Total Pageviews

Friday, December 6, 2019

17 November Sajak Lagi Buat Kayyisa

Sajak ini terbit di BH pada 17 November 2019. Sajak sambungan daripada sajak Mari Kuajar Kamu Menulis Puisi.

Moga Kamu Warisi Cinta
(Dedikasi Untuk Kayyisa Syed Bulya Noh)


Sebekas pengalaman yang kujamah ini, cucu
telah memaknakan nikmat yang berselirat
antara jalur-jalur duka yang bersimpang-siur
telah puas kuhadam semuanya
sehingga aku tidak lagi membenci takdir
atau menuding silap siapa pun yang mentadbir.

Aku tidak pernah lagi membenci matahari
yang rakus membakar kulit
aku tidak pernah lagi membenci hujan
yang membasuh air mata berjuraian
pun aku tidak lagi membenci angin
yang menyelak menampakkan luka di lengan
aku tidak lagi membenci malam
kerana aku tahu esok pasti munculnya siang.

Demi kamu yang mahu kuwariskan cinta
telah kulupakan semuanya yang menerbitkan air mata
kukasihi matahari, hujan dan angin
kudakap malam dan kuhangatkan dingin.

Tuhan lebih tahu
apa yang sedang kubicarakan di kalbu.

Moga kamu warisi cinta
jangan warisi duka nenda.


Ratna Laila Shahidin
Lenggong Perak