Total Pageviews

Monday, July 27, 2015

Nyanyian Hati

Hari minggu yang lepas, saya, anak-anak dan menantu serta seorang rakan anak menuju ke utara. Puput ikut serta. Tujuannya ialah untuk menjenguk mak dan seterusnya mengambil novel saya yang sudah kehabisan stok.

Mak kelihatan gembira. Sedang puasa enam meskipun kudratnya terbatas. Melihat mak gembira, saya sangat berpuas hati meskipun terlalu penat. Kakak saya yang hebat itu serta suaminya ada di rumah. Dia mengemas rumah emak, di samping memastikan segala keperluan emak tersedia.

Hujan lebat juga sekarang. Tetapi teriknya tidak boleh dinafikan. Berganti-gantian. Masih penat, jadi suami menghantar saya ke hospital sekembalinya saya ke Seremban. Orang sangat ramai. Tapi sangat bersyukur sebab kata doktor, ketumbuhan yang dibuang sebulan lepas bukan kanser.

Rabu kena pergi lagi. Tidak mengapalah walaupun penat dan sakit belakang.

Sebenarnya saya suka naik tren ke hospital. Boleh lihat gelagat orang atau sepasang gagak yang melompat-lompat di landasan seberang. Juga menghayati tiupan harmonika pemuzik jalanan di stesen. Atau berbual dengan pemandu teksi yang luas pengalaman. Boleh singgah juga menikmati kopi panas dengan aroma yang enak.

Seronok naik tren walaupun terpaksa bersesakan, berdiri dan terpaksa menahan nafas ketika tangan-tangan bergayutan di hadapan muka kita. Daripada semua itu, kita boleh belajar mengenai manusia. Kehidupan ini sebetulnya sangat menarik. Di hospital, saya suka pergi ke kaunter pos. Membayar bil atau stem. Saya duduk-duduk melihat orang yang sakit dan peneman mereka. Ada yang begitu dan begini.

Namun kadang-kadang orang tidak faham. Kalau suami tidak hantar, nanti dikatakan tidak mengambil berat. Bukan. Saya memang suka naik tren. Saya rasa lebih bebas menikmati semua yang ada di sepanjang perjalanan. Kalau dengan suami pun OK, cuma saya kena dengar dia berkisahan. Bukankah dia radio saya?

Radio saya sekarang ini suka memberi tazkirah. Maklumlah, sejak pencen dia akrab ke masjid. Alhamdulillah. Walaupun begitu, keadaannya masih sama. Dia tetap ketawa sebelum bercerita. Dan macam biasa juga, saya masih kurang pasti sama ada saya perlu ikut ketawa atau tidak!

Badan masih sengal-sengal. Tapi hati saya menyanyi-nyanyi.

No comments: