Total Pageviews

Monday, October 11, 2021

UTOPIA

 

Melihat hujan yang jatuh menimpa aspal, adalah sesuatu yang sangat meriangkan. Kanak-kanak bermain dalam hujan yang airnya bersih seperti tahun 1950-an.

Musim kering ini barangkali sudah tiba waktu pamitnya. Pokok-pokok sudah mula tersenyum. Dahaga yang berterusan telah mengeringkan daun. Daun-daun itu bersepahan di lantai bumi, menyebarkan pula debu-debu halus yang hinggap di kereta dan tingkap rumah. 

Membayangkan negara tercinta ini melalui cuaca empat musim. Telah hilang musim panas yang menyambar kulit. Diekori rapat musim luruh, musim bunga dan musim dingin. 

Sudah pasti orang-orang akan berhenti bercekcok tentang politik yang haru-biru sebab orang-orang sibuk dengan keanehan musim yang berganti. Maka aman damailah udara tanpa ada sentimen perkauman, fitnah, umpat keji dan segala macam kebejatan. Orang-orang politik menjual semua jam mewah, kereta mewah, banglo mewah, mengeluarkan wang berjuta yang disonglap dan mengembalikannya kepada marhaen. Semua papan tanda sudah dijawikan menyebabkan ramai pemandu yang tersesat. Kelas-kelas mengajar tulisan jawi sesak sampai ke tangga.

Masjid-masjid penuh dengan jemaah tanpa mengira waktu. Surau-surau juga begitu. Orang ramai sudah berpaling kepada agama kerana bimbang kiamat sudah dekat. Penganjur-penganjur konsert Kpop gulung tikar, atau beralih kepada konsert yang dipenuhi elemen ketuhanan. Pengedar-pengedar dadah juga kecewa dan akhirnya mereka sendiri yang mengambil bahan terlarang itu, langsung mati. Sel-sel kosong kerana tiada keinginan orang-orang untuk berbuat jahat. Doktor dan jururawat santun melayan pesakit. Pekerja pembersihan kebingungan kerana sampah di jalanan sangat minimal.

Anak-anak kembali menghargai orang tua mereka sebab mematuhi kata-kata nobody is clever than their parents. Kegemparan-kegemparan seperti perubahan musim itu, menyebabkan semuanya juga berubah tiga ratus enam puluh darjah. Murid menjadi patuh mengikuti peraturan sekolah. Semuanya membuka kamera ketika PDPR tanpa disuruh. Capaian internet sangat laju. Tiada lagi murid yang terpaksa membina pondok di atas pokok. Guru mengajar dengan penuh komited tanpa stres kerana semua dasar telah berpijak di bumi nyata. Akhbar-akhbar pun sudah berhenti memainkan isu fitnah.  Drama TV menceritakan CEO Megah Holding keluar 4o hari mengikuti program tabligh di samping memanfaatkan kekayaan demi ummah. 

Tiada bekas makanan, kulit pisang, puntung rokok di jalanan. Tiada bayi yang dibuang. Tiada bomoh dan tikar terbang. Bubu pula kembali kepada fungsinya yang asal iaitu untuk menangkap ikan.

Kucing dan anjing jalanan gemuk dan sihat. Program pemandulan berjalan secara besar-besaran untuk mengelakkan pembiakan yang melampaui batas. Tiada kucing bunting yang mati di mesin kedai dobi atau dicampak ke udara demi sebuah konten tik tok.

Orang bersopan santun di jalan raya. Polis trafik hanya duduk melihat dari bawah pokok sambil minum air cincau dan bermain dam aji. Pencuri pun sudah tidak mahu mencuri, bertukar kerjaya menanam sayur hidroponik. Pengawal keselamatan akhirnya tiada kerja dan pulang ke kampung menjadi petani.

 Semua ini poyo!

 Utopia!