Total Pageviews

Sunday, November 20, 2016

Perjalanan

Kami biasa bergerak malam. Lebih dingin. Namun ada bahayanya juga sebab tiada lelaki. Tetapi setakat ini Alhamdulillah, Allah membantu dan sangat berbelas kasihan. Jika malam dan hujan, biasanya saya yang memandu. Meskipun budak itu masih muda tetapi mata tua saya masih cekap memandu malam-malam yang hujan.

Kebiasaannya juga kami akan singgah di kawasan rehat dan rawat untuk melaksanakan solat jamak. Kemudian makan sedikit. Kalau lewat tiba melepasi jam 1 pagi, saya tidur sahaja dalam kereta di halaman emak. Budak itu biasanya tidak betah lena dalam kereta yang statik.

Meskipun mengantuk, saya biasanya tidak akan lena ketika orang lain memandu.

Selalu juga saya melihat ada kereta yang “sakit” di tepi lebuh raya. Bahaya juga jika demikian. Ada yang sedang bertungkus lumus menukar tayar. Kadang-kadang dalam gerimis.

Memandu jauh, seperti perjalanan hidup kita juga. Ada kalanya lancar dan ada ketikanya terhenti-henti oleh enjin yang rosak atau tayar pancit. Biasanya kita tidak membiarkan kerosakan itu lama-lama. Kita akan berusaha untuk memperbaiki kerosakan atau menggantikannya dengan yang baharu. Atau kadang-kadang kita berhenti bukan sebab rosak tetapi untuk berehat sebentar, membetulkan otak dan otot yang penat.

Cuma kadang-kadang saya nampak juga ada kereta yang tersadai lama. Terbiar dan mereput perlahan-lahan oleh terik matahari dan basah hujan.

Kasihan.