Total Pageviews

Sunday, October 10, 2021

Orang-orang Yang Pergi

 10 Oktober.  Lima bulan sudah Kak Cik pergi ke kampong abadi.

Tanggal 10 Mei 2021, dua hari sebelum menjelangnya Idulfitri, Kak Cik menghembuskan nafas terakhirnya. Tewas selepas kimo kedua. Anaknya mengirim video ibunya setelah saya minta dia berbuat demikian. Nafas Kak Cik kelihatan laju. Saya terus menghantar mesej, "bawa segera ke unit kecemasan!"

Saya kehilangan satu-satunya kakak ipar saya. 

Tahun lepas, kakak angkat kami, Cik La tewas juga oleh kanser yang menyerang kesemua organ dalam badannya.  Tarikh 26 Ogos 2020 satu tarikh yang takkan saya lupakan. Saya meluru pulang ke kampong pada Selasa pagi, bertemu Cik La yang sudah diam dan pulang ke Seremban pada sebelah petang dengan bisikan yang saya akan balik semula hujung minggu. Puncanya semasa Cik La masih sedar hari Isnin itu, dia bertanyakan saya. Tidak disangka, petang Rabu saya menempuh perjalanan pulang ke kampong sekali lagi, setelah mendapat khabar Cik La telah tiada menjelang azan asar berkumandang. Saya dan adik ipar temani Cik La Sepanjang malam dan keesokan harinya, Cik la dikebumikan. Semua adik beradik dan anak saudara pulang meskipun Cik La bukanlah saudara sedarah sedaging kami. 

Tahun 2020-2021 tahun dukacita. Kanser yang menyerang Kak Cik sangat aktif. Sama agresif seperti Cik La juga. Hanya sekitar 4 bulan setengah, dia tewas. Rumah yang kehilangan ibu umpama sebuah tanah perkuburan nan sunyi. Muram dan tidak bertenaga. Anak-anak seperti bermimpi, tiba-tiba pagi itu mereka sudah tiada ibu. 

Saya ke balai polis jam 3 pagi dan menguruskan kucing2 sebelum saya bergerak pulang. Hikmah PKP, tiada kesesakan di lebuh raya. Anggota di SJR tidak menahan saya, langsung mempercepatkan perjalanan jauh itu. Tiba betul-betul tepat ketika jenazah mahu dibawa ke masjid. Saya menatap wajahnya, tidurkah dia? Wajahnya benar-benar seperti orang yang sedang lena. Kak Cik dikebumikan di belakang masjid BB. Cantik rumah kamu, Kak Cik. 

Saya hanya diberikan masa tiga hari. Pagi Idulfitri, saya bergerak balik dengan membawa kucing kesayangan allahyarhamah, yang sudah tidak sihat. Di SJR Shah Alam, seorang polis bernama Hakimi nampak sangkar yang saya bawa. Dia meminta diberikan Kecik kepadanya. Saya katakan boleh tetapi saya perlu rawat dahulu sebab Kecik sakit. Akhirnya sehingga Kecik dimandulkan, saya tidak dapat berikan kepada beliau disebabkan PKP 3.0. Sebagai gantinya, anak yang tinggal di Shah Alam menyerahkan seekor bayi kucing yang ditemui terbiar sendirian kepada polis Hakimi.

Sekarang Kecik daripada baka DLH sudah begitu sihat.  Hanya itu kenangan yang ditinggalkan Kak Cik buat saya.

Saya berjanji, Kak Cik. Anak-anak kamu yang bertiga perempuan itu adalah anak-anak saya selama-lamanya. Saya akan menyantuni mereka sedaya upaya saya, mengambil berat selagi ada hayat. 

Anak perempuanmu yang sulung bakal menimang cahaya mata kedua. Yang tengah berjaya memperoleh keputusan terbaik dalam pengajian tahun pertamanya. Hujung minggu ini dia akan kembali ke uni. Yang kecil, moga dia sejahtera sebagus-bagusnya.

Rezeki ini bukan untuk saya seorang. Kita berbahagi rezeki, moga dengannya Allah murahkan rezeki cucu-cucu saya, menjadikan mereka anak soleh solehah, menjadi orang baik-baik semuanya.

Hari ini kita mungkin sihat sejahtera, kita masih muda dan kuat, boleh menghukum orang sesuka hati kita. Hakikatnya semua takdir kita berada dalam pemerhatian Allah. Kita akan menjadi tua, sihat lawannya sakit, suka lawannya duka. Tiada upaya kita untuk tahu apa takdir kita hanya dalam masa seminit.

Insya-Allah. Hidup penuh teka-teki. Esok belum tentu ada untuk kita. Lakukan kebaikan hari ini. Bukan untuk pujian manusia tetapi untuk mencari reda Ilahi.