Total Pageviews

Sunday, January 3, 2016

Shiroyasa dan Emak

Sepanjang Oktober sehingga Disember 2015, kami sekeluarga mengharungi detik sukar. Namun Allah memberikan sentuhan keajaiban yakni kesembuhan kepada mak. Benarlah bahawa segalanya mampu mengalahkan mustahil jika Dia mahu.

Berulang alik sebanyak belasan kali menjadi kewajipan buat saya. Perjalanan jauh menjadi seperti dekat. Kesakitan kaki saya tahan meskipun ada waktunya saya berasa kaki saya seperti dipotong-potong. Alhamdulillah, semua wang hadiah kemenangan saya dapat menampung perbelanjaan minyak, tol (selama belasan kali itu), membantu kakak saya membeli barangan keperluan serta kos perubatan mak. Jika untuk saya pun hanyalah sepasang kasut jenama BATA yang berharga RM58. Itu sahaja kenangan kemenangan.

Saat meninggalkan mak sangat sukar sekali. Mata mak sudah kabur, telinga pun kurang mendengar. Mak tidak boleh berdiri lama. Tidak boleh berjalan jauh. Langkah mak perlahan. Sudah pastilah kebimbangan itu mencanak naik. Mak perlu makan ubat. Ada aturannya. Tidak boleh lalai sebab bila-bila masa sahaja mak boleh mendapat gejala “hypo”. Saya dan kakak ke pekan membeli stok keperluan emak. Juga “menguji” mak mengenai ubatan serta perkara-perkara lain. Kami menyerahkan emak kepada Allah. Moga Allah permudahkan segalanya buat mak. Si bongsu saya tinggalkan untuk sesekali menemani opah. Abang saya dan kakak ipar bekerja. Sebelah petang kakak ipar saya sudah ada di rumah.

Menjadi kebiasaan juga saya tiba di laman mak sendirian menjelang dua setengah pagi. Mengharungi pekat malam dan bahaya yang Allah telah jauhkan daripada saya.

Tahun baharu Masihi 2016...

Allah juga mengambil kucing keenam saya, Shiro pada tarikh 2 januari 2016. Kakak sulung membantu mengebumikan Shiro di tepian Sungai Neruk seawal jam 6.45 pagi. Selama tiga minggu Shiro berjuang melawan penyakitnya. Saya merawatnya dengan cermat. Si putih yang cantik itu akhirnya kembali ke sisi pencipta. Malam itu sambil menangis saya berdoa agar penderitaan Shiro tamat. Saya beritahunya di ribaan, “Shiro pergilah. Walaupun ibu sangat sedih, tetapi ibu redho. Pergilah, tak apa...” dia mendongak merenung dengan matanya yang cantik itu. Jarinya memegang tangan saya. saya tidak pasti jam berapa Shiro menghabiskan hayatnya. Jam dua belas tengah malam hari pertama tahun baharu, Shiro masih mengangkat kepalanya tatkala mendengar namanya saya panggil.

Saya belajar banyak daripada perjuangan seekor kucing putih melepak kacukan DSH dan Parsi ini. Dia berusia lima bulan. Seekor kucing yang sangat aktif. Tetapi entah penyakit apa yang menyebabkan dia muntah dengan kerap. Badannya mendadak susut. Dia yang sepatutnya mengambil suntikan vaksin kedua, tidak dapat berbuat demikian. Shiro bertahan selama tiga minggu. Pelbagai kaedah saya ikhtiarkan untuk kesembuhan Shiroyasa (The White Spirit) tetapi akhirnya dia berpulang juga ke negeri abadi. Beberapa kali Shiro dibawa ke klinik, malahan masuk wad selama lima hari. Sudah pasti saya mengalami perasaan yang sangat dahsyat ketika pulang ke Seremban dengan “carrier” yang kosong. Benar, sepanjang jalan saya menangis. Ketika pulang dan bertemu dengan lima ekor yang masih berbaki, khususnya adik Shiro, Simba...sekali lagi saya tersedu. Simba juga kelihatan kurang sihat walaupun aktif bermain dan kuat makan. Dia kerap mengalami demam. Vaksin keduanya juga terpaksa ditangguhkan ke waktu lain.

Esok saya akan mula bekerja. Saya sudah membayangkan timbunan tugas yang sedang menanti. Dengan ingatan-ingatan dan kerisauan saya terhadap emak di kampung, dengan kesedihan dan kehilangan, kewangan yang susut, tugasan yang banyak, tawaran-tawaran yang masih belum saya jawab, kesakitan yang meragut nikmat hidup, saya masih berharap esok akan ada bayu yang lembut di bawah sinaran matahari garang.

Hidup ini perjuangan. Klise. Tetapi memang sebenarnya hidup itu perjuangan, yakni perjuangan untuk hidup!