Total Pageviews

Tuesday, November 23, 2021

Dr K: Selamat Berangkat Ke Sisi Tuhan

 Dia telah mendahului kami. 

Isnin malam 15 Nov 2021, keluarga besar Jabatan Pengajian Melayu IPGKRM berkumpul di maya untuk majlis bacaan Yassin mendoakan keberangkatan Dr Khairuddin Mohamad, isteri dan anak sulungnya untuk menunaikan umrah pada Sabtu 20 Nov 2021. Bacaan diketuai oleh Cikgu Syukri yang merupakan anak didik kami (ambilan ke berapa saya tidak ingat).

Penyertaan terdiri daripada bekas pensyarah JPM, pensyarah yang sudah bersara, pelajar daripada 5 ambilan dari tahun bila entah sehinggalah yang terkini. Meskipun sudah terpisah jauh tetapi ukhwah tetap berjalan.

Ironinya lima hari kemudian pada tarikh 20 Nov 2021, keluarga besar JPM bergabung dengan seluruh warga IPGKRM serta mantan pensyarah, pelajar sekaliannya mengadakan majlis tahlil untuk beliau. Beliau meninggal dunia di KLIA ketika menunggu keberangkatan untuk menunaikan ibadah.

Saya kebetulan pula sedang cuti rehat di rumah pada Jumaat. Hati mengingat2 untuk mengirim mesej mendoakan beliau dan keluarganya selamat ke tanah suci. Tetapi...ah, esoklah, fikir saya. Sekarang barangkali mereka sedang sibuk, sementelahan kondisinya tidak begitu OK.

Anak menantu dan cucu saya pulang untuk ziarah saya. Jam 3 lebih ada panggilan daripada Haji Khambali tetapi telefon saya di bilik belakang. Apabila saya mesej semula, Haji Khambali hanya menyebut mahu bertanya khabar saya. Rupa-rupanya saya ketahui kemudiannya, beliau mahu bertanyakan nombor telefon anak atau isteri Dr K. Beliau dan isterinya berada di KLIA untuk menghantar Dr K tetapi Dr K tidak menjawab panggilan. Akhirnya Haji pulang sahaja ke rumah setelah gagal menghubungi Dr K.

Jam 5 petang sekali lagi saya dapat panggilan daripada Haji Khambali tetapi entah mengapa saya tidak dengar suaranya dengan jelas. Saya buka loud-speaker. Kebetulan pula saya sedang menaip separuh mesej untuk mengucapkan selamat berangkat ke nombor Dr K. Kebetulan lagi sewaktu saya sibuk memberitahu Haji bahawa saya kurang jelas suaranya, terkeluar notifikasi di bahagian atas dari grup Laman Ukhwah JPM Melewar. Mesej itu benar-benar menyebabkan saya terkejut.

Saya memekik "Allah Allah"...langsung duduk. Tangis saya pecah. Tangan kanan saya kebas dan rasa sakit menangkap kepala sebelah kanan. Saya melaung nama Allah, mengucap beberapa kali. Menantu dan anak mengambil air, saya menuangnya ke kepala. Seluruh tubuh saya kebasahan. Di hujung talian, Haji masih menyeru nama saya dan nama Allah berkali-kali. Sehingga saya tenang, barulah Haji memutuskan talian.

Kami menunggu dalam debar dan rasa kurang percaya. Betul, beliau memang masih tidak sihat sebab katanya kansernya kembali menyerang dengan lebih agresif. Tetapi ketika kali akhir bertemu,  masih nampak OK. Hanya suaranya sahaja yang agak kurang jelas. Beliau jatuh sakit pada 2020 selepas kami yang diarah pindah, berpindah keluar dari Melewar. Kata beliau, perjuangan mengekalkan Melewar dan juga duka kerana ada antara kami yang terpaksa dipindahkan menyebabkannya stres. "Saya sakit asbabnya itu," akuinya kepada saya.

Kami menunggu jenazahnya dalam hujan lebat. Dia dikebumikan keesokan harinya setelah melalui post mortem di Hospital Serdang. Dr K meninggalkan semuanya sekitar lebih kurang jam 4.30 petang Sabtu pada hari yang dia sepatutnya terbang ke tanah suci. Menurut sahabat yang sempat menatap, wajahnya tidak cengkung, nampak berseri. 

Beliau penggerak utama kumpulan kami (JPM) untuk mengembalikan kampus daripada diambil oleh PERMATA. Kemudian barulah beberapa yang lain mengikuti kumpulan kami. Ketika kami bertujuh (4 daripadanya pensyarah JPM) diarah pindah, beliau orang pertama yang menghulurkan bantuan dan pandangan. 

Beliau tidak meninggalkan kami, menunggu kami yang ketika itu kebingungan kerana tiba2 menerima arahan yang ada antaranya tidak masuk akal. Maka kami tetap menunggu jenazahnya sehinggalah bumi mendakap tubuh saudara yang kami kasihi itu.

Doa kami wahai saudara yang banyak jasanya, moga Allah memberikanmu syurga. Meskipun sedih namun demikianlah kita manusia yang tidak punya apa-apa. Datang dalam keadaan lemah, pergi pun dalam keadaan yang serupa.

Moga Allah mencintaimu, sahabat.