Total Pageviews

Wednesday, November 16, 2016

Tentang Hujan



Sekarang musim hujan. Biasanya menjelang November dan Disember memang demikian. Ada negeri-negeri yang siap siaga untuk menghadapi limpahan air dari sungai dan tasik. Jika di kota, lebihan air yang merayap dari longkang tersumbat akibat kebejatan manusia akan menenggelamkan kereta, motosikal dan barangkali manusia juga.

Sudah berbulan-bulan Tuhan memberikan kita matahari. Sekarang waktunya Dia mahu merehatkan matahari. Hanya sebentar-sebentar matahari menjenguk sebelum kembali bermalas-malasan, membiarkan awan membuka pintunya, langsung menumpahkan hujan.

Seperti biasa, saya sukakan hujan. Dingin, cantik dan mendamaikan. Meskipun membataskan pergerakan, menikmati air yang berjuraian turun nun jauh dari langit Tuhan, sangat menakjubkan hati. Bagaimana jauhnya perjalanan hujan. Maha Kaya Allah. Berkatalah teori apa pun akan kewujudan fenomena hujan, sebenarnya semuanya telah disebut Allah dalam Al-Quran. Bacalah terjemahannya dan kita akan takjub sendiri betapa kitab suci tersebut dipenuhi dengan ilmu sains, matematik, astronomi, astrologi, biologi, fizik, kimia, geografi, sejarah, ekonomi dan macam-macam.

Hujan juga menyebabkan kucing-kucing berlingkar, membulatkan diri mereka. Kasihan dengan kucing dan anjing jalanan, bertempiaran mencari perlindungan. Yang dewasa tidak mengapa, masih pantas dan tahu di mana mahu berlindung. Yang masih bayi, sama ada dibuang orang atau ibunya bersalin sendiri di jalanan; terpinga-pinga kehujanan dan akhirnya mati. Itulah sebabnya saya menyokong pemandulan meskipun ada dalam kalangan kita yang menentangnya dengan alasan perbuatan tersebut menidakkan tabie haiwan.

Bukan begitu. Proses pembiakan haiwan jalanan ini begitu deras. Tiga kali setahun ibu kucing boleh melahirkan anak. Banyak pula bilangannya. Kucing-kucing dan anjing bukan ada akal. Yang manusia berakal pun lagi teruk, bersalin dan tinggalkan bayi di tepi longkang!

Usaha pemandulan adalah untuk menyelamatkan makhluk ini daripada membiak dan disiksa manusia. Kasihanilah mereka. Pagi tadi sewaktu sarapan, seekor kucing kurus meminta makanan. Langsung saya memberikan makanan kering yang memang sentiasa ada dalam kereta. Rupa-rupanya dia baru melahirkan. Patutlah dia makan dengan gelojoh. Entah di mana anaknya. Kasihan. Masih remaja tetapi sudah bersalin.

Majlis Fatwa Kebangsaan sudah mengeluarkan fatwanya, pemandulan dibenarkan dengan tujuah menjaga kemaslahatan masyarakat haiwan jalanan. Saya tidak mahu lagi menangis setiap kali melihat ada kucing dan anjing yang dipotong kaki oleh manusia sebab mencuri seekor ikan. Atau beberapa ekor kucing yang mati akibat diracun. Atau disimbah dengan air dan minyak panas. Jahat sungguh manusia. Mereka ingat mereka tuhan.

Hujan-hujan begini, saya seronok melihat budak lima ekor itu membulatkan diri mereka yang gemuk. Entah apa khabar Puse di kampong. Tidur jugakah?

Hujan…menatapmu seperti menatap kisah hidupku!