Total Pageviews

Wednesday, October 5, 2016

Pentingnya Bekas Plastik Bertutup Di Mina

Ada beberapa orang kawan memberikan cadangan.

"Kak Yang tulis nanti dalam blog, apa barang yang sepatutnya kita bawa dan yang tidak sepatutnya kita penuhkan dalam bagasi kalau pergi haji. Yang Tabung Haji catat dalam surat itu, adakalanya langsung tidak perlu kita bawa..."

Baiklah.

Ini antara barangan penting. Bekas minuman plastik yang bertutup. Jika di Madinah, biasanya kita akan ambil air panas dari Dewan Makan di aras bawah. Namun demikian, di aras masing-masing biasanya ada mesin minuman air panas yang disediakan. Di Madinah saya kira kurang masalah. Di hotel Mekah juga rasanya tiada masalah sebab ada bekas pemanas air yang disediakan di bilik. Yang menjadi masalah ialah ketika di Arafah dan khususnya Mina.

Saya dan seorang kawan sampai pergi membeli bekas air plastik dengan harga yang mahal SR10, sesuatu yang kita boleh dapat dengan harga RM3 di Malaysia utk barangan yang sama. Setiap kali mahu mengambil air panas, terpaksa mengambilnya dari paip di bahagian dapur, beratur panjang dan ketika balik ke khemah, akan melalui lorong yang orangnya berpapasan. Bayangkan kalau air panas itu tertumpah dan terkena orang!

Bakal jemaah sila ambil perhatian, bawa bekas minuman yang bertutup. Besar pun tak apa sebab kita boleh memungut pahala dengan berkongsi air panas khususnya dengan jemaah yang uzur. Tidak perlu bawa hanger sebab boleh sahaja dibeli di sana. Kalau hantar ke dobi, kita akan dapat banyak hanger percuma. Tidak perlu bawa jubah banyak kalau nanti kita membeli jubah di sana. Bawakan jarum dan benang supaya mudah untuk kita memendekkan jubah. Memang ada klinik di sana tetapi bawalah sahaja ubatan dari Malaysia terutama yang asas seperti panadol dan ubat batuk yang biasa kita ambil. Tikar tidak perlu bawa sebab sahabat korporat TH biasanya akan berikan kita tikar yang akan kita gunakan utk solat dan menghamparkannya sebagai alas tidur di Mina.

Bawa juga bekas menyimpan biskut. Kalau suka biskut tawar seperti Jacob, bawa dari Malaysia. Sukar sekali mencari biskut sebegini di kedua-dua kota suci. Barangkali orang di sana suka biskut manis.

Bawa wang/mesti ada wang dalam tabungan sebab kita mungkin perlukan utk upah (jika tiba2 kita uzur), utk bayaran dam, utk membeli sarapan khususnya bagi jemaah muassassah. Barang di sana mahal, makanan mahal. Oleh yang demikian, pastikan dalam akaun TH ada wang yang mencukupi. Paling kurang pun dalam tiga ribu begitu.

Nanti ada waktu, saya senaraikan barangan yang perlu ada dan tidak perlu. Jangan jadi seperti saya dan beberapa kawan, membazirkan wang utk poslaju semula pakaian yang tidak dipakai, pakaian yang kami bawa dari Malaysia.