Total Pageviews

Friday, January 29, 2016

Hello 50's

Tiba-tiba di skrin telefon, ada satu grup yang namanya Hello 50’s.

Eh, mereka salah orangkah? Siapa pula yang memasukkan nombor saya dalam grup?

Baiklah, memang saya sudah masuk lima puluh. Itu saya tahulah tetapi atas kapasiti apa mereka masukkan nombor saya?

Kemudian apabila saya melihat mereka “bercakap—cakap” dalam grup, barulah saya tahu bahawa itu grup MGSian Ipoh 1979-1983. Sudah tentu semuanya perempuan sebab sekolahnya sekolah perempuan. Melihat mereka ber”hai” dan “hello” sesungguhnya masa telah mengambil sebahagian ingatan saya. Saya hanya ingat beberapa orang meskipun mereka meletakkan gambar-gambar lama yang pastinya waktu itu berskirt, berseluar pendek dan rambut ala-ala Marrie Osmond!

Ada keterujaan bertemu rakan sekolah di maya. Namun ada juga kesedihan tatkala beberapa orang telah menjadi allahyarhamah. Seorang rakan memberitahu, dia masih ingat saya sebab biasanya dalam peperiksaan di menengah atas, saya mendapat tempat pertama dan dia tempat kedua. Oh Tuhan, saya langsung tidak ingat rakan saya itu. Maafkanlah saya.

Saya bukan pelajar popular di sekolah itu. Kalau sedikit bagus dan menyerlah pun setelah saya memasuki menengah atas. Tiga tahun di menengah rendah, saya adalah pelajar yang diselimuti rasa rendah diri. Saya tidak pandai berbahasa Inggeris. Peperiksaan Penilaian Darjah Lima, saya mendapat B dalam bahasa Inggeris. Apabila masuk ke sekolah menengah, saya sedikit demi sedikit dapat membiasakan diri. Bagaimana boleh begitu? Sebab perhimpunan, malah pengumuman yg selalu bersiaran melalui corong pembesar suara di kelas, semuanya dalam bahasa tersebut. Saya juga tidak bagus dalam matematik sebab gurunya cenderung menggunakan bahasa tersebut waktu mengajar. Dan sangat garang juga!

Bukan soal bahasa sahaja menjadikan saya pelajar yang berasa terasing. Saya budak kampung yang tinggal di pedalaman. Saya anak orang miskin. Saya tiada wang seperti rakan lain yang boleh “outing” dan membeli barang-barang yang bagus. Saya tiada buku rujukan atau mengikuti kelas tambahan berbayar. Dalam kelas, saya menyalin nota dengan bersungguh-sungguh, kemudian menyalin lagi melalui buku teks. Saya pinjam buku kawan dan salin juga. Saya belajar dan menghadapi peperiksaan dengan cara tersebut.

Oleh sebab kedudukan asrama yang jauh dari sekolah, ramai kawan yang mampu membayar yuran bas, tetapi tidak saya. Saya berjalan kaki ke sekolah yang kalau waktu hujan atau panas berbahang, tuan-tuan pasti tahu betapa sukarnya saya melalui perjalanan jauh itu. Namun saya bersyukur, Allah menjaga saya dan beberapa kerat rakan yang senasib. Tiada orang jahat kecuali seorang dua lelaki yang kurang waras dan anjing-anjing yang menyalak dengan penuh perasaan ketika kami melalui rumah-rumah golongan kaya berbangsa Cina.

Barangkali kalau mereka ingat saya pun sebab saya selalu menang kalau ada pertandingan menulis karya sastera di sekolah. Juga sebab selalu keluar di majalah sekolah iaitu majalah "Our Argosy”.

Ya, saya sudah memasuki usia emas yang tidak berapa emas. Saya bersyukur dengan segala perjalanan yang saya lalui dalam kehidupan sepanjang lima puluh tahun ini. Meskipun kehidupan saya secara luarannya tidak mewah, tidak sebagus rakan-rakan lain, masih sederhana dan kadangkala kelihatan begitu “marhaen”, saya gembira dengan kekayaan pengalaman yang saya peroleh.

Boleh sahaja kalau kita membuang semua rasa tanggungjawab dan hanya memikirkan diri kita sendiri. Sudah pasti kita boleh tinggal di rumah yang dalamannya mewah, berkereta jenama hebat, berpakaian yang bagus-bagus, melancong ke sana ke mari...boleh saja. Tetapi sudah pasti di lantai hati kita berteriak dan tidak gembira. Kata mak, hidup ini kena selalu memberi. Meskipun kita susah, tetapi akan ada sedikit ruang seperti permukaan tasik yang damai di dalam jiwa kita.

Mereka mahu membuat “re-union” secara besar-besaran sempena masuk ke gerbang lima puluh. Saya akan hadir sebagai diri saya sendiri. Saya tidak akan berpura-pura hebat. Dengan memandu Red Riding Hood yang kecil dan berjenama nasional, juga dengan pakaian biasa, saya akan datang menemui rakan-rakan saya.

Hello 50’s...saya sudah semakin tua.

Mei nanti kalau diizinkan Allah, menjadi nenek pula.

Nenek?

Maaaaakkkkkkkkkkkkkkkk! Macam mana ini boleh berlaku....wahahaha.

Nampaknya saya adalah anak mak ayah yang kedua menjadi nenek (selain kakak sulung). Sungguh tidak adil sebab abang dan kakak yang di atas saya mengetawakan saya!

Monday, January 25, 2016

Namaku Namaku Jua

Teringat saya waktu mahu makan tengah hari di Coral Bay hari terakhir PULARA. Pak Roslan Madun datang menghampiri saya, ikut serta mengambil makanan seperti salad dan sebagainya.

“Ratna Laila Shahidin...” tegurnya.

Saya menoleh. “Ya, tuan. Makan?” sekadar berbasa-basi.

Rupa-rupanya dia ada pertanyaan yang mahu saya jawab. Soalannya ialah “nama Ratna itu nama di kad pengenalan atau nama samaran?”

Saya tergelak. Saya sudah biasa juga dengan soalan begini. Nama yang asli di kad pengenalan, jawab saya tulus.

“Oh, jadi memang ayah dan ibu beri nama itu supaya anaknya jadi penulis ya?” Itu sangkaannya.

“Tidaklah. Ayah mak saya orang kampung saja, tuan. Orang susah. Tidak terfikir langsung agaknya mahu anaknya begini. Lagipun yang memberikan nama kepada saya ini orang luar. Ada juga sejarahnya yang panjang. Cuma mak ayah saya, khususnya mak memang rutinnya bercerita sewaktu mahu tidur. Itu rutin wajib meskipun mak tidak sekolah rasmi...”

Panjang saya menerangkan sebagaimana biasa kalau ada yang bertanya soal nama yang aneh itu. Memang aneh sebab dua kakak saya bermula nama mereka dengan huruf F dan tiga adik beradik lelaki dengan huruf M. Nama saya juga berbau Sanskrit (itu pun selepas saya turun naik ke jabatan pendaftaran untuk memotong nama yang berjela sekitar tahun 1984).

“Saya memberikan nama kepada anak saya memang bertujuan mahu dia jadi penulis, orang seni. Memang menjadi tetapi oleh sebab kesibukannya sekarang, dia tidak berkarya lagi...” Pak Roslan memberitahu nama anaknya. Cantik nama yang diberi.

Saya sekarang selalu terfikir mengapa saya tidak memberikan nama yang Islamik kepada anak-anak saya dengan tujuan supaya mereka itu masing-masing jadi ustazah atau profesi lain yang berkaitan agama. Supaya nama itu menyebabkan mereka cenderung ke arah keagamaan meskipun barangkali kerjanya sebagai komikus. Cuba perhatikan beberapa nama ustaz yang bagus-bagus. Nama mereka juga bagus, selaras dengan tugas mereka berdakwah.

Maka ketika saya tanyakan anak sulung saya berkaitan nama bakal anaknya, dia menyebut nama salah seorang nabi. Pendek sahaja namanya. Memang trend orang sekarang memberikan nama pendek dan “biasa” kepada anak-anak. Alhamdulillah, tidaklah menyusahkan orang di pejabat pendaftaran dan juga para guru sekolah.

Menantu saya mengadu isterinya tidak mahu meneruskan legasi Laila (kalau anak perempuan). Katanya, anak saya itu mahu keunikan nama kami itu kekal bertiga sahaja. Saya, dia dan adiknya. Tak apalah, kata saya. Nanti saya suruh si adik, kalau dia berkahwin nanti supaya meneruskan legasi Laila. Hahahaha...mukanya nampak kecewa. Apa lagi anak saya itu tidak mahu ada Syed atau Syarifah di pangkal nama anaknya. Dia mahu nama anaknya seketul sahaja.

Apa-apa pun, saya berterima kasih kepada si pemberi nama meskipun (sangat menakutkan untuk diingat), terima kasih kepada mak dan ayah yang meskipun keberatan membenarkan nama saya didaftar, kepada jabatan pendaftaran yang membenarkan nama saya dipotong separuh meskipun prosedurnya sangat sulit. Nama ini yang akan saya bawa hingga ke padang mahsyar nanti. Moga nama ini memberi manfaat kepada saya dan manusia lain.

Nama sebenarnya sedikit sebanyak mempengaruhi peribadi kita. Itu sebab agama kita menyuruh memilih nama yang maknanya baik.

Saya tidak perlu bersusah payah membina nama samaran sebab nama saya pun macam nama samaran juga. Mahu buat sesuatu pun kena fikir banyak kali sebab nama itu orang lekas ingat.

Apa-apa pun hidup mesti diteruskan dengan penuh bersemangat meskipun nama kita hanya satu abjad sahaja iaitu A atau yang panjang berjela seperti Ratukanjengvertebratakumolonimbussampaitertimbus.

Tuesday, January 19, 2016

Emak Si Randang

Hari ini kuliah Puisi Melayu Tradisional dengan kupasan tajuk Syair dan Seloka.

Memang saya kurang mahir dengan puisi tradisional yang sangat sukar untuk menciptanya. Saya selalu beritahu pelajar bahawa dalam hasil sastera khususnya puisi tradisional tersimpan segala pemikiran, keintelektualan, gambaran kehidupan, kelogikan akal, estetika bahasa masyarakat Melayu zaman dahulu.

Maknanya, jangan pakai bantai sahaja mencipta pantun dan mendakwa bahawa itulah sebenarnya pantun.

Oleh sebab kuliah mengenai sastera, saya cenderung meminta pelajar membuat persembahan dalam bentuk berlagu ketika memberikan soalan tutorial. Tujuannya supaya mereka lebih kreatif ketika beraksi di hadapan murid abad 21 nanti. di samping untuk mengelak kebosanan sepanjang tiga jam pengajaran pembelajaran.

Maka keluarlah berbagai-bagai versi puisi tradisional yang mengundang kelucuan juga.

Prinsip saya mudah sahaja. Pelajar-pelajar ini jangan dipenjarakan akal mindanya. Mereka mesti diajar menggunakan otak dengan memikirkan kaedah terbaik. Mesti selalu beritahu bahawa mereka belajar untuk memperkayakan ilmu sendiri yang boleh digunakan untuk manfaat generasi akan datang.

Jangan jadi seperti emak si Randang. Dagang lalu ditanakkan, anak di rumah mati kelaparan!

Eh, ada kena mengenakah?

Monday, January 18, 2016

Grrr...

Kecurangan lelaki adalah sesuatu yang sangat klise.

"Saya rasa tiada apa yang kurangnya saya kecuali kurang pandai mengemas". Itu katanya setelah dapat menghidu bangkai kecurangan sang suami.

Wahai perempuan, ketahuilah bahawa sesempurna mana pun kamu, lelaki akan mengambil kesempatan juga untuk berlaku curang. Pernah ada seorang lelaki, tatkala ditanya akan punca kecurangannya menyebut begini, " isteri saya terlalu baik. Itulah puncanya".

Nampak?

Sebahagian lelaki adalah makhluk yang jahat. Sangat jahat sehingga sanggup berlaku zalim kepada isteri dan anak-anak. Sebenarnya saya mahu bercakap begitu. Tetapi saya diam-diam sahaja. Saya mengeji-ngeji di dalam hati.

Saya tidak boleh bercakap kuat-kuat. Sebab saya ada ayah dan ayah saya lelaki. Mujur saya tiada anak lelaki, tetapi menantu saya lelaki...hohohoho!

Saya bukanlah anti-lelaki. Tetapi saya berasa sensitif sebab yang dicurangi itu adik ipar saya. Dia perempuan yang sangat baik. Dia mengorbankan segala-galanya, dia berhak mendapat seorang suami yang baik, sebaik dirinya.

Saya sangat marah sehingga beberapa hari ini saya asyik makan saja. Sudah pasti berat saya akan naik lagi sebab asyik makan.

Saya sangat marah juga sehingga tidak mampu untuk menulis lagi.

Sekian.

Monday, January 11, 2016

Secangkir Pilihan

Saya selalu terfikir begini. Kita jangan sesekali menyesali perjalanan hidup kita dan menobatkan kata bahawa barangkali tiada lagi ruang gembira buat kita seada hayat ini. Sebenarnya kita jangan menyesalinya. Ada orang yang langsung tidak boleh memilih. Ertinya ada orang yang lebih teruk ketentuan hidupnya daripada kita.

Susah-susah kita, menderita pun kita, sakit kita...kita masih mempunyai pintu lain untuk kita melaluinya. Ertinya kita masih punya pilihan. Ada orang yang sudah tiada pintu untuk dia keluar. Duduknya di dalam kelam. Tiada pintu langsung, maknanya tiada pilihan.

Kita barangkali hidup dengan jutaan ujian dan kepayahan. Tetapi kita masih boleh senyum dan ketawa, masih boleh melihat bulan, menghidu wangi bunga, merasai sejuknya angin, boleh lagi berjalan dan sesekali berlari. Ya, barangkali boleh sahaja kita mendakwa bahawa bahagia itu bukan milik kita. Namun bukankah kita pernah juga melalui saat bahagia meskipun sedetik cuma? Maknanya lagi, kalau orang boleh bicara tentang bahagia, maka kita juga boleh kerana kita pun pernah memiliki bahagia (yang sedikit dan sebentar itu).

Nah, cuba kita lihat pula mereka yang tidak punya pilihan itu! Semuanya sudah tertutup kiri kanan atas bawah depan belakang. Mereka terpaksa (?) menerima ketentuan. Mereka tidak nampak, tidak mendengar, tidak boleh ketawa, tidak boleh berjalan, tidak boleh...tidak boleh...

Kasihan, bukan?

Hidup ini bukan pilihan kita, kematian juga bukan pilihan kita. Tetapi kita boleh memilih untuk hidup dengan gembira dan memohon mati juga dengan bahagia. Biarlah yang duka itu datang dan terus datang. Ingat, kita masih boleh memilih. Jika pintu di hadapan sudah ditutup dan dikunci, masih ada pintu lain yang boleh kita masuki.

Biarlah, kalau ada yang mahu mengambil, silakan. Kalau bukan haknya, Allah akan mengembalikan semuanya kepada kita.

Kita masih boleh membuat pilihan.

Hari ini saya mahu minum kopi. Pagi yang luar biasa dengan pilihan yang di luar kebiasaan juga.

Abaikan yang kopi itu tidak bagus untuk saya. Saya mahu bergembira hari ini sebab saya sedar masih ada orang yang tiada pilihan untuk minum secangkir kopi di pagi hari.

Sunday, January 3, 2016

Shiroyasa dan Emak

Sepanjang Oktober sehingga Disember 2015, kami sekeluarga mengharungi detik sukar. Namun Allah memberikan sentuhan keajaiban yakni kesembuhan kepada mak. Benarlah bahawa segalanya mampu mengalahkan mustahil jika Dia mahu.

Berulang alik sebanyak belasan kali menjadi kewajipan buat saya. Perjalanan jauh menjadi seperti dekat. Kesakitan kaki saya tahan meskipun ada waktunya saya berasa kaki saya seperti dipotong-potong. Alhamdulillah, semua wang hadiah kemenangan saya dapat menampung perbelanjaan minyak, tol (selama belasan kali itu), membantu kakak saya membeli barangan keperluan serta kos perubatan mak. Jika untuk saya pun hanyalah sepasang kasut jenama BATA yang berharga RM58. Itu sahaja kenangan kemenangan.

Saat meninggalkan mak sangat sukar sekali. Mata mak sudah kabur, telinga pun kurang mendengar. Mak tidak boleh berdiri lama. Tidak boleh berjalan jauh. Langkah mak perlahan. Sudah pastilah kebimbangan itu mencanak naik. Mak perlu makan ubat. Ada aturannya. Tidak boleh lalai sebab bila-bila masa sahaja mak boleh mendapat gejala “hypo”. Saya dan kakak ke pekan membeli stok keperluan emak. Juga “menguji” mak mengenai ubatan serta perkara-perkara lain. Kami menyerahkan emak kepada Allah. Moga Allah permudahkan segalanya buat mak. Si bongsu saya tinggalkan untuk sesekali menemani opah. Abang saya dan kakak ipar bekerja. Sebelah petang kakak ipar saya sudah ada di rumah.

Menjadi kebiasaan juga saya tiba di laman mak sendirian menjelang dua setengah pagi. Mengharungi pekat malam dan bahaya yang Allah telah jauhkan daripada saya.

Tahun baharu Masihi 2016...

Allah juga mengambil kucing keenam saya, Shiro pada tarikh 2 januari 2016. Kakak sulung membantu mengebumikan Shiro di tepian Sungai Neruk seawal jam 6.45 pagi. Selama tiga minggu Shiro berjuang melawan penyakitnya. Saya merawatnya dengan cermat. Si putih yang cantik itu akhirnya kembali ke sisi pencipta. Malam itu sambil menangis saya berdoa agar penderitaan Shiro tamat. Saya beritahunya di ribaan, “Shiro pergilah. Walaupun ibu sangat sedih, tetapi ibu redho. Pergilah, tak apa...” dia mendongak merenung dengan matanya yang cantik itu. Jarinya memegang tangan saya. saya tidak pasti jam berapa Shiro menghabiskan hayatnya. Jam dua belas tengah malam hari pertama tahun baharu, Shiro masih mengangkat kepalanya tatkala mendengar namanya saya panggil.

Saya belajar banyak daripada perjuangan seekor kucing putih melepak kacukan DSH dan Parsi ini. Dia berusia lima bulan. Seekor kucing yang sangat aktif. Tetapi entah penyakit apa yang menyebabkan dia muntah dengan kerap. Badannya mendadak susut. Dia yang sepatutnya mengambil suntikan vaksin kedua, tidak dapat berbuat demikian. Shiro bertahan selama tiga minggu. Pelbagai kaedah saya ikhtiarkan untuk kesembuhan Shiroyasa (The White Spirit) tetapi akhirnya dia berpulang juga ke negeri abadi. Beberapa kali Shiro dibawa ke klinik, malahan masuk wad selama lima hari. Sudah pasti saya mengalami perasaan yang sangat dahsyat ketika pulang ke Seremban dengan “carrier” yang kosong. Benar, sepanjang jalan saya menangis. Ketika pulang dan bertemu dengan lima ekor yang masih berbaki, khususnya adik Shiro, Simba...sekali lagi saya tersedu. Simba juga kelihatan kurang sihat walaupun aktif bermain dan kuat makan. Dia kerap mengalami demam. Vaksin keduanya juga terpaksa ditangguhkan ke waktu lain.

Esok saya akan mula bekerja. Saya sudah membayangkan timbunan tugas yang sedang menanti. Dengan ingatan-ingatan dan kerisauan saya terhadap emak di kampung, dengan kesedihan dan kehilangan, kewangan yang susut, tugasan yang banyak, tawaran-tawaran yang masih belum saya jawab, kesakitan yang meragut nikmat hidup, saya masih berharap esok akan ada bayu yang lembut di bawah sinaran matahari garang.

Hidup ini perjuangan. Klise. Tetapi memang sebenarnya hidup itu perjuangan, yakni perjuangan untuk hidup!