Total Pageviews

Monday, October 3, 2016

Menjadi Kuat Itu Suatu Proses

Tiada pokok yang ditabur sahaja benih terus membesar dengan gemuk gedempulnya. Kecuali dalam cerita dongeng Jack dan Kacang Ajaib. Begitu juga dengan manusia. Tiada orang yang sebaik sahaja dilahirkan terus sahaja membesar sebagai johan!

Menjadi kuat dan tabah itu adalah satu proses yang sangattttt panjang berliku. Kadangkala kita asyik jatuh terduduk, tertonggeng, terjelepuk. Kadang-kadang kita luka berdarah dan patah riuk. Kadangkala kita boleh bangun sendiri dan banyak waktunya juga kita perlukan tongkat atau tangan orang buat berpaut.

Orang yang ditakdirkan Allah menjadi hebat tidak pernah menyesali kesilapan tetapi orang yang hebat belajar daripada kesilapan. Tidak boleh kata begini, "kalaulah...kalaulah..." atau "Itulah, dulu suruh begini begitu, degil. Tidak mahu dengar cakap orang. Kalau tidak engkau sudah boleh jawat jawatan begini begitu..."

Itu kata-kata orang yang hatinya tidak bagus.

Kasar? Ya. Saya berani kata hatinya tidak bagus sebab mana boleh kata begitu kepada orang yang sedang kecewa. Samalah juga jika orang yang sedang menderita sakit, dan kita datang untuk hanya bercakap bahawa "Mungkin tuan banyak dosa maka Allah sedang membuang dosa..." Bukan maknanya tidak boleh tetapi pada pandangan saya, tidak begitu sesuai kita berkata demikian ketika dia sedang begitu tenat. Kecualilah orang itu rapat dengan kita. Atau kita tahu bahawa dia memang seorang yang tabah dan tidak kisah.

Tiada orang yang tidak pernah gagal. Cuba baca kisah-kisah orang yang hebat. Semuanya pernah gagal dan apa yang menyebabkan mereka berjaya ialah kedegilan mereka dalam menghadapi kegagalan.

Bergantunglah sepenuhnya kepada Allah. Berfikir yang baik-baik, minta yang baik-baik. Bercakap yang baik-baik, niat pun yang baik-baik. Insha Allah yang akan datang kepada kita semuanya yang pasti baik. Janganlah kita berasa sudah begitu hebat kalau kita jumpa pasangan kita di pawagam atau pesta joget. Tetapi berasa gembiralah sebab kita jumpa pasangan kita di masjid atau majlis ilmu. Orang yang baik-baik pasti berada di tempat yang baik-baik juga.

Betul?