Total Pageviews

Monday, October 17, 2016

Berjalan Ke Belakangkah?

Mereka terperanjat. Saya pun tidak kisah jika mereka terperanjat. Mungkin saya sedang berjalan mengundur ke belakang. Orang akan menganggap yang berjalan mengundur ke belakang itu sebagai suatu keanehan.

Betulkah puan? Mustahillah? Kata mereka.

Ya, saya kata. Benda itu mahal. Saya kurang duit mahu beli.

Saya bergurau sebenarnya.

Sejujurnya benda itu wujud dalam rumah. Jenama murah sangat. 

Dulu waktu anak kecil-kecil, setiap kamar ada benda itu. Maknanya tiada perebutan siaran. Saya boleh tengok drama, si kakak tengok dokumentari dan si adik tengok kartun. Tapi itu dulu. Sekarang tiada guna pun ada benda itu. Siapa yang mahu tengok? Adakah waktu senggang untuk tengok?

Saya tiada waktu yang banyak untuk duduk dan tengok rancangan TV. Lagi pun waktu saya pulang ke kampong, saya dapati banyak drama yang tidak bermoral. Sakit hati saya. Banyak juga rancangan hiburan. Sejujurnya lagi saya tidak kenal nama artis baharu. Kalau terbeli suratkhabar, saya tengok ramai artis baharu, yang langsung saya tidak kenal.

Si bongsu pun tidak kisah tidak tengok TV. Kalau dia bising2 mungkin saya akan beli juga TV yang elok. Tapi dia tidak peduli pun.

Mereka tanya saya lagi, macam mana puan dapat info ehwal semasa dan dunia kalau puan tiada TV? Sekarang kita ada internet. Semua berita di hujung jari, kadang-kadang lagi laju daripada TV.

Tiada yang aneh sebenarnya kalau rumah tiada TV. Saya mahu dengar lagu nasyid, saya pasang radio. Sambil mop rumah sambil dengar radio. Ada info juga.

Orang sekarang tidak punya banyak masa untuk menonton TV. Lagi pun daripada sakit hati dengan drama yang sengal-sengal dan mengajar budak-budak benda yang tidak senonoh, lebih baik langsung tiada TV.

Tidak tahulah kalau esok-esok teringin pula mahu TV.