Total Pageviews

Friday, January 29, 2016

Hello 50's

Tiba-tiba di skrin telefon, ada satu grup yang namanya Hello 50’s.

Eh, mereka salah orangkah? Siapa pula yang memasukkan nombor saya dalam grup?

Baiklah, memang saya sudah masuk lima puluh. Itu saya tahulah tetapi atas kapasiti apa mereka masukkan nombor saya?

Kemudian apabila saya melihat mereka “bercakap—cakap” dalam grup, barulah saya tahu bahawa itu grup MGSian Ipoh 1979-1983. Sudah tentu semuanya perempuan sebab sekolahnya sekolah perempuan. Melihat mereka ber”hai” dan “hello” sesungguhnya masa telah mengambil sebahagian ingatan saya. Saya hanya ingat beberapa orang meskipun mereka meletakkan gambar-gambar lama yang pastinya waktu itu berskirt, berseluar pendek dan rambut ala-ala Marrie Osmond!

Ada keterujaan bertemu rakan sekolah di maya. Namun ada juga kesedihan tatkala beberapa orang telah menjadi allahyarhamah. Seorang rakan memberitahu, dia masih ingat saya sebab biasanya dalam peperiksaan di menengah atas, saya mendapat tempat pertama dan dia tempat kedua. Oh Tuhan, saya langsung tidak ingat rakan saya itu. Maafkanlah saya.

Saya bukan pelajar popular di sekolah itu. Kalau sedikit bagus dan menyerlah pun setelah saya memasuki menengah atas. Tiga tahun di menengah rendah, saya adalah pelajar yang diselimuti rasa rendah diri. Saya tidak pandai berbahasa Inggeris. Peperiksaan Penilaian Darjah Lima, saya mendapat B dalam bahasa Inggeris. Apabila masuk ke sekolah menengah, saya sedikit demi sedikit dapat membiasakan diri. Bagaimana boleh begitu? Sebab perhimpunan, malah pengumuman yg selalu bersiaran melalui corong pembesar suara di kelas, semuanya dalam bahasa tersebut. Saya juga tidak bagus dalam matematik sebab gurunya cenderung menggunakan bahasa tersebut waktu mengajar. Dan sangat garang juga!

Bukan soal bahasa sahaja menjadikan saya pelajar yang berasa terasing. Saya budak kampung yang tinggal di pedalaman. Saya anak orang miskin. Saya tiada wang seperti rakan lain yang boleh “outing” dan membeli barang-barang yang bagus. Saya tiada buku rujukan atau mengikuti kelas tambahan berbayar. Dalam kelas, saya menyalin nota dengan bersungguh-sungguh, kemudian menyalin lagi melalui buku teks. Saya pinjam buku kawan dan salin juga. Saya belajar dan menghadapi peperiksaan dengan cara tersebut.

Oleh sebab kedudukan asrama yang jauh dari sekolah, ramai kawan yang mampu membayar yuran bas, tetapi tidak saya. Saya berjalan kaki ke sekolah yang kalau waktu hujan atau panas berbahang, tuan-tuan pasti tahu betapa sukarnya saya melalui perjalanan jauh itu. Namun saya bersyukur, Allah menjaga saya dan beberapa kerat rakan yang senasib. Tiada orang jahat kecuali seorang dua lelaki yang kurang waras dan anjing-anjing yang menyalak dengan penuh perasaan ketika kami melalui rumah-rumah golongan kaya berbangsa Cina.

Barangkali kalau mereka ingat saya pun sebab saya selalu menang kalau ada pertandingan menulis karya sastera di sekolah. Juga sebab selalu keluar di majalah sekolah iaitu majalah "Our Argosy”.

Ya, saya sudah memasuki usia emas yang tidak berapa emas. Saya bersyukur dengan segala perjalanan yang saya lalui dalam kehidupan sepanjang lima puluh tahun ini. Meskipun kehidupan saya secara luarannya tidak mewah, tidak sebagus rakan-rakan lain, masih sederhana dan kadangkala kelihatan begitu “marhaen”, saya gembira dengan kekayaan pengalaman yang saya peroleh.

Boleh sahaja kalau kita membuang semua rasa tanggungjawab dan hanya memikirkan diri kita sendiri. Sudah pasti kita boleh tinggal di rumah yang dalamannya mewah, berkereta jenama hebat, berpakaian yang bagus-bagus, melancong ke sana ke mari...boleh saja. Tetapi sudah pasti di lantai hati kita berteriak dan tidak gembira. Kata mak, hidup ini kena selalu memberi. Meskipun kita susah, tetapi akan ada sedikit ruang seperti permukaan tasik yang damai di dalam jiwa kita.

Mereka mahu membuat “re-union” secara besar-besaran sempena masuk ke gerbang lima puluh. Saya akan hadir sebagai diri saya sendiri. Saya tidak akan berpura-pura hebat. Dengan memandu Red Riding Hood yang kecil dan berjenama nasional, juga dengan pakaian biasa, saya akan datang menemui rakan-rakan saya.

Hello 50’s...saya sudah semakin tua.

Mei nanti kalau diizinkan Allah, menjadi nenek pula.

Nenek?

Maaaaakkkkkkkkkkkkkkkk! Macam mana ini boleh berlaku....wahahaha.

Nampaknya saya adalah anak mak ayah yang kedua menjadi nenek (selain kakak sulung). Sungguh tidak adil sebab abang dan kakak yang di atas saya mengetawakan saya!