Total Pageviews

Sunday, February 28, 2016

Ketika Dia Memilihmu




Berita Harian 28 Februari 2016

Hari Keluarga JPM di Naam Boutique Lodge pada 27-28 Februari 2016.

Pagi itu, seorang rakan memuatnaik khabar bahawa sajak saya ini terbit di BH.

Wednesday, February 24, 2016

Percubaan Memeluk Gajah



Kata Diane Wakoski, “life is not an easy thing to embrace. It is like trying to hug an elephant”.

Kata Ibu Bunga Matahari, “hidup ini lebih sukar daripada percubaan untuk memeluk seekor gajah, bahkan hidup ini seperti percubaan untuk memeluk sebuah gunung yang tinggi dalam bentuk muka bumi yang sukar dengan gaung-gaungnya yang curam”.

Memang Ibu Bunga Matahari tidak boleh menjadi motivator yang baik sebab memberikan kata-kata yang boleh “mematikan” orang. Hahahaha...

Dalam dua minggu ini, kuliah kami berladung air mata. Minggu lepas, kuliah tiga jam denga tajuk Puisi Melayu Moden. Minggu ini pula Prosa Melayu Moden (Cerpen Kanak-kanak dan Remaja). Pelajar-pelajar saya berjumlah dua belas orang, dengan pecahan sembilan orang daripada Unit PJK dan tiga gadis daripada Unit Pendidikan Muzik (ini adalah subjek elektif).

Saya selalu menekankan, tulislah daripada hati. Jangan malu dengan kehidupan kita sebab dengan kehidupan yang begitulah, jika kita menyedarinya, maka kita akan “membangunkan” jati diri serta keperibadian yang baik.

Minggu lepas, ada sesi bacaan sajak yang saya minta mereka cipta. Saya selalu juga menyebut, bacaan mesti diiringi dengan muzik supaya ada kesannya. Begitu juga jika kita di kelas. Murid akan lebih terkesan dengan bacaan yang ada muzik latar. Ada pelajar yang menulis tentang ibunya. Dan dia menangis. Pelajar itu lelaki. Saya ada di bahagian belakang, melihat beberapa pelajar lain mengesat air mata.

Minggu ini lagi dahsyat. Saya meminta mereka menulis sesuatu yang berada dalam lingkungan peribadi atau apa-apa sahaja yang mereka mahu tulis. Daripada dua belas, tujuh daripadanya menangis. Audien juga menangis termasuklah saya!

Apa yang saya boleh komen? OK. Ini kata saya usai pembentangan. Itu pentingnya aktiviti sebegini. Daripadanya, kita tahu latar belakang murid kita. Berbanding kita yang sudah dewasa, jika pelajar-pelajar saya ini sudah menjadi guru di sekolah, mereka akan berdepan dengan murid-murid sekitar usia sekolah rendah. Murid-murid ini kadang-kadang melampiaskan penderitaan hidup mereka dengan berkelakuan nakal. Kenapa? Mereka masih kecil, mereka tidak tahu menyalurkan rasa sedih, pedih, luka, bingung dan sebagainya itu, dan kadang-kadang penyalurannya itu menuju ke longkang kotor.

Sebagai guru, kita kadang-kadang berasa marah ketika mendepani kenakalan murid-murid. Kita tidak tahu hidup mereka di rumah bagaimana. Mangsa penceraiankah? Ibu bapa daripada jenis keturunan pendekarkah sebab siang malam asyik berkelahi, ada dalam kalangan mereka yang dibesarkan oleh balu, ada dalam kalangan mereka yang hidup susah...

Menjadi guru, kena tahu semua itu. Produk kita adalah manusia. Ramai pula dalam satu kelas. Membina manusia lebih sukar daripada membina bangunan, malah lebih sukar daripada sekadar percubaan memeluk seekor gajah gemuk atau sebuah gunung!

Demikianlah kehidupan. Saya orang susah, maka saya memahaminya. Namun ibu bapa saya tidak bergaduhan, tidak juga bercerai. Maka saya kurang menghayati penderitaan yang dialami oleh pelajar-pelajar saya yang sebegitu. Pun sebahagian daripada rasa pedih luka mereka saya tahu. Parutnya nampak cantik tetapi di bawahnya masih dipenuhi cakaran-cakaran kepedihan masa lalu.

Walau pun begitu, jangan menahan diri untuk senyum dan ketawa. Bersyukurlah sebab diberikan pengalaman yang “seindah” itu. kesemuanya sangat berguna dalam pengembaraan kita di muka bumi ini.

Tahniah kepada anak-anak saya yang dua belas orang itu. Saya seronok berada di kelas, dan mereka juga harapnya demikian. Meskipun tanpa latar belakang sastera, tetapi mereka sangat bagus.

Teruskan berimpian untuk memeluk gajah, meskipun hanya seekor bayi gajah.

Bayi gajah pun tetap seekor gajah, kan?

Sunday, February 21, 2016

TIDAK TAKUTKAH TUAN KEPADA LAUT?

Tidak takutkah tuan kepada laut?

Itu antara soalan yang dikemukakan audien kepada panel semasa majlis pelancaran karya baharu ahli sebuah persatuan penulis. Saya terlibat sebagai ahli yang turut menumpang melancarkan buku-buku saya.

Soalan tersebut menarik perhatian saya sehingga dalam penat dan kantuk perjalanan panjang ke utara usai majlis, saya masih memikirkan tentang soalan itu.

Jika soalan itu ditanyakan kepada nelayan, sudah pasti jawapannya tidak. Laut adalah “padang permainan” nelayan, sama seperti pekebun yang ke kebun atau pesawah yang turun ke sawah. Teringat bagaimana kagumnya saya melihat nelayan yang nampak selamba dan gigih mengawal bot dalam gelombang yang sangat menggila. Waktu itu saya mengucap dua kalimah syahadah tanpa berhenti sambil mata saya mengawasi si bongsu yang kelihatan teruja dengan pengalaman dilambung ombak ganas.

Sejak itu saya memahami mengapa sotong mahal harganya.

Mahu mencandat sotong sahaja nelayan bertarung nyawa. Kita hanya tahu “bertarung” di pasar sahaja.

Saya memang pengkagum laut meskipun tidak tahan dengan kepanasan matahari. Sudah pasti juga saya mengkagumi pemain-pemain laut yang tidak gentar dengan gelora. Saya melihat juga tayangan tentang anak-anak Bajau yang hebat. Mereka hidup dengan laut, menikahi laut sepanjang hidup.

Kaum nelayan dan masyarakat Bajau, tabik kepada kamu!

Monday, February 15, 2016

Pesanan Untuk Mar


Mingguan Malaysia 14/2/2016

Ramai yang inbox saya mengajukan soalan selepas tersiarnya sajak ini di akhbar.

Soalannya ialah, siapakah Mar?

Jawapan saya mudah. Mar mungkin ada di sekitar saya, mungkin ada di sekitar anda.

Kemudian ada yang menjawab, "saya kenal seorang Mar".

Ertinya apa ya? Ertinya ramai Mar yang sedang menderita di dunia ini. Mar bukan seorang.

Maknanya, ramai Mar yang sedang dilukai lelaki.

Saya rasa bahagia apabila ada seseorang yang memberitahu, "sajak itu penuh kata semangat. Sekurang-kurangnya dapat menjadi pedoman untuk seseorang".

OK.

Sunday, February 14, 2016

Akibat Jagung

Suatu pagi di masjid negeri, telinga saya asyik mencuri dengar cerita seorang perempuan yang telah pergi menunaikan haji. Telinga yang satu lagi seperti pencawang televisyen cuba menangkap apa yang dikisahkan sang penceramah. Yang ini pun bagus, yang itu pun bagus juga.

Sebenarnya fokus saya terganggu bukan sebab perempuan itu bercerita dengan cemerlang tetapi badan sakit-sakit. Saya tidak boleh menumpukan perhatian dengan apa yang berlaku di hadapan sebab rasa tidak selesa. Saya fikir sebabnya ialah saya makan jagung rebus. Saya ke sebuah pasar raya setelah pulang menjenguk anak sulung di rumahnya (sambil menghapuskan semut-semut yang berkoloni di bawah lantai barangkali). Singgah membeli ikan kucing dan teringin makan jagung. Akibatnya, saya tidak buat satu kerja pun sepanjang siang dan malam. Sakit maaaakkkkk...

Jadi, jagung sudah termasuk dalam senarai yang saya dilarang makan!

Usia yang semakin memanjat, menuntut pengorbanan juga. Banyak nikmat yang sudah ditarik perlahan-lahan. Ada yang memang tidak digalakkan makan, ada yang memang kalau makan sakit urat, kembung perut dan sebagainya. Bagus juga, tidak perlu susah payah berdiet. Tidak perlulah merungut-rungut, dulu bukankah sudah puas makan?

Saya senak perut, suami pun tumpang sakit perut juga. Asyik meniru saja kerjanya...hahahaha. Sehati sejiwalah sangat, kalau suruh berenang di Sungai Perak sebab sehati sejiwa pun saya tak mahu. Mana tahu berenang? Kalau tenggelam?

Kadang-kadang perasan tak, benda yang dilarang makan itulah yang cukup disukai. Setiap kali kita nak makan, kita akan menghalalkan tindakan kita itu, “makan je, jadi ubat”. Atau “sekali-sekala”. Masalahnya bukan sekali-sekala, tetapi berkali-kala!

Itulah yang berlaku kepada saya yang merupakan penagih tegar teh tarik. Sementara adik saya Dr Faiziah (Faiz) penagih tegar neskafe. Sudah dilarang doktor supaya jangan ambil minuman tersebut atas sebab tertentu tetapi kami degil juga. Kadang-kadang paling teruk, saya minum gelas besar, dua kali sehari pula tu!

Yang lain bolehlah pantang-pantang sedikit, tetapi yang ini pantang jumpa!

Sudah sifatnya penagih, mula-mula bertahanlah seminggu. Lepas itu, konon-konon selang sehari. Lama-kelamaan langsung tiada peraturan lagi. Alasannya, tidak minum pun sakit juga...hahaha. Habis, bagaimana tidak minum kalau mata layu dan hidup rasa tidak sempurna?

Nanti produktiviti akan menurun, bila menurun akan menyebabkan banyak kerja terbengkalai, lalu menyusahkan orang lain.

Mencari alasan memang bijak sangat.

Balik masjid, saya membeli akhbar sambil bertanyakan ke mana menghilangnya Joni. Menurut auntie pekedai, Joni bersama kawan-kawannya beramai-ramai mencari awek. Musim mengawankah sekarang? Si Baby dan anaknya Milo tidak nampak berperangai pelik pun. Atat dan Comel sudah disunat, sementara Simba baru mencapai enam bulan lebih. Jantan lambat sedikit miangnya.

Di halaman akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 14 Februari 2016, ada sajak saya Pesanan Untuk Mar .

Ada berita pelik yang saya baca banyak kali di akhbar, “Kambing dipenjara tujuh tahun sebab makan rumput jiran” di sebuah daerah di India. Jirannya seorang hakim telah memfailkan pertuduhan “kesalahan berulang” terhadap kambing tersebut dan pemiliknya. Kasihannya kambing. Tak baiklah buat begitu kepada binatang. Mana dia tahu siapa punya rumput, kambing mana pandai membaca. Kambing betul hakim tersebut.

Ada cerita-cerita artis juga yang saya langsung tidak kenal. Artis baharu gamaknya. Ceritanya buat saya rasa mahu duduk dalam tandas lama-lama. Kisah nak berapa anak lepas kahwin, apa rancangan bulan madu, kisah pinjam baju tak pulang, kisah tak ada tempat duduk dalam program apa entah...adoi, menyesal betul baca.

Ahad yang satu benda pun saya tak buat selain bermain-main dengan lima ekor anak, membiarkan mereka “membaca” akhbar, menyepahkan rumah dengan mainan. Nanti semuanya tidur, barulah saya mencuci lantai. Itu pun kalau rajin...

***Teringat encik yang jual nasi beriani, pagi ini waktu membeli teh tarik, dia menyapa macam biasa, “assalamualaikum ustazah, ada pengajian ke hari ini?” Ngeh ngeh ngeh...sudah saya terangkan dulu yang saya bukan ustazah, tapi mungkin beliau lupa. Tapi bagus juga, saya lebih berhati-hati berpakaian. Maksudnya, seluar jeans saya yang dua helai itu sudah saya simpankan dalam kotak hahahaha...takkan “ustazah” pakai seluar jeans!

Tuesday, February 9, 2016

Joni Yang Sunyi



Saya selalu nampak Joni.

Dia peramah. Selalu gembira kalau nampak ramai orang lalu lalang. Dia akan menghampiri dengan ekornya bergoyang-goyang tanda mahu bersahabat. Ada yang sukakan Joni. Tetapi ada juga yang menempik-nempik si putih itu. Kelmarin seorang mak cik India memarahi Joni sebab datang hampir sangat dengannya.

Joni anjing putih yang terluka. Saya tanyakan auntie pekedai berapa hari kedainya akan ditutup. Katanya dua hari sahaja untuk sambut Tahun Baharu Monyet. Saya tanyakan hal Joni. Siapa yang akan memberikannya makanan sepanjang dua hari itu. "Tak apa, ramai orang Melayu yang bagi dia makan..." begitu auntie itu menjawab.

Waktu mahu bergerak ke kampung, bersama anak dan anak saudara, saya teringat Joni. Hari Isnin dan Selasa, kedai ditutup. Joni akan kesunyian. Tiada orang yang lalu lalang. Entah ada atau tidak makanan untuk anjing kurus yang luka tetapi periang itu.

"Belok ke kedai" kata saya kepada anak yang memandu.

Sampai di kedai, kami nampak Joni sedang duduk sendirian seakan termenung jauh. Memang sunyi, tiada sesiapa di situ. Kasihan Joni. Tiada auntie India yang marah sayang, tiada pak cik pembantu kedai yang bersorak kepadanya. Saya turun meletakkan makanan. Dia datang dekat menghidu tetapi kembali ke tempat duduknya yang asal. Mukanya sedih betul. Mungkin juga lukanya menjadikan dia tidak sihat.

Sedihnya menjadi Joni. Si putih yang kesunyian dan terluka. Hidupnya sendiri. Orang bercuti dan Joni kesedihan.

Waktu pulang ke bandar tempat saya menumpang duduk, saya tidak nampak kelibat Joni.

"Joni di mana?" tanya saya.

Auntie pekedai itu merenung saya lama. "Joni? Siapa itu?"

Oh Oh...saya yang memberikan namanya Joni. Nama klasik. Tiada siapa pun yang tahu namanya Joni.

Joni ke belakang sebentar. Sebentar kemudian dia datang dengan ekornya yang terkodek-kodek. Joni sudah kembali riang, meskipun lukanya masih belum sembuh.

Orang sudah balik bercuti. Joni sudah ada kawan semula.

Saturday, February 6, 2016

Hujan Datang Lagi

Hujan di luar. Rasanya lebat sebab bunyi bising airnya terjun ke atas gulungan zink di belakang rumah begitu jelas kedengaran. Sedikit memeranjatkan lima ekor bulus yang sedang lena. Berkejar mereka ke belakang, dan kemudiannya menyedari bahawa pintu belakang sudah ditutup.

Dua hari saya ke sekolah menyelia guru pelatih. Barulah saya tahu rupa-rupanya ada jalan yang berselirat di kawasan berdekatan, dengan taman-taman yang dihuni golongan sederhana, setinggan dan orang kaya. Hari pertama siangnya panas. Malam hujan. Hari pertama itu saya begitu penat dan hampir tiada mood ketika hadir mesyuarat pada sebelah petangnya.

Menurut berita, musim panas yang dahsyat berterusan sehingga Mac. Tetapi sekarang rajin hujan. Sudah tentu saya suka. Hujan boleh mendinginkan meskipun membataskan pergerakan. Esok bermula cuti. Cuti Tahun Baharu Cina, tahun monyet. Cuti seminggu. Di meja saya membaca doa dan memulakan proses menulis buku akademik. Namun seperti biasa, saya berhenti tatkala memasuki helaian kedua. Tangan kanan saya kesakitan. Nampaknya saya kena berehat dahulu dan esok baru memulakan proses penulisan semula.

Hujan-hujan begini, aktiviti yang paling bagus ialah tidur. Tetapi tidur pada usia sekarang, lenanya tidak lena dalam hakikat lena yang selena-lenanya. Minda diganggu dengan pelbagai persoalan yang mengacau-ngacau juga nikmat lena.

Bagus datangnya hujan ketika siang panas berbahang. Ada rasa nyaman dan sayu ketika terbangun subuh dan terdengar deru hujan yang turun. Masa yang bagus untuk berdoa. Demikian kita selalu diminta berdoa, merayu kepada Yang Maha Memberi.

Dunia sudah kacau. Kita tidak mampu meneka musim-musim yang akan datang.

Dunia politik pun begitu. Musimnya tidak menentu. Seperti kawasan angin lintang di lebuh raya. Bila-bila masa saja kalau nasib kita kurang baik, kereta boleh berpusing tiga ratus enam puluh darjah. Apabila kita tidak bijak, apabila kita mahu mengambil fungsi pemadam, apabila kita mahu membisukan orang, apabila kita hanya memikirkan isi perut kita sendiri, apabila kita lupa bahawa Allah sedang melihat...

Sebenarnya kita sendiri secara peribadi memang begitu. Jangan ghairah mengata orang sahaja. Kena suluh diri kita juga. Kita sudah baguskah sampai sanggup menelanjangkan orang?

Entahlah. Musim hujan ini sangat cantik. Sangat ajaib. Saya sukakannya meskipun musim hujan sangat mendukacitakan golongan penoreh getah dan penjual air batu.

Tiba-tiba saya terkenang sesuatu. Lintasan seorang lelaki yang termenung melihat hujan di jendela. Wajahnya keruh. Dan kemudian wajah seorang wanita yang sedang menyuap anaknya dengan bubur nasi dan kopi o cair kurang gula.

Mak dan allahyarham ayah, penoreh dan pesawah yang nampak dukacita ketika musim hujan yang datangnya tidak berhenti. Perut anak-anak yang perlu diisi, keperluan sekolah yang wajib dibeli...

Mak dan ayah. Terima kasih. Terima kasih. Kalian dipinjamkan Allah buat kami. Kami sangat menghargai segala pengorbanan. Mudah-mudahan Allah mengampuni segala dosa, menjadikan kesabaran kalian mendidik kami sebagai pahala yang berpanjangan selama-lamanya.