Total Pageviews

Thursday, October 20, 2016

Sebelum Kita Menuju Tuhan

Masyarakat kita khususnya orang Melayu masih tidak alert dengan apa yang disebut sebagai domestic violence.

Rata-rata hanya berani menjadi pemerhati dengan perasaan kasihan dan takut yang bercampur aduk. Kasihan sebab gagal untuk membantu dan takut pula sebab dibimbangi dituduh mencampuri urusan dalaman sesebuah rumah tangga.

Maka, kebiasaannya mangsa akan dibiarkan menderita sendirian tanpa pembelaan sewajarnya daripada jiran tetangga atau sahabat handai, malah lebih menyedihkan dibiarkan sahaja oleh sanak saudara dengan alasan yang sama.

Domestic violence kebiasaannya dilakukan oleh pelaku yang memiliki dua personaliti. Sisi yang sangat baik dan sisi yang pantang diusik. Apa lagi jika pasangannya juga memiliki personaliti panas baran atau sensitif, atau yang sangat lemah, gagal mempertahankan diri sendiri atau tidak memiliki asas kekeluargaan yang kuat. Maksudnya ialah mereka biasanya sebatang kara, atau tidak memiliki adik beradik yang ramai, atau tiada sesiapa yang boleh melindungi pada ketika kejadian berlaku.

Apa yang boleh dilakukan jika ini terjadi kepada diri anda? Laporan polis? Ya. Boleh. Jika boleh juga, perlu menjalani khidmat kaunseling, khususnya berasaskan keagamaan dan juga rawatan psikitri. Jangan alergik dengan perkhidmatan sedemikian. Atau rasa semacam begitu. Untuk itulah pakar-pakar ini dilatih. Atau ikut serta secara aktif dalam gerakan dakwah. Juga ikut ceramah agama secara berterusan. Syaitan sifatnya api. Api boleh dipadam dengan dingin air.

Untuk membangunkan semula peribadi mangsa domestic violence ini bukan mudah. Umpama pokok yang sudah dirosakkan oleh racun, sudah pasti mengambil waktu untuk kembali bagus. Sudah hilang percaya dengan orang, gementar, memagar diri dengan gunung egois, hilang keyakinan diri, murung, membenci orang, mahu lari jauh-jauh dan macam-macam lagi.

Satu lagi isu.

Nah, masyarakat Melayu memang sebahagiannya sukar menerima perempuan yang bergelar janda atau balu. Saya tidak menyebut Islam, saya menyebut Melayu sebahagian. Berbanding duda akibat perceraian atau kematian, masyarakat kita begitu berat sebelah. Kebiasaannya janda atau balu ini, akibat didesak oleh pandangan hina sebahagian orang, akhirnya terjebak dengan kejahatan. Barangkali di hadapan anda, sebahagian orang ini tersenyum bagus dan mempamerkan simpati. Namun awas. Di belakang anda, mereka akan mempermain-mainkan, memperolokkan malahan mengeji anda. Itulah hakikatnya.

Oleh yang demikian, kembalilah kepada Islam. Islam tidak menghalalkan apa sahaja yang bersifat violence. Islam tidak menghalalkan sebarang penghinaan kepada manusia dan haiwan. Islam tidak menghalalkan sebarang perbuatan dan lisan yang memaki hamun orang meskipun benar orang itu melaksanakan kejahatan.

Kehidupan, demikianlah hiruk-pikuknya. Dunia sementara kita sebelum menuju ke hadapan Tuhan.