Total Pageviews

Friday, July 31, 2015

Menunggu

Ini sejarah paling lama menunggu untuk masuk jumpa doktor. Dari jam sembilan, jam 2.30 petang baru sampai giliran saya.

Memang betul tekaan saya. Selain ramai pesakit, saya kira pasti ada masalah kekurangan doktor dan kes kecemasan.

Doktor yang saya jumpa itu memberitahu begitu. Dia mengambil laporan makmal dan tersenyum. Nampaknya minggu ini saya diberikan berita yang bagus. “Cuma lagi beberapa bulan, kena buat imbasan ya. Tamoxifen boleh menyebabkan dinding rahim menjadi tebal...”

Badan saya sakit-sakit. Dari kepala sampai ke kaki. Mungkin sebab berkematu menunggu. Mujur tiada peneman. Kalau tidak mesti mereka kebosanan. Saya sempat pergi makan, membayar bil di kaunter pos dan ke tandas beberapa kali.

Sambil itu saya berbual dengan seorang wanita. Dia pesakit SLE. Saya mendapat ilmu baharu. Antibodi yang sepatutnya menjadi pagar kepada penyakit tidak mampu lagi bertahan dan sebaliknya berkawan dengan kuman-kuman. Harapkan pegar, pegar makan padi?

Rupa-rupanya dia tidak nampak. Matanya menjadi tidak nampak semasa hamil anak sulung, puncanya dia kena penyakit kayap. Dia OK sedikit selepas menjalani rawatan di Darussyifa.

Dia terpaksa mengambil steroid sepanjang kehamilan. Satu lagi pengetahuan baharu saya dapat. Kata doktor, nasib baik anaknya perempuan. Kalau lelaki, anaknya itu akan jadi lelaki lembut. Betulkah? Saya diberitahu anak perempuan sulungnya memang lebih lembut daripada anak perempuannya yang kedua.

Hari ini juga saya bertemu dengan seseorang yang mengembalikan sedikit luka di hati saya.

Tetapi semuanya sirna ketika saya singgah di sebuah kafe dan menikmati secangkir minuman sambil menghayati kesayuan dan kemerduan tiupan harmonika pemuzik jalanan.

Hidup ini memang ajaib.

Tuesday, July 28, 2015

Mari Kita Duduk Di Tikar Perpaduan

Berita Harian Ahad 26 Julai 2015.

Kisah sebuah isi kota bernama Loyat.

Monday, July 27, 2015

Nyanyian Hati

Hari minggu yang lepas, saya, anak-anak dan menantu serta seorang rakan anak menuju ke utara. Puput ikut serta. Tujuannya ialah untuk menjenguk mak dan seterusnya mengambil novel saya yang sudah kehabisan stok.

Mak kelihatan gembira. Sedang puasa enam meskipun kudratnya terbatas. Melihat mak gembira, saya sangat berpuas hati meskipun terlalu penat. Kakak saya yang hebat itu serta suaminya ada di rumah. Dia mengemas rumah emak, di samping memastikan segala keperluan emak tersedia.

Hujan lebat juga sekarang. Tetapi teriknya tidak boleh dinafikan. Berganti-gantian. Masih penat, jadi suami menghantar saya ke hospital sekembalinya saya ke Seremban. Orang sangat ramai. Tapi sangat bersyukur sebab kata doktor, ketumbuhan yang dibuang sebulan lepas bukan kanser.

Rabu kena pergi lagi. Tidak mengapalah walaupun penat dan sakit belakang.

Sebenarnya saya suka naik tren ke hospital. Boleh lihat gelagat orang atau sepasang gagak yang melompat-lompat di landasan seberang. Juga menghayati tiupan harmonika pemuzik jalanan di stesen. Atau berbual dengan pemandu teksi yang luas pengalaman. Boleh singgah juga menikmati kopi panas dengan aroma yang enak.

Seronok naik tren walaupun terpaksa bersesakan, berdiri dan terpaksa menahan nafas ketika tangan-tangan bergayutan di hadapan muka kita. Daripada semua itu, kita boleh belajar mengenai manusia. Kehidupan ini sebetulnya sangat menarik. Di hospital, saya suka pergi ke kaunter pos. Membayar bil atau stem. Saya duduk-duduk melihat orang yang sakit dan peneman mereka. Ada yang begitu dan begini.

Saya memang suka naik tren. Saya rasa lebih bebas menikmati semua yang ada di sepanjang perjalanan. 

Badan masih sengal-sengal. Tapi hati saya menyanyi-nyanyi.

Wednesday, July 22, 2015

Masih Mencari Tuhan

Sedang saya mengambil wuduk, seseorang bertanya, “bagaimana mahu niat solat dhuha ya?”

Saya memberi isyarat seakan-akan menyatakan “tunggu sebentar”. Saya habiskan tertib wuduk dan memberitahu niat solat tersebut.

“Surahnya?” Dia bertanya lagi. Saya memaklumkan apa yang saya tahu. Bimbang juga sebab saya pun masih dalam proses belajar.

Di dalam surau, wanita itu melakukan solat dua rakaat. Tiba-tiba dia datang bersimpuh di hadapan saya yang sedang mengaji.

“Pandai mengaji ya? Belajar di mana? Dengan ustaz di sini ya?”

Ha? Terkejut saya dibuatnya, langsung berhenti mengaji.

“Mak dengan ayah saya yang ajar. Bolehlah sikit-sikit tapi tak pandai sangat”, jawab saya.

Wajahnya sedih. “Anak saya yang nombor dua sudah khatam. Saya suruh dia ulang, dia tak mahu. Suruh ajar saya pun, dia minta saya belajar dengan ustaz...”

Ya Tuhan, orang ini telah dibukakan hatinya, diangkat kemuliaannya sebab ada dalam jiwanya mahu mendekati agama meskipun kurang pengetahuan.

“Solat dhuha pun inilah pertama kali...”katanya tanpa saya bertanya.

“Alhamdulillah...” kata saya. “Puan telah dapat banyak pahala. Itu rahmat untuk puan...”

Wajahnya yang sedih menjadi cerah sedikit. Saya berasa mahu memeluk puan itu, saudara seagama saya yang sedang mendekati Tuhannya.

“Eh, sambunglah mengaji. Saya hanya mahu mendengar...”

Saya meraba-raba mencari di mana titik berhenti saya tadi. Tapi gagal. Maka saya mengulang baca semula. Hati saya sebak. Saya dan dia sedang mencari Tuhan.

Petang itu, saya menyelongkar almari. Mencari buku mengenai solat dhuha untuk diberikan kepadanya esok hari.

Tuesday, July 14, 2015

Berpisahlah Kita

Entah mengapa, idulfitri kali ini seperti kosong.

Mungkin sebab kesihatan mak belum pulih sepenuhnya. Siang dua puluh enam Ramadan saya menghubungi mak dan kata mak, “sekarang mak sedang berlatih berjalan. Malam ini malam dua puluh tujuh. Mak mahu ke surau...”

Tetapi saya kira mak akhirnya akur bahawa dia masih belum pulih untuk menyertai jemaah di surau.

Di pihak saya pula, malam dua puluh enam Ramadan itu, si sulung berpindah ke rumah sewaannya. Jadi, sedikit kelam kabut juga. Rumah sewaan mereka pula duduknya di aras empat. “Maafkan ibu, nanti selepas idulfitri, barangkali ibu mampu memanjat ke aras empat,” kata saya. Melambai mereka dari celahan gril. Saya menadah tangan, Tuhan...mereka itu milik-Mu. Jagalah mereka!

Si bongsu pula masih mengejar waktu dengan tugasan akhir. Ada kepiluan-kepiluan juga yang sampai ke telinga saya. Kadang-kadang naluri ibu amat tepat. Saya tidak tidur sepanjang malam dua puluh tujuh Ramadan. Hujan lebat tiba-tiba sekitar jam satu setengah. Hanya lima belas minit begitu. Saya akrab dengan kawan-kawan anak. Mereka selalu datang beramai-ramai ke rumah, kadang-kadang ikut saya berjalan-jalan. Ketika hujan lebat turun, hati saya ikut menangis. Pertemuan dan perpisahan itu kerja Tuhan.

Aneh sekali idulfitri kali ini. Tiada langsung rasa mahu membeli kuih atau pakaian raya. Tiada persiapan apa-apa. Hanya kesedihan-kesedihan melepaskan tetamu yang bernama Ramadan. Meskipun saya kehilangan upaya dalam bulan penuh berkat ini, tetapi cakaran-cakaran pedih terjadi di hati saya. Melepaskan tetamu yang sangat baik itu sebenarnya kerja sukar.

Esok saya akan mula mengemas rumah dan bersiap-siap untuk berangkat. Emak masih ada. Hari raya mempunyai makna sebab mak masih ada. Si Comel terpaksa ditinggalkan sebab saya tidak mahu ambil risiko dia bersalin dalam kereta, sementelahan kesesakan perjalanan yang entah berapa jam ke negeri saya itu. Dia akan ditemani Baby dan dua anaknya. Hanya Atat dan Puput ikut pulang ke kampung. Kata doktor, Atat sudah beransur pulih. Alhamdulillah. Syukur juga sebab rezeki mereka murah. Seorang pelajar PPG, Cikgu Zalifah membelanja kucing-kucing itu dengan cara membeli novel saya dengan lebihan wang sepuluh ringgit. Saya belikan ikan-ikan dan saya yakin, mereka pasti mendoakan cikgu yang baik hati itu.

Selamat berangkat wahai Ramadan. Ada umur bertemu lagi.

Sunday, July 12, 2015

Cat House



Hampir sebulan anak dan menantu tinggal bersama saya dan kucing-kucing.

Malam ini mereka pun berangkat ke rumah sewaan di Selangor. Saya membekalkan barangan asas untuk memulakan kehidupan berkeluarga.

Saya kembali meneruskan hidup dengan kucing-kucing. Dengan Atat yang semakin hari semakin kurus meskipun selera makannya ada. Dia belum sihat untuk divaksin. Dia akan menjalani rawatan rutin setiap minggu selepas idulfitri. Mudah-mudahan berat Atat kembali normal.

Comel semakin payah mahu berjalan. Entah berapa ekor anaknya. Hati sangat cemas mahu meninggalkan ibu yang hamil kali pertama ini. Puput juga demam. Masih sibuk menggonggong stokin ke sana ke mari, bergumpal dengan bayi-bayi yang dua ekor itu meskipun kebanyakan masa dia termenung di ribaan saya.

Ya Allah, kembalikan kesihatan kucing-kucing saya. Kasihanilah mereka.

Tolonglah, ya Allah.

Saturday, July 11, 2015

Tiada Raya

Waktu masuk ke kelas tersebut untuk menyelia guru pelatih, saya fikir sedang berada di sebuah sekolah kebangsaan.

Daripada sejumlah murid, seorang India, seorang Cina dan selebihnya ialah muka-muka Melayu. Ada dalam kalangan mereka merupakan anak guru sekolah menengah berhampiran.

Mesti ada sesuatu yang bagus menyebabkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah vernakular seperti ini. Sekolah ini hanyalah sekolah biasa yang tidak mengjangkaui standard sekolah yang hebat-hebat pada pandangan mata orang. Tetapi saya fikir mesti ada sesuatu yang istimewa berkaitan sistemnya yang menyebabkan ramai ibu bapa menaruh kepercayaan terhadap sekolah tersebut.

Waktu saya mahu menyelia guru pelatih yang kedua, saya nampak seorang budak lelaki yang debab dan comel sedang berdiri menunduk di tengah panas. Rupa-rupanya dia sedang menjalani dendaan berdiri dalam satu jangka waktu yang dia sendiri tahu. Tidak perlu ada guru atau pengawas yang memaklumkan bahawa waktu dendaan sudah tamat. Malahan menurut guru pelatih saya, ketika dia memegang rotan dengan tujuan untuk menunjukkan sesuatu di papan hitam, ada seorang murid yang datang kepadanya dan spontan menunjukkan telapak tangan untuk dirotan. “Cikgu, rotan saya. Saya buat bising tadi...”

Saya tidak tahu persepsi orang lain, tetapi bagi saya mereka memiliki disiplin yang hebat. Waktu saya masuk, mereka bangun dan ketuanya menyebut “hormat!” dan semua mereka menundukkan sedikit badan sebagai tanda hormat.

Budak-budak kecil ini menjadi guru saya hari ini. Saya sedang belajar daripada mereka. Hati kanak-kanak mereka yang putih bakal dihitamkan oleh orang-orang dewasa apabila tiba waktunya. Politik akan memecahbelahkan hati-hati yang putih itu.

Minggu untuk keluar menyelia sudah selesai. Selepas hari raya kena keluar semula untuk menyelia di sekolah kebangsaan pula.

Anak-anak saya di rumah tidak sihat. Si Atat mengalami penurunan berat badan secara mendadak sehingga ke angka 3.2 kilogram. Rupa-rupanya dia mengalami ulser di dalam mulut. Saranan doktor ialah dia perlu diberikan hanya makanan lembut. Selera makannya bagus tetapi dia semakin hari semakin kurus. Air mata menitis melihat tulang yang sudah kelihatan. Saya terpaksa membawanya pulang ke kampung, tidak sampai hati membiarkan dia di rumah dalam keadaan dia perlu dijaga dengan rapi. Si Baby dan Puput cirit birit. Baby diberikan suntikan sebab dia sangat kuat dan doktor tidak dapat mengawalnya. Sementara itu Puput akan saya bawa ke klinik minggu hadapan. Klinik tidak ada perkhidmatan wad selama seminggu sebab perayaan. Comel pula sedang menanti hari untuk bersalin. Sebenarnya saya berasa gelisah mahu meninggalkan Comel. Harapnya Baby dan anak-anak menjadi peneman yang baik untuk Comel.

Saya tidak berhari raya tahun ini. Nampaknya begitulah...

Monday, July 6, 2015

RAMADAN KAREEM

Ramadan sudah memasuki fasa kedua dan orang mula memburu pahala dengan lebih tekun. Dia juga begitu. Dia membantu membersihkan masjid luar dalam, hatta memberus lantai tandas dan longkang.

Dia mengakui, “hati sangat gembira dan tenang. Sesuatu yang tidak pernah dirasakan sepanjang hayat ini. Hanya satu yang sangat diharapkan. Moga Allah mengampuni segala dosa abang...”

Ya. Puluhan tahun hidup menjadi hamba kerja. Mengejar dunia yang semakin hari semakin laju dan bertenaga memecut meninggalkan kita tercungap-cungap. Kita gilakan habuan dunia, mengakui diri sebagai hamba Allah tetapi hakikatnya menjadi hamba wang, hamba yang taat kepada kemungkaran demi kemungkaran.

Saya masih menjadi hamba “yang itu”. Ramadan tahun ini saya masih begitu-begitu. Di kepala memikirkan kerja berselang-seli dengan rasa penat luar biasa. Boleh saya katakan, dua minggu selepas keluar wad, saya masih belum boleh memecut melaksanakan tugas dengan cepat. Minda saya tidak berhenti memikirkan akan sesuatu. Semacam lupa bahawa ini bulan yang sangat makbul doa.

Di peti masuk saya, penuh dengan tawaran demi tawaran. Alhamdulillah. Allah telah membuka seribu jalan daripada satu ujian. Namun saya masih belum mampu memenuhi segalanya. Dengan keizinan-Nya, barangkali akan ada waktunya saya kembali berkarya.

Ramadan akan pergi. Meninggalkan orang-orang yang rugi termasuklah saya. Beruntunglah mereka. Beruntunglah dia. Allah mengabulkan keinginan saya untuk melihat dia mencintai rumah Allah dengan sepenuh hatinya.

Waktu-waktu yang sibuk, dengan matahari yang sangat terik membakar. Saya sempat menghadiri Degree Show : Bold Alchemize si bongsu di Matrade Jalan Duta. Suka saya melihat hasil karyanya dengan tema Malay Folklore. Dia menulis dedikasinya untuk “ibu yang tidak penat menceritakan kisah dongeng teladan sejak saya masih kecil”.

Saya tidak larat tetapi demi sokongan untuk anak itu, saya gagahi juga. Turun dari aras sebelas, saya dapati ada pesta beli belah. Sangat ramai orang membeli belah. Oh, ini bukan tempat yang sesuai untuk saya. Saya sangat alergik dengan orang yang bersesakan hanya untuk melakukan aktiviti membuang duit.

Dengan pelaksanaan GST, harga barangan dan petrol yang naik, dan khabarnya kadar tol juga...saya fikir saya tidak perlukan pakaian raya kali ini. Lebih baik saya belanjakan wang untuk senangkan hati mak, untuk lauk pauk hari raya, untuk sara hidup anak-anak dan kucing-kucing saya yang semakin bertambah.

Teruskan memburu malam-malam akhir Ramadan. Abaikan syor perunding kewangan yang sedikit biul, tulisan rakan saya tentang sajak mee segera yang mencetuskan polemik, cerita stik Me’nate dan Diva AA, atau serangan-serangan peribadi terhadap kepimpinan negara.

Kita sudah muak dan letih!!!