Total Pageviews

Sunday, November 20, 2016

Perjalanan

Kami biasa bergerak malam. Lebih dingin. Namun ada bahayanya juga sebab tiada lelaki. Tetapi setakat ini Alhamdulillah, Allah membantu dan sangat berbelas kasihan. Jika malam dan hujan, biasanya saya yang memandu. Meskipun budak itu masih muda tetapi mata tua saya masih cekap memandu malam-malam yang hujan.

Kebiasaannya juga kami akan singgah di kawasan rehat dan rawat untuk melaksanakan solat jamak. Kemudian makan sedikit. Kalau lewat tiba melepasi jam 1 pagi, saya tidur sahaja dalam kereta di halaman emak. Budak itu biasanya tidak betah lena dalam kereta yang statik.

Meskipun mengantuk, saya biasanya tidak akan lena ketika orang lain memandu.

Selalu juga saya melihat ada kereta yang “sakit” di tepi lebuh raya. Bahaya juga jika demikian. Ada yang sedang bertungkus lumus menukar tayar. Kadang-kadang dalam gerimis.

Memandu jauh, seperti perjalanan hidup kita juga. Ada kalanya lancar dan ada ketikanya terhenti-henti oleh enjin yang rosak atau tayar pancit. Biasanya kita tidak membiarkan kerosakan itu lama-lama. Kita akan berusaha untuk memperbaiki kerosakan atau menggantikannya dengan yang baharu. Atau kadang-kadang kita berhenti bukan sebab rosak tetapi untuk berehat sebentar, membetulkan otak dan otot yang penat.

Cuma kadang-kadang saya nampak juga ada kereta yang tersadai lama. Terbiar dan mereput perlahan-lahan oleh terik matahari dan basah hujan.

Kasihan.

Wednesday, November 16, 2016

Tentang Hujan



Sekarang musim hujan. Biasanya menjelang November dan Disember memang demikian. Ada negeri-negeri yang siap siaga untuk menghadapi limpahan air dari sungai dan tasik. Jika di kota, lebihan air yang merayap dari longkang tersumbat akibat kebejatan manusia akan menenggelamkan kereta, motosikal dan barangkali manusia juga.

Sudah berbulan-bulan Tuhan memberikan kita matahari. Sekarang waktunya Dia mahu merehatkan matahari. Hanya sebentar-sebentar matahari menjenguk sebelum kembali bermalas-malasan, membiarkan awan membuka pintunya, langsung menumpahkan hujan.

Seperti biasa, saya sukakan hujan. Dingin, cantik dan mendamaikan. Meskipun membataskan pergerakan, menikmati air yang berjuraian turun nun jauh dari langit Tuhan, sangat menakjubkan hati. Bagaimana jauhnya perjalanan hujan. Maha Kaya Allah. Berkatalah teori apa pun akan kewujudan fenomena hujan, sebenarnya semuanya telah disebut Allah dalam Al-Quran. Bacalah terjemahannya dan kita akan takjub sendiri betapa kitab suci tersebut dipenuhi dengan ilmu sains, matematik, astronomi, astrologi, biologi, fizik, kimia, geografi, sejarah, ekonomi dan macam-macam.

Hujan juga menyebabkan kucing-kucing berlingkar, membulatkan diri mereka. Kasihan dengan kucing dan anjing jalanan, bertempiaran mencari perlindungan. Yang dewasa tidak mengapa, masih pantas dan tahu di mana mahu berlindung. Yang masih bayi, sama ada dibuang orang atau ibunya bersalin sendiri di jalanan; terpinga-pinga kehujanan dan akhirnya mati. Itulah sebabnya saya menyokong pemandulan meskipun ada dalam kalangan kita yang menentangnya dengan alasan perbuatan tersebut menidakkan tabie haiwan.

Bukan begitu. Proses pembiakan haiwan jalanan ini begitu deras. Tiga kali setahun ibu kucing boleh melahirkan anak. Banyak pula bilangannya. Kucing-kucing dan anjing bukan ada akal. Yang manusia berakal pun lagi teruk, bersalin dan tinggalkan bayi di tepi longkang!

Usaha pemandulan adalah untuk menyelamatkan makhluk ini daripada membiak dan disiksa manusia. Kasihanilah mereka. Pagi tadi sewaktu sarapan, seekor kucing kurus meminta makanan. Langsung saya memberikan makanan kering yang memang sentiasa ada dalam kereta. Rupa-rupanya dia baru melahirkan. Patutlah dia makan dengan gelojoh. Entah di mana anaknya. Kasihan. Masih remaja tetapi sudah bersalin.

Majlis Fatwa Kebangsaan sudah mengeluarkan fatwanya, pemandulan dibenarkan dengan tujuah menjaga kemaslahatan masyarakat haiwan jalanan. Saya tidak mahu lagi menangis setiap kali melihat ada kucing dan anjing yang dipotong kaki oleh manusia sebab mencuri seekor ikan. Atau beberapa ekor kucing yang mati akibat diracun. Atau disimbah dengan air dan minyak panas. Jahat sungguh manusia. Mereka ingat mereka tuhan.

Hujan-hujan begini, saya seronok melihat budak lima ekor itu membulatkan diri mereka yang gemuk. Entah apa khabar Puse di kampong. Tidur jugakah?

Hujan…menatapmu seperti menatap kisah hidupku!

Tuesday, November 15, 2016

Sebagai penumpang



Sangat jarang saya dapat duduk dalam kereta sebagai penumpang.

Sebagai wanita berdikari, kehidupan saya saban hari adalah sebagai pemandu.

Kadangkala saya melihat kereta sebelah. Alangkah beruntungnya mereka yang berfungsi sebagai penumpang. Boleh menikmati suasana sekitar, boleh berehat bersandar di tempat duduk.

Tetapi hidup jangan terlalu banyak bergantung kepada orang.

Impian saya sangat mudah. Dan saya hairan dengan orang yang tidak pandai bersyukur. 

Saya melihat juga gelang emas yang bersusun di tangan. Pakaian cantik bergaya. Melancong ke dalam dan luar negara. Kereta besar jenama internasional. Rumah dan tanah banyak. Simpanan juga banyak. Kalau sakit, duduknya di hospital swasta. Lagak dan gaya seperti orang kaya. Terlibat dengan parti yang duit boleh dapat dengan mudah. Tetapi kenapa masih bergaduh laki bini kerana wang?

Saya? Bekerja cari wang untuk diri sendiri, anak2 cucu dan kucing2 termasuk yang di jalanan. Hidup menyewa di rumah yg sangat kecil. Tiada perabot indah. Kereta paling murah jenama nasional. Pakaian daripada yang paling murah. Tiada barang kemas atau beg tangan. Tiada angan2 untuk melancong kerana perlu bersiap siaga andai ada keperluan mendesak.

Tetapi hati saya gembira meskipun keinginan belum tertunai. Selalu dompet saya kekurangan wang tetapi tidak sekali pun anak2 cucu, kucing2 dan mak tidak makan. Saya tinggal jauh. Kos pulang ke kampung tentu tinggi dalam situasi sekarang. Tetapi Allah tidak menghampakan jika kita pulang kerap untuk ibu kita yg sudah tua. Dia pelihara perjalanan kita. Dia berikan kita rezeki dalam bentuk yang berbeza.

Pagi ini saya tiba2 menjadi penumpang. Hebatnya pemandangan di kiri kanan. Saya terleka menelaah. Syukur kepada Allah. Saya tidak begitu mendengar orang2 berbual sebab saya sedang menikmati hijau pohon. Saya tidak jadi mahu berimpian lagi sebab sesekali menikmati hidup sebagai penumpang, rupa2nya lebih mengujakan.

Itulah.

Hidup jangan terlalu memilih untuk menjadi itu dan ini.

Jangan jadikan ia komplikated meskipun kelihatan demikian.

Rupa2nya hidup ini tetap seronok meskipun kita menjadi apa.

Semangat!!!

Thursday, November 10, 2016

Kayyisa, Grandma sayang kamu



Kayyisa sudah genap enam bulan 7 November lalu. Sudah boleh makan makanan pejal selain susu ibunya. Cucu saya itu sangat kuat, dia sudah mengangkat kepalanya sejak pada usia empat bulan. Kakinya juga kuat. Barangkali kesan minuman susu kambing yang saya berikan kepada ibunya sewaktu dia masih dalam kandungan, meskipun susu kambing itu diambilnya tiga bulan sebelum melahirkan Kayyisa.

Kayyisa suka tersenyum. Bangun tidur pun senyum. Mahu tidur pun senyum. Tidak banyak meragam, seperti tahu akan nasib diri. Melihatnya seakan memutar ingatan. Demikianlah perangai anak bongsu saya ketika bayi. Badannya pejal dan tegap. Tidak banyak ragam. Disukai orang yang melihat.

Kayyisa yang comel selalu memanggil rindu saya. Menguatkan semangat saya dan mak untuk terus sihat. Saya mendoakan mamanya juga kuat untuk membesar dan mendidik Kayyisa.

Saya harap suatu hari nanti jika Allah mengizinkan, saya mahu bawa Kayyisa ke pentas puisi.

Wednesday, November 9, 2016

Lupa

Ketika kita menyenaraikan kesedihan-kesedihan kita, kita selalu lupa bahawa ada orang yang memiliki timbunan buku dengan tulisan-tulisan yang sudah kabur dan kembang dengan air mata.

Ketika kita merintih akan kesukaran hidup yang seperti larian berganti-ganti, melepaskan baton demi baton dari tangan kiri ke tangan kanan kita sendiri, kita selalu tidak nampak bahawa ada orang yang sudah tidak punya suara untuk merintih, malahan sudah lupa makna rintihan.

Apakah maknanya itu?

Maknanya kita sudah alpa untuk mensyukuri nikmat yang banyak, di sebalik ujian yang sedikit.

Bersyukur itu perlu terpamer oleh tiga yakni sebutan, hati dan dijelmakan dengan perbuatan. Syukur kepada Allah yang memberikan kita kesempurnaan diri meskipun tidak sekacak dan secantik orang lain. Syukur itu kita ucap di mulut dan hati. Kita jelmakan dengan perbuatan sujud kepada-Nya. Kita jelmakan dengan tidak mengeluh. Kita jelmakan dengan tidak berkeluh kesah.

Sukar, bukan?

Kita boleh sujud dan sujud tetapi agak sukar apabila berkaitan dengan mulut. Kita menyerahkan soal hidup dan mati kita kepada Allah namun kita selalu merungut duit tidak ada, hutang yang banyak, sakit di sana sini…

Selagi kita bernama manusia, begitulah yang terjadi.

Sunday, November 6, 2016

Bebas Yang Terpenjara



Heboh dengan cubaan menculik kanak-kanak.

Sudah demikian terdesaknya hidup, sudah demikianlah hilangnya kemanusiaan dalam hati manusia. Demikianlah juga rusuhnya hati kita mengenangkan apa yang akan berlaku kepada anak cucu cicit kita kelak.

Kebebasan sudah hilang makna. Kita pasti merindui kebebasan yang kita pernah kecapi suatu ketika dahulu. Saat manusia masih punya hati. Saat manusia tidak mengenal kejahatan sedalam-dalamnya.

Kata pakar, lebih selamat menggunakan “carrier” ketika membawa bayi daripada menggunakan kereta sorong. Sekarang ini bayi yang dalam dukungan pun boleh dirampas orang. Untuk apa? Dijual? Diambil segala isi kandungan dalam badannya?

Sebagai seorang nenek, kerisauan saya berganda. Zaman anak-anak saya masih kecil, saya tega membawa mereka masuk bersama-sama ke dalam tandas jika mahu qadho hajat, meskipun sempit. Biarlah. Atau saya akan menahan keinginan-keinginan untuk ke tandas.

Terus terang, saya seperti mahu hidup di pulau. Hidup dengan Kayyisa saya. Hidup dengan alam. Hidup dengan kenikmatan yang Allah kurniakan.

Tuesday, November 1, 2016

Pahit Yg Manis

Apabila Allah menyebut, setiap sesuatu kejadian itu pasti ada hikmahnya, Allah tidak menipu kita. Apa yang kita anggap buruk itu seringkali ada baik di sebaliknya.

Saya yakin dgn hal itu sebab saya mengalaminya. Selalu.

Sekarang pun demikian. Tetapi kita jgn melihatnya secara tersurat. Duduk diam2 dan fikir.

Musibah itu sedang berlangsung. Tetapi saya sedang melihat keakraban yg pernah menjauh, sedang bertaut. Saya melihat ada kasih sayang. Tidur saya kembali lena, tidak lagi terkejut2 di tengah malam.

Apa lagi nikmat yg lain selain tidur yg nyenyak?

Kehidupan ini tidak perlu banyak berkeluh kesah. Cuba abaikan apa yg hilang, meskipun sukar untuk dilupakan. Hadap apa yg datang meskipun tidak semudah bicara.

Bangunlah kembali jika sudah lama jatuh terduduk. Jgn peduli jika ada yg cuba mengalih perhatian untuk kita meneruskan usaha!