Total Pageviews

Tuesday, October 19, 2021

RUMAH BUAT ANAK-ANAKKU DI DUNIA, UNTUK MEMBINA SYURGA DI SANA

Rumah dua tingkat dengan empat bilik dan tiga bilik air itu saya beli sudah lama. Kalau ikutkan tepat-tepat masa saya pencen umur maksimum, baru habis bayar pinjaman kerajaan. Masa mula-mula beli harganya sekitar 86 ribu, sekarang sudah mencecah anggaran 250 ribu.

Rumah ini antara 28 buah rumah di kawasan perumahan itu. Saya hanya terlewat setengah jam untuk dapatkan lot tepi. Tidak mengapalah, tiada rezeki. Saya tidak pernah tinggal di rumah ini, diberikan sewa pada awalnya. Ada penyewa yang bagus, ada yang lari tidak membayar sewa, ada yang menyebabkan kerosakan major juga. Saya hanya sewakan sekitar RM250 tanpa deposit. Kerenah penyewa memang memeningkan, mungkin sebab saya tinggal jauh, mereka tidak kisah duduk percuma. Akhirnya saya tidak sewakan lagi walaupun bertalu-talu pertanyaan. Saya minta seseorang carikan tukang tetapi rupa-rupanya bagai tikus membaiki labu. Dibukakan semuanya, kemudian ditinggalkan dengan duit-duit sekali. Rumah tidak boleh diduduki. 

Dalam setahun ini, renovasi akan dilakukan.

Sekarang penduduk yang majoriti guru dalam proses mengupah juru ukur dan beberapa proses lain dengan Pejabat Tanah bagi memperoleh geran. Ada sedikit masalah status tanah. Kadang-kadang kita tidak tahu kejujuran dan ketelusan pemaju. Sekarang, sediakan duit beribu asalkan dapat geran dan selepas itu saya mahu serah terus kepada dua anak saya. Jika mereka mahu jual untuk bayar deposit rumah atau beli tanah cukup-cukup untuk tapak rumah, mereka boleh berbuat demikian.

Saya sebenarnya belum tahu mahu bermastautin di mana selepas 1 Ogos tahun 2022. Jadi, saya sedang mencari tapak yang boleh saya dirikan dua rumah, satu buat saya dan satu lagi buat 12 ekor kucing saya. Rumah kecil satu bilik, asalkan boleh beribadah, selesa menulis. Saya meninjau-ninjau tanah di kawasan dingin tapi pastinya sangat mahal. Yang utama, mesti dekat dengan masjid (yang "hidup") dan hospital. Moga Allah makbulkan impian saya sementara menunggu ajal tiba. 

Saya sudah mahu bersara. Sedang menunggu tarikh merdeka yang berbaki beberapa bulan. Saya tidak mahu menunggu usia maksimum. Alhamdulillah, saya syukuri rezeki yang dititipkan Allah untuk dikongsi dengan keluarga dan makhluk Allah.

Cita-cita saya agar mampu sediakan dua rumah yang selesa buat anak-anak saya beribadah dan membina keluarga mereka dalam situasi ramai anak muda yang tidak mampu memiliki rumah khususnya di kawasan bandar.

Insya-Allah, dengan ikhtiar dan doa semuanya akan menjadi kenyataan dengan izin Tuhan yang sentiasa mendengar akan rintih hamba-Nya.