tanah suci, juga untuk anak-anak cucu serta kucing2 yang saya tinggalkan di tanah air!

Saya sangat bersyukur. Saya berjumpa sekali lagi dengan-Nya dalam sunyi malam, dengan tangisan terima kasih.

Duit tersebut sepatutnya saya dapat pada Mac 20 sempena hari lahir saya, meskipun tidak banyak tetapi sangat mencukupi. Pihak insuran memulangkan semula sejumlah bayaran tamat tempoh. Namun demikian, mereka memasukkannya lebih awal, betul2 tinggal dua tiga hari sebelum TH membuat pemotongan.

Maka bermulalah persiapan2 saya, dalam kesibukan bekerja, ulang alik ke kampong saya menjenguk mak yang sakit, menjenguk anak dan cucu. Saya juga menjalani pembedahan beberapa bulan sebelum keberangkatan ke tanah suci. Semuanya saya harungi dengan rasa syukur dan terharu. Tiada kawan2 yang tahu kesukaran yang saya terpaksa hadapi. Itulah sebabnya saya katakan meskipun anugerah cemerlang saya tidak peroleh sepanjang saya di IPG, saya tidak terkilan. Saya tidak pandai mempamer kerja. Saya tidak pandai menunjuk2 dengan mengirimnya untuk kemudiannya dipuji2 orang atasan. Kepantangan saya ialah, kalau tidak mahu beri, jangan mempertikaikan soal saya asyik cuti kerana ibu saya sakit. Cuti saya tujuh hari itu saja dan saya ambil semuanya untuk ibu saya. Saya mohon keluar awal setelah saya menyelesaikan semua tugasan. Bukan lari begitu sahaja seperti segelintir orang. Saya tidak kebulur dengan anugerah dunia ini jika kerana itu, saya terpaksa mengabaikan ibu yang sedang bergelut untuk hidup.

Allah menggantikan kesemuanya itu, dengan anugerah yang terhebat.

Kami menjalani pemeriksaan kesihatan berkali-kali. Maklumlah, yang pergi itu sakit, yang mengiringnya juga sakit. Namun Allah mempermudahkan segala urusan. Walaupun di kad putih kami ditanda merah, ertinya ada masalah kesihatan tetapi berupaya mengerjakan ibadat haji…

Saya tahu ada kebimbangan yang amat sangat dalam kalangan ahli keluarga saya. Tetapi saya yakin bahawa saya mampu melakukannya dengan izin Tuhan. Saya selalu terkenang kata-kata pegawai TH yang baik hati. “Tiada yang mustahil, puan. Ada orang yang segar bugar di tanah air, bila tiba di sana, mereka sakit. Ada orang yang sakit di sini, bila tiba di sana, terus sihat segar bugar…”

Saya menjadi sangat yakin dengan janji Allah. JIka dulu saya selalu mengabaikan segala perintah-Nya, melakukan kejahatan, melakukan apa yang dilarang tetapi Allah selalu berjanji bahawa jika hamba-Nya bertaubat dan istiqomah, Dia sentiasa ada dan rahmat-Nya akan terus memayungi.

Allah memberikan kesihatan yang cemerlang kepada saya. Untuk menjaga mak yang sesekali disapa uzur dan perlu masuk wad.

Maka sekarang ini, saya kena terus menjadi manusia sabar, menjaga aurat saya, menjaga ibadat saya, menjaga peribadi dan akhlak. Sangat sukar, sebenarnya. Terlalu sukar. Tetapi saya mesti membalas “budi” Allah kepada saya dan mak. Dia bukan sahaja menjaga mak dan saya di sana, bahkan menjaga anak-anak cucu saya, kucing2, adik beradik saya yang lain yang kami tinggalkan hampir dua bulan di Malaysia.

Tuan-tuan, sehingga hari ini saya kadang2 mencubit diri saya sendiri.

Saya telah menjadi tetamu Allah. Saya membawa mak pula ke sana. Ya Allah, betapa besarnya penghormatan Allah kepada pendosa ini.

Itu sebabnya saya sesekali mencubit diri sendiri.

Dengan rasa yang tidak percaya bahawa di sebalik segala kekurangan itu, Allah telah memudahkan segala-galanya.

Dia memang Tuhan Yang Agung, pengasih dan penyayang pemberi ampun.

Thursday, January 12, 2017

Hanya Dia Yang Serba Tahu...Siri 1



Setelah berfikir-fikir, saya sangat teringin mahu menulis ini. Tiga bulan saya menimbang-nimbang sama ada mahu meneruskan niat atau tidak. Maklumlah, saya bimbang disalah anggap oleh orang banyak. Kemudian Allah menunjukkan jalan. Ada isyarat yang menandakan bahawa saya perlu mencuci hati sebelum menulis. Saya betulkan arah niat di laluannya dan saya jadi menulis apa yang saya sudah lama mahu tulis.

Beberapa hari lalu, ada perbualan berkisar mengenai "kemustahilan" menjadi tetamu Allah oleh sebab masalah kewangan dan kesukaran hidup. Saya teringin memberitahu orang-orang itu bahawa ketika Allah mahu menjemput kita untuk menjadi tetamu-Nya, perkataan mustahil itu sebenarnya dengan automatik terpadam daripada kamus. Tetapi saya tidak jadi berkata-kata sebab masalah yang dihadapinya memang agak sukar. Lagi pun saya fikir saya lebih petah bercakap melalui tulisan. Saya beritahunya, nanti rajin jenguk blog saya. Saya mahu memberitahu sesuatu.

Saya mahu cerita juga sebab sekurang-kurangnya menjadi motivasi kepada orang. Kemudian, saya mahu mengingatkan diri saya dan semua orang bahawa segala yang berlaku kepada saya menguatkan kepercayaan saya kepada kuasa Allah. Menginsafkan saya bahawa sebenarnya Allah tidak pernah lupa memandang hamba-Nya meskipun hamba-Nya itu banyak dosa dan banyak masalah.

Baiklah.

Kisahnya sangat panjang, tetapi saya ringkaskan dengan yang pastinya ada lompat-lompatan di mana-mana.

Tahun 2015, hujung tahun itu emak jatuh sakit. Saya masih ingat di penghujung majlis Hadiah Sastera Kumpulan Utusan di sebuah hotel yang saya sudah lupa namanya, saya melihat grup whatsApp keluarga. Mak dikejarkan ke unit kecemasan sebab beberapa kali pengsan. Meluru kami balik ke Seremban, meninggalkan siri temu ramah atas kemenangan berganda saya itu, menyiapkan keperluan kucing-kucing di rumah, langsung saya dan si bongsu berkejar ke kampung.

Sejak itu mak terlantar. Sakit yang teruk seperti tiada harapan untuk sembuh. Saya berulangan balik ke kampung yang jauh itu sehingga menyebabkan anugerah cemerlang yang sepatutnya giliran saya dapat dibatalkan sebab saya selalu mengambil cuti untuk balik menjaga mak. Saya tidak peduli akan anugerah itu. Mak lebih penting buat saya. Sekali anugerah saya ditarik, berkali-kali Allah memberikan anugerah lain kepada saya.

Dan kemuncak daripada segala anugerah ialah jemputan-Nya untuk menjadi tetamu agung di dua kota suci. Jemputan mengerjakan haji dalam keadaan yang sangat mustahil.

Kenapa saya kata mustahil?

Mak mendapat surat panggilan haji kelompok pertama pada bulan November. Saat itulah mak sedang terlantar dan sekejap2 pengsan. Kakak mengambil cuti sebulan dan menjaga mak. Saya pula dengan adik beradik lain saling bergantian menjenguk mak. Yang paling jauh ialah saya dan adik lelaki yang di bawah saya (sekarang yang terjauh tinggal saya sebab adik sudah pencen dan mengusahakan ladang di belakang rumah mak serta berniaga kantin sekolah).

Sebenarnya dari sudut kewangan, duit mak sudah saya penuhi di tabungan. Sudah lebih daripada cukup termasuk untuk membayar dam sebab mak membuat haji tamatu'. Halangannya ialah mak sedang sakit dan bukan sakit yang biasa-biasa. Sakit yang merenggut upaya dan daya ingatan. Puncanya mak jatuh pada bulan Ramadan tahun sebelumnya ketika pulang dari surau. Sejak itulah mak sekejap OK dan sekajap KO. Yang paling teruk pada hujung tahun 2015 itulah.

Saya tidak tahu mahu menggambarkan bagaimana teruknya mak sakit. Cuma apa yang dapat saya tuliskan ialah ketika mak mahu solat, kami terpaksa mengusung mak ke tempat wuduk, mengambilkan mak wuduk. Setelah itu memakaikan mak telekung dan mesti menyandarkan diri kami di belakang, tepi kiri dan kanan supaya mak tidak jatuh ketika solat berlunjur. Mak tidak mahu solat baring. Mak mahu solat secara berlunjur. Adakalanya mak langsung tidak dapat mengangkat tangannya sendiri, matanya pejam dan kami tidak memahami butir bicara mak.

Kami usung mak berubat moden dan tradisional. Sehingga satu ketika jemaah dipanggil untuk membaca Yassin. Bayangkan saja bagaimana keadaan mak ketika itu.

Ketika saya mahu menolak tawaran, pegawai tabung haji datang dari KK. "Jangan tolak dulu, puan. Terima dulu. Mana tahu dengan izin Allah..."

Baik. Itu masalah pertama. Kondisi mak.

Masalah seterusnya ialah siapa yang mahu menemani mak ke sana? Saya mencadangkan kakak saya yang lebih memahami dan biasa menjaga mak. "Tidak mengapa," kata saya. "Nanti saya tambah kosnya..." Sebenarnya saya bercakap sahaja. Saya tiada duit. Tabungan saya nihil!

Malangnya majikan kakak tidak membenarkan kakak bercuti lagi. Merayu bagaimana pun, beliau tidak dibenarkan cuti. Beliau hampir mahu memutuskan untuk berhenti tetapi memikirkan yang beliau masih ada sedikit hutang, maka keputusan itu ditarik balik.

Saya mencadangkan abang pula. "Abang belum daftar haji..." katanya.

"Tidak mengapa, pengiring boleh terus sahaja daftar..." saya menerangkan. Seperti kata-kata saya kepada kakak, saya juga berjanji akan menanggung kosnya dengan izin Allah. Saya tidak tahu mengapa saya begitu yakin sedangkan saya tahu tabungan saya tiada!

Sewaktu saya mahu menulis nama abang, tiba-tiba datang seorang lelaki kampung sebelah, kenalan abang. Dia kenal saya tetapi saya tidak kenal dia. Dia mencadangkan saya sebab katanya, dalam keadaan mak yang memerlukan orang menjaganya secara rapi termasuk untuk ke bilik air, mana mungkin anak lelaki boleh melakukannya sebab mak dan anak lelaki duduk di bilik berasingan. Kes dia pun serupa. Oleh sebab itu dia sedang membuat rayuan supaya namanya ditukarkan kepada nama adik perempuannya!

Ya juga, kata abang saya. Mak bukan uzur biasa. Mak perlu dipimpin ke bilik air, ada kalanya perlu dipakaikan lampin pakai buang, perlu dijaga dengan rapi. Kasihan mak nanti, katanya. "Yang sahajalah yang pergi sebab Yang lebih bagus dari segi pengurusan dan berani..."

Sepanjang jalan ke KK, saya berdoa, ya Tuhan...jika sesiapa yang boleh menemani mak, lorongkan mereka menghubungi saya sepanjang empat puluh minit pemanduan saya ke KK. Sehingga tiba di pejabat TH, tiada sesiapa yang menghubungi. Ya Tuhan, kata saya...jika ini takdir-Mu, hanya Engkau sahaja yang tahu.

Baik. Selesai masalah kedua. Saya yang akan mengiring mak. Dan saya tidak berduit. Malahan berpenyakit!

...sambungan###

Tuesday, January 10, 2017

Terima Kasih Allah

Ada beberapa perkara yang saya mohon kepada Tuhan di hadapan kaabah dan hari wukuf.

Saya kemudiannya menyedari bahawa Dia mendengar dan mengabulkan permintaan hamba-Nya yang dosanya berkepuk-kepuk ini.

Ya Tuhan, saya sedar bahawa sepanjang usia yang sudah melebihi separuh abad ini, banyak sangat yang diberikannya kepada saya. Meskipun yang diberikannya ujian yang sangat pedih, Dia akan menggantikannya dengan sesuatu yang terlebih baik. Malahan pemberian itu sesuatu yang tidak terjangka oleh akal dan upaya.

Allah memberikan Kayyisa yang selalu menyejukkan hati. Allah memberikan gandaan kemenangan. Allah memberikan kelapangan hidup. Allah memberikan kekuatan tenaga. Allah mengembalikan kasih sayang yang hilang sekejap oleh keadaan luar jangka.

Saya bahagia dalam keadaan serba kurang pada pandangan mata manusia ini. Sungguh!

Baru-baru ini saya pulang ke kampong.

Emak rancak bercerita dengan wajah ceria. Itulah anugerah Allah yang paling berharga. Kadang-kadang kita sakit bukan sebab memang sakit, tetapi apabila terlalu banyak yang mengganggu minda dan hati.

Allah, terima kasih atas segala anugerah-Mu.