Total Pageviews

Wednesday, February 22, 2017

Jika Kita Jadi Tua



Saya sudah melepasi setengah abad setahun lalu. Saya anak emak yang keempat daripada enam beradik yang masih hidup.

Emak pula akan mencapai lapan puluh tidak lama lagi. Ketika saya membaca status yang ditulis kakak tentang mak, saya menangis. Bayangkan kehidupan yang dilalui mak dengan mata yang kabur, hanya samar di sekeliling, dengan telinga yang sudah tidak begitu jelas mendengar, dengan kaki yang sudah tidak gagah lagi. Tulis kakak, emak cuba membancuh air, tetapi separuh daripadanya tidak masuk ke cawan. Emak mahu makan tetapi sebahagiannya jatuh ke lantai. Makanan mak dihurungi semut. Mak tidak nampak semua itu.

Melihat mak pada zahirnya, beliau kelihatan sangat sihat. Tapi saya tahu betapa mak menyimpan segunung duka yang membentuk banjaran. Hidup yang sangat mencabar dan menyedihkan sejak mak lahir sehinggalah ke usia mak sekarang ini. Tidak habis-habis mak diuji.Sudah pasti saya tidak dapat menyelami perasaan seorang tua yang sudah enam belas tahun suaminya menemui Tuhan. Maka saya membuat keputusan, saya akan pulang setiap Sabtu dan Ahad, kecuali jika ada hal yang tidak mampu saya elak.

Jumaat lepas, saya sampai di rumah jam 6 petang. Saya terus menguruskan hal ehwal kucing-kucing saya, membersihkan rumah dan kemudian jam 7.15 saya bergerak dengan Bismillah. Jam 12.30 malam saya keluar daripada lebuh raya memasuki jalan kampung menuju Lenggong. Selesai membayar tol, saya mula memakai topi untuk menyamar sebagai lelaki. Jalan menuju kampung saya agak gelap dan sunyi. Saya sangat pasti Allah menjaga saya. Dan sememangnya Allah menjaga saya. Saya tiba di halaman emak jam 1 pagi. Alhamdulillah.

Dan mak memberikan saya kekuatan. Kata mak, "masa mak muda dulu, mak pun berani macam Yang. Tapi mak tak ada kereta. Mak cuma ada motosikal buruk. Masa ayah sakit dan anak-anak masih kecil, mak tunggang motosikal waktu tengah malam untuk cari ubat ayah. Jauh mak menunggang sendirian..."

Waktu mak bercerita, saya berpaling dan cuba sedaya upaya menahan air mata.

Saya tahu mak sangat berani. Dan mak juga seringkali difitnah, diumpat keji sepanjang mak berjuang untuk membesarkan kami.

Saya ingin merakamkan ucap tahniah kepada mak. Saya mungkin tidak seberani mak, sebab saya naik kenderaan yang terkepung, yang berkunci, yang ada ciri keselamatan. Saya juga bukan anak yang baik tetapi mak telah berjaya mendidik saya untuk selalu ingat hidup bukan untuk dibolot untuk kepuasan sendiri tetapi juga untuk dinikmati orang lain.

Mak,kalau usia kami panjang, kami juga akan menjadi tua.

Entah bagaimanalah kami nanti.

Adakah anak-anak kami akan seperti kami, anak-anak mak?