Total Pageviews

Sunday, October 23, 2016

Naik Naik

Saya tidak pandai ekonomi. Selain daripada pernah mengambil subjek ekonomi makro dan mikro semasa di tingkatan enam Clifford School lama dahulu, saya juga pernah ambil subjek Manegerial Economics semasa ijazah kedua ( dan saya masih ingat Dr Dawood dari India yg mengajar kami).

Itu pun terkial2.

Namun begitu saya tahu ekonomi kita sedang tenat. Kalau diibaratkan kanser, mungkin sudah tahap 4 yg kronik. Doktor pun sudah hilang ikhtiar, hanya berdoa dan mengharapkan keajaiban.

Saya kasihankan budak2 yg keluar universiti. Anak2 saya, anak2 saudara saya, anak2 jiran tetangga. Bukan semua berbakat berniaga. Sekarang ini kes guna orang dalam berleluasa. Sudahlah kerja payah, gaji kecil, guna pula orang dalam.

Apabila pembentangan bajet kata ekonomi kita bagus, saya pun keliru juga. Bagus yang bagaimana? Maklumlah saya bodoh ekonomi. Buat sajak bolehlah sikit2. Tulis cerpen satira pun dah boleh juga...hahaha.

Harga minyak naik. Tol naik. Barang makanan naik. Makanan kucing pun naik. Kucing sekarang tak mahu makan tikus.

Semua barang dan perkhidmatan kena cukai. Saya tengok banyak kedai yang tutup. Jangan cerita tentang golongan kaya dan berduit. Saya tidak berminat untuk tahu dan ikut mereka membeli belah. Kita mesti lihat rakyat majoriti. Yang ada anak ramai. Yang hidup terpaksa berhutang. Suruh orang ikat perut memang senang. Suruh suruh suruh, habis engkau anak beranak ikat perut jugakah?

Tapi itulah...orang kita ini sengal. Letak sahaja not ungu di hujung pancing, kita selalu lupa mata kail itulah juga yang pernah melukakan kulit kita.

Friday, October 21, 2016

Poyo La Kau Bajet

Selepas pulang dari haji, saya sudah dengar hiruk pikuk ini. Masing2 membuat pelbagai spekulasi. Kemudian hari ini hiruk pikuk itu menjadi genta yang hingar, bergaung2.

Kata sahabat baik saya, dia sendiri mendengar dan melihat ada dalam kalangan kami yang berusaha menyelamatkan leher sendiri. Ya, saya bersyukur juga sebab selama ini saya banyak sekali menyimpan rahsia. Saya enggan memberitahu apa2 sebab tidak mahu ada prasangka antara mereka. Akhirnya dia tahu sendiri.

Kata saya, pada saat air banjir sudah sampai ke hujung hidung kita, waktu itu kita akan kenal siapakah kawan kita, spesisnya, perangai aslinya yg ditelanjangi oleh keadaan.

Saya kata jangan takut. Yakinlah dengan Allah. Dia akan menyusun takdir kita dengan cantik sekali. Jangan pijak orang, jangan cantas peluang orang. Hidup kita, kerjaya kita semuanya dalam genggaman Dia. Relaks2 saja. Saya kata, buah kelapa yg benihnya bagus, jatuh ke laut pasti menjadi pulau.

Untuk mengenal kawan dan sahabat itu mudah. Seperti mudahnya kita mengesan gula dan garam ...meskipun putihnya sama, rasa berbeza.

Saya jenis yg tidak peduli sangat dengan bajet2 ini. Kepada saya, itu semua poyo!

Thursday, October 20, 2016

Sebelum Kita Menuju Tuhan

Masyarakat kita khususnya orang Melayu masih tidak alert dengan apa yang disebut sebagai domestic violence.

Rata-rata hanya berani menjadi pemerhati dengan perasaan kasihan dan takut yang bercampur aduk. Kasihan sebab gagal untuk membantu dan takut pula sebab dibimbangi dituduh mencampuri urusan dalaman sesebuah rumah tangga.

Maka, kebiasaannya mangsa akan dibiarkan menderita sendirian tanpa pembelaan sewajarnya daripada jiran tetangga atau sahabat handai, malah lebih menyedihkan dibiarkan sahaja oleh sanak saudara dengan alasan yang sama.

Domestic violence kebiasaannya dilakukan oleh pelaku yang memiliki dua personaliti. Sisi yang sangat baik dan sisi yang pantang diusik. Apa lagi jika pasangannya juga memiliki personaliti panas baran atau sensitif, atau yang sangat lemah, gagal mempertahankan diri sendiri atau tidak memiliki asas kekeluargaan yang kuat. Maksudnya ialah mereka biasanya sebatang kara, atau tidak memiliki adik beradik yang ramai, atau tiada sesiapa yang boleh melindungi pada ketika kejadian berlaku.

Apa yang boleh dilakukan jika ini terjadi kepada diri anda? Laporan polis? Ya. Boleh. Jika boleh juga, perlu menjalani khidmat kaunseling, khususnya berasaskan keagamaan dan juga rawatan psikitri. Jangan alergik dengan perkhidmatan sedemikian. Atau rasa semacam begitu. Untuk itulah pakar-pakar ini dilatih. Atau ikut serta secara aktif dalam gerakan dakwah. Juga ikut ceramah agama secara berterusan. Syaitan sifatnya api. Api boleh dipadam dengan dingin air.

Untuk membangunkan semula peribadi mangsa domestic violence ini bukan mudah. Umpama pokok yang sudah dirosakkan oleh racun, sudah pasti mengambil waktu untuk kembali bagus. Sudah hilang percaya dengan orang, gementar, memagar diri dengan gunung egois, hilang keyakinan diri, murung, membenci orang, mahu lari jauh-jauh dan macam-macam lagi.

Satu lagi isu.

Nah, masyarakat Melayu memang sebahagiannya sukar menerima perempuan yang bergelar janda atau balu. Saya tidak menyebut Islam, saya menyebut Melayu sebahagian. Berbanding duda akibat perceraian atau kematian, masyarakat kita begitu berat sebelah. Kebiasaannya janda atau balu ini, akibat didesak oleh pandangan hina sebahagian orang, akhirnya terjebak dengan kejahatan. Barangkali di hadapan anda, sebahagian orang ini tersenyum bagus dan mempamerkan simpati. Namun awas. Di belakang anda, mereka akan mempermain-mainkan, memperolokkan malahan mengeji anda. Itulah hakikatnya.

Oleh yang demikian, kembalilah kepada Islam. Islam tidak menghalalkan apa sahaja yang bersifat violence. Islam tidak menghalalkan sebarang penghinaan kepada manusia dan haiwan. Islam tidak menghalalkan sebarang perbuatan dan lisan yang memaki hamun orang meskipun benar orang itu melaksanakan kejahatan.

Kehidupan, demikianlah hiruk-pikuknya. Dunia sementara kita sebelum menuju ke hadapan Tuhan.

Monday, October 17, 2016

Berjalan Ke Belakangkah?

Mereka terperanjat. Saya pun tidak kisah jika mereka terperanjat. Mungkin saya sedang berjalan mengundur ke belakang. Orang akan menganggap yang berjalan mengundur ke belakang itu sebagai suatu keanehan.

Betulkah puan? Mustahillah? Kata mereka.

Ya, saya kata. Benda itu mahal. Saya kurang duit mahu beli.

Saya bergurau sebenarnya.

Sejujurnya benda itu wujud dalam rumah. Jenama murah sangat. 

Dulu waktu anak kecil-kecil, setiap kamar ada benda itu. Maknanya tiada perebutan siaran. Saya boleh tengok drama, si kakak tengok dokumentari dan si adik tengok kartun. Tapi itu dulu. Sekarang tiada guna pun ada benda itu. Siapa yang mahu tengok? Adakah waktu senggang untuk tengok?

Saya tiada waktu yang banyak untuk duduk dan tengok rancangan TV. Lagi pun waktu saya pulang ke kampong, saya dapati banyak drama yang tidak bermoral. Sakit hati saya. Banyak juga rancangan hiburan. Sejujurnya lagi saya tidak kenal nama artis baharu. Kalau terbeli suratkhabar, saya tengok ramai artis baharu, yang langsung saya tidak kenal.

Si bongsu pun tidak kisah tidak tengok TV. Kalau dia bising2 mungkin saya akan beli juga TV yang elok. Tapi dia tidak peduli pun.

Mereka tanya saya lagi, macam mana puan dapat info ehwal semasa dan dunia kalau puan tiada TV? Sekarang kita ada internet. Semua berita di hujung jari, kadang-kadang lagi laju daripada TV.

Tiada yang aneh sebenarnya kalau rumah tiada TV. Saya mahu dengar lagu nasyid, saya pasang radio. Sambil mop rumah sambil dengar radio. Ada info juga.

Orang sekarang tidak punya banyak masa untuk menonton TV. Lagi pun daripada sakit hati dengan drama yang sengal-sengal dan mengajar budak-budak benda yang tidak senonoh, lebih baik langsung tiada TV.

Tidak tahulah kalau esok-esok teringin pula mahu TV.


Wednesday, October 12, 2016

Di Situ Bukan Tempat Saya

Saya memang orang kampong yang tidak selesa dengan kehidupan bandar yang saya kira menjadi kebanggan orang.

Selasa lepas, saya mengambil cuti dan menginap di RH Suites @ Publika Solaris Dutamas. Kami berempat perempuan, saya, anak-anak dan cucu saya Kayyisa.

Setelah mencari-cari, si bongsu yang cekap memandu di kota, akhirnya tiba di destinasi. Tidak boleh parkir lama, jadi saya mencari-cari di mana saya harus menemui pemilik suite berkenaan. “Where are you now Laila? Can Anna meet you at B4 lobby Urbanne Tower?” saya nampak mesej tersebut di tablet.

Rupa-rupanya Anna bukan orang Malaysia dan langsung tidak memahami bahasa kebangsaan. Yang menyukarkan juga semua pekerja, pengawal keselamatannya juga orang asing yang bahasa Inggerisnya tidak difahami. Kami menghadapi saat sukar termasuk semasa mencari parkir di bawah tanah.

Mahu masuk ke apartmen pun ada caranya. Mahu makan juga masalah. Banyak pub, banyak restoran yang jelas tidak halal. Kadangkala saya terfikir, tanah air akukah ini?

Orang mabuk-mabukan, bersimpang siur dengan bunyi pekikan hon, muzik dan kebisingan. Ini bukan tempatnya untuk saya. Mungkin jika saya bukan seorang penulis pun, memang ini langsung tidak sesuai.

Saya tidak tahu apa yang enaknya duduk di kawasan dan persekitaran begini. Lambang status?

Saya perlu menjadi diri saya sendiri. Setiap orang pun mesti menjadi diri sendiri. Kita tidak boleh berpura-pura menjadi diri orang lain.

Yang paling seronok hanyalah kerana saya dapat bersama-sama cucu saya yang sado. Si Kayyisa sudah pandai macam-macam. Lengan saya pun bengkak sedikit sebab dia tidur lama dalam pangkuan saya hahaha…

Kayyisa, grandma miss you already.

Sunday, October 9, 2016

Kayyisa...himawari saya



Setelah dua bulan tidak bertemu, akhirnya saya menziarahi cucu. Dia sudah lima bulan pada 7 Oktober lalu. Dia memandang saya dengan pandangan aneh. Saya pakaikan tudung yg saya beli di sebuah lorong di kota Mekah. Dia memang budak yg baik. Diam saja ketawa2.

Kayyisa sudah pandai meniarap. Pandai ketawa mengekek2. Terima kasih Allah kerana Kayyisa membesar dengan senyuman manis.

Wednesday, October 5, 2016

Pentingnya Bekas Plastik Bertutup Di Mina

Ada beberapa orang kawan memberikan cadangan.

"Kak Yang tulis nanti dalam blog, apa barang yang sepatutnya kita bawa dan yang tidak sepatutnya kita penuhkan dalam bagasi kalau pergi haji. Yang Tabung Haji catat dalam surat itu, adakalanya langsung tidak perlu kita bawa..."

Baiklah.

Ini antara barangan penting. Bekas minuman plastik yang bertutup. Jika di Madinah, biasanya kita akan ambil air panas dari Dewan Makan di aras bawah. Namun demikian, di aras masing-masing biasanya ada mesin minuman air panas yang disediakan. Di Madinah saya kira kurang masalah. Di hotel Mekah juga rasanya tiada masalah sebab ada bekas pemanas air yang disediakan di bilik. Yang menjadi masalah ialah ketika di Arafah dan khususnya Mina.

Saya dan seorang kawan sampai pergi membeli bekas air plastik dengan harga yang mahal SR10, sesuatu yang kita boleh dapat dengan harga RM3 di Malaysia utk barangan yang sama. Setiap kali mahu mengambil air panas, terpaksa mengambilnya dari paip di bahagian dapur, beratur panjang dan ketika balik ke khemah, akan melalui lorong yang orangnya berpapasan. Bayangkan kalau air panas itu tertumpah dan terkena orang!

Bakal jemaah sila ambil perhatian, bawa bekas minuman yang bertutup. Besar pun tak apa sebab kita boleh memungut pahala dengan berkongsi air panas khususnya dengan jemaah yang uzur. Tidak perlu bawa hanger sebab boleh sahaja dibeli di sana. Kalau hantar ke dobi, kita akan dapat banyak hanger percuma. Tidak perlu bawa jubah banyak kalau nanti kita membeli jubah di sana. Bawakan jarum dan benang supaya mudah untuk kita memendekkan jubah. Memang ada klinik di sana tetapi bawalah sahaja ubatan dari Malaysia terutama yang asas seperti panadol dan ubat batuk yang biasa kita ambil. Tikar tidak perlu bawa sebab sahabat korporat TH biasanya akan berikan kita tikar yang akan kita gunakan utk solat dan menghamparkannya sebagai alas tidur di Mina.

Bawa juga bekas menyimpan biskut. Kalau suka biskut tawar seperti Jacob, bawa dari Malaysia. Sukar sekali mencari biskut sebegini di kedua-dua kota suci. Barangkali orang di sana suka biskut manis.

Bawa wang/mesti ada wang dalam tabungan sebab kita mungkin perlukan utk upah (jika tiba2 kita uzur), utk bayaran dam, utk membeli sarapan khususnya bagi jemaah muassassah. Barang di sana mahal, makanan mahal. Oleh yang demikian, pastikan dalam akaun TH ada wang yang mencukupi. Paling kurang pun dalam tiga ribu begitu.

Nanti ada waktu, saya senaraikan barangan yang perlu ada dan tidak perlu. Jangan jadi seperti saya dan beberapa kawan, membazirkan wang utk poslaju semula pakaian yang tidak dipakai, pakaian yang kami bawa dari Malaysia.

Monday, October 3, 2016

Menjadi Kuat Itu Suatu Proses

Tiada pokok yang ditabur sahaja benih terus membesar dengan gemuk gedempulnya. Kecuali dalam cerita dongeng Jack dan Kacang Ajaib. Begitu juga dengan manusia. Tiada orang yang sebaik sahaja dilahirkan terus sahaja membesar sebagai johan!

Menjadi kuat dan tabah itu adalah satu proses yang sangattttt panjang berliku. Kadangkala kita asyik jatuh terduduk, tertonggeng, terjelepuk. Kadang-kadang kita luka berdarah dan patah riuk. Kadangkala kita boleh bangun sendiri dan banyak waktunya juga kita perlukan tongkat atau tangan orang buat berpaut.

Orang yang ditakdirkan Allah menjadi hebat tidak pernah menyesali kesilapan tetapi orang yang hebat belajar daripada kesilapan. Tidak boleh kata begini, "kalaulah...kalaulah..." atau "Itulah, dulu suruh begini begitu, degil. Tidak mahu dengar cakap orang. Kalau tidak engkau sudah boleh jawat jawatan begini begitu..."

Itu kata-kata orang yang hatinya tidak bagus.

Kasar? Ya. Saya berani kata hatinya tidak bagus sebab mana boleh kata begitu kepada orang yang sedang kecewa. Samalah juga jika orang yang sedang menderita sakit, dan kita datang untuk hanya bercakap bahawa "Mungkin tuan banyak dosa maka Allah sedang membuang dosa..." Bukan maknanya tidak boleh tetapi pada pandangan saya, tidak begitu sesuai kita berkata demikian ketika dia sedang begitu tenat. Kecualilah orang itu rapat dengan kita. Atau kita tahu bahawa dia memang seorang yang tabah dan tidak kisah.

Tiada orang yang tidak pernah gagal. Cuba baca kisah-kisah orang yang hebat. Semuanya pernah gagal dan apa yang menyebabkan mereka berjaya ialah kedegilan mereka dalam menghadapi kegagalan.

Bergantunglah sepenuhnya kepada Allah. Berfikir yang baik-baik, minta yang baik-baik. Bercakap yang baik-baik, niat pun yang baik-baik. Insha Allah yang akan datang kepada kita semuanya yang pasti baik. Janganlah kita berasa sudah begitu hebat kalau kita jumpa pasangan kita di pawagam atau pesta joget. Tetapi berasa gembiralah sebab kita jumpa pasangan kita di masjid atau majlis ilmu. Orang yang baik-baik pasti berada di tempat yang baik-baik juga.

Betul?

Sunday, October 2, 2016

Allah Sembuhkanlah Mak.

Rabu saya mula bertugas. Sabtu pagi saya bergerak semula ke Perak. Rupa2nya Isnin cuti Awal Muharam. Saya berada di kampung dengan doa supaya mak beransur sihat.

Saya tidak punya banyak masa di rumah Seremban. Hidup jadi sedikit tidak keruan selagi mak tidak sembuh. Alangkah beruntungnya menjadi seorang mak. Anak menantu, cucu dan anak angkat bergiliran menemani serta merawat mak. Mak sedang menuai hasil didikan, asuhan, keberkatan dan doanya.

Seringkali saya terfikir2. Nasib saya pada hari tua nanti bagaimana? Anak2 cucu saya apakah seperti anak cucu mak sekarang? Allah hu...moga demikian.

Mak, mudah2an matahari segera muncul di biru langit.