Total Pageviews

Friday, May 6, 2022

MENJADI KARYAWAN TAMU MAJALAH DEWAN SASTERA MAC 2022

Hadiah ulang tahun ke-56 barangkali. Alhamdulillah. 

Bayangkan ya. Saya pembaca tegar DS sejak masih bersekolah. Saya menyimpan wang untuk membeli majalah ini di samping majalah Bujal.

Bahasanya tinggi setinggi kekaguman saya sekian lama terhadap majalah ini. Akhirnya ketika hanya berbaki beberapa bulan sebelum menamatkan perkhidmatan, saya dijemput menjadi tetamu majalah berprestij ini. Alhamdulillah.

Mac itu, selain artikel tentang BERKAWAN DENGAN ALAM, BERKAHWIN DENGAN BUKU, ada tujuh buah puisi yang turut tersiar. Diikuti DS bulan Mei dengan sebuah puisi lagi. Kata editornya, akan menyusul lagi dua buah puisi yang bakal tersiar pada tahun 2022.

Saya mahu sampaikan mesej bahawa jika mahu menjadi penulis, wajiblah membaca. Pak Samad Said pernah menyebut, "walaupun tidak semestinya orang yang rajin membaca itu akan menjadi penulis, tapi orang yang tidak membaca itu tidak akan menjadi penulis, kecuali dia memperolehi anugerah luar biasa  sejak lahirnya".

Saya lihat ada kecenderungan yang menakutkan terhadap penglibatan sekelompok orang yang terjun dalam bidang sastera dan meletakkan status mereka sebagai penulis/penyair dengan cara yang kurang bagus. Ertinya, mereka hadir dengan cara menghampiri/mendekati penulis mapan (lelaki) atau yang memiliki pengaruh (organisasi/persatuan/hubungan dengan akhbar majalah); ikut sekali berbengkel (itu bagus), dan di media sosialnya terpapar foto2 dengan mereka yang terkenal (tidak mengapa, itu juga biasa). Kemudian berlakulah gosip-gosip, gaduh-gaduh, membentuk kelompokan mereka sendiri yang gilakan glamor. Menulisnya tetaplah ke laut. Berbengkel dan menghasilkan, tetapi mutunya nihil. Gahnya sahaja yang menerawang di maya.

Biar diam-diam tetapi menghasilkan ubi yang manis dan gemuk. Bukan membingit tetapi buahnya daripada plastik, kaku dan tiada bau.

Semua orang boleh menjadi penulis. Tetapi bukan semua yang menulis itu sebenarnya penulis. Apalagi mudah-mudah menggelarkan diri penyair atau sasterawan. Khalayak yang memberikan gelar, bukan kita.