Total Pageviews

Monday, January 25, 2016

Namaku Namaku Jua

Teringat saya waktu mahu makan tengah hari di Coral Bay hari terakhir PULARA. Pak Roslan Madun datang menghampiri saya, ikut serta mengambil makanan seperti salad dan sebagainya.

“Ratna Laila Shahidin...” tegurnya.

Saya menoleh. “Ya, tuan. Makan?” sekadar berbasa-basi.

Rupa-rupanya dia ada pertanyaan yang mahu saya jawab. Soalannya ialah “nama Ratna itu nama di kad pengenalan atau nama samaran?”

Saya tergelak. Saya sudah biasa juga dengan soalan begini. Nama yang asli di kad pengenalan, jawab saya tulus.

“Oh, jadi memang ayah dan ibu beri nama itu supaya anaknya jadi penulis ya?” Itu sangkaannya.

“Tidaklah. Ayah mak saya orang kampung saja, tuan. Orang susah. Tidak terfikir langsung agaknya mahu anaknya begini. Lagipun yang memberikan nama kepada saya ini orang luar. Ada juga sejarahnya yang panjang. Cuma mak ayah saya, khususnya mak memang rutinnya bercerita sewaktu mahu tidur. Itu rutin wajib meskipun mak tidak sekolah rasmi...”

Panjang saya menerangkan sebagaimana biasa kalau ada yang bertanya soal nama yang aneh itu. Memang aneh sebab dua kakak saya bermula nama mereka dengan huruf F dan tiga adik beradik lelaki dengan huruf M. Nama saya juga berbau Sanskrit (itu pun selepas saya turun naik ke jabatan pendaftaran untuk memotong nama yang berjela sekitar tahun 1984).

“Saya memberikan nama kepada anak saya memang bertujuan mahu dia jadi penulis, orang seni. Memang menjadi tetapi oleh sebab kesibukannya sekarang, dia tidak berkarya lagi...” Pak Roslan memberitahu nama anaknya. Cantik nama yang diberi.

Saya sekarang selalu terfikir mengapa saya tidak memberikan nama yang Islamik kepada anak-anak saya dengan tujuan supaya mereka itu masing-masing jadi ustazah atau profesi lain yang berkaitan agama. Supaya nama itu menyebabkan mereka cenderung ke arah keagamaan meskipun barangkali kerjanya sebagai komikus. Cuba perhatikan beberapa nama ustaz yang bagus-bagus. Nama mereka juga bagus, selaras dengan tugas mereka berdakwah.

Maka ketika saya tanyakan anak sulung saya berkaitan nama bakal anaknya, dia menyebut nama salah seorang nabi. Pendek sahaja namanya. Memang trend orang sekarang memberikan nama pendek dan “biasa” kepada anak-anak. Alhamdulillah, tidaklah menyusahkan orang di pejabat pendaftaran dan juga para guru sekolah.

Apa-apa pun, saya berterima kasih kepada si pemberi nama meskipun (sangat menakutkan untuk diingat), terima kasih kepada mak dan ayah yang meskipun keberatan membenarkan nama saya didaftar, kepada jabatan pendaftaran yang membenarkan nama saya dipotong separuh meskipun prosedurnya sangat sulit. Nama ini yang akan saya bawa hingga ke padang mahsyar nanti. Moga nama ini memberi manfaat kepada saya dan manusia lain.

Nama sebenarnya sedikit sebanyak mempengaruhi peribadi kita. Itu sebab agama kita menyuruh memilih nama yang maknanya baik.

Saya tidak perlu bersusah payah membina nama samaran sebab nama saya pun macam nama samaran juga. Mahu buat sesuatu pun kena fikir banyak kali sebab nama itu orang lekas ingat.

Apa-apa pun hidup mesti diteruskan dengan penuh bersemangat meskipun nama kita hanya satu abjad sahaja iaitu A atau yang panjang berjela seperti Ratukanjengvertebratakumolonimbussampaitertimbus.