Total Pageviews

Wednesday, February 24, 2016

Percubaan Memeluk Gajah



Kata Diane Wakoski, “life is not an easy thing to embrace. It is like trying to hug an elephant”.

Kata Ibu Bunga Matahari, “hidup ini lebih sukar daripada percubaan untuk memeluk seekor gajah, bahkan hidup ini seperti percubaan untuk memeluk sebuah gunung yang tinggi dalam bentuk muka bumi yang sukar dengan gaung-gaungnya yang curam”.

Memang Ibu Bunga Matahari tidak boleh menjadi motivator yang baik sebab memberikan kata-kata yang boleh “mematikan” orang. Hahahaha...

Dalam dua minggu ini, kuliah kami berladung air mata. Minggu lepas, kuliah tiga jam denga tajuk Puisi Melayu Moden. Minggu ini pula Prosa Melayu Moden (Cerpen Kanak-kanak dan Remaja). Pelajar-pelajar saya berjumlah dua belas orang, dengan pecahan sembilan orang daripada Unit PJK dan tiga gadis daripada Unit Pendidikan Muzik (ini adalah subjek elektif).

Saya selalu menekankan, tulislah daripada hati. Jangan malu dengan kehidupan kita sebab dengan kehidupan yang begitulah, jika kita menyedarinya, maka kita akan “membangunkan” jati diri serta keperibadian yang baik.

Minggu lepas, ada sesi bacaan sajak yang saya minta mereka cipta. Saya selalu juga menyebut, bacaan mesti diiringi dengan muzik supaya ada kesannya. Begitu juga jika kita di kelas. Murid akan lebih terkesan dengan bacaan yang ada muzik latar. Ada pelajar yang menulis tentang ibunya. Dan dia menangis. Pelajar itu lelaki. Saya ada di bahagian belakang, melihat beberapa pelajar lain mengesat air mata.

Minggu ini lagi dahsyat. Saya meminta mereka menulis sesuatu yang berada dalam lingkungan peribadi atau apa-apa sahaja yang mereka mahu tulis. Daripada dua belas, tujuh daripadanya menangis. Audien juga menangis termasuklah saya!

Apa yang saya boleh komen? OK. Ini kata saya usai pembentangan. Itu pentingnya aktiviti sebegini. Daripadanya, kita tahu latar belakang murid kita. Berbanding kita yang sudah dewasa, jika pelajar-pelajar saya ini sudah menjadi guru di sekolah, mereka akan berdepan dengan murid-murid sekitar usia sekolah rendah. Murid-murid ini kadang-kadang melampiaskan penderitaan hidup mereka dengan berkelakuan nakal. Kenapa? Mereka masih kecil, mereka tidak tahu menyalurkan rasa sedih, pedih, luka, bingung dan sebagainya itu, dan kadang-kadang penyalurannya itu menuju ke longkang kotor.

Sebagai guru, kita kadang-kadang berasa marah ketika mendepani kenakalan murid-murid. Kita tidak tahu hidup mereka di rumah bagaimana. Mangsa penceraiankah? Ibu bapa daripada jenis keturunan pendekarkah sebab siang malam asyik berkelahi, ada dalam kalangan mereka yang dibesarkan oleh balu, ada dalam kalangan mereka yang hidup susah...

Menjadi guru, kena tahu semua itu. Produk kita adalah manusia. Ramai pula dalam satu kelas. Membina manusia lebih sukar daripada membina bangunan, malah lebih sukar daripada sekadar percubaan memeluk seekor gajah gemuk atau sebuah gunung!

Demikianlah kehidupan. Saya orang susah, maka saya memahaminya. Namun ibu bapa saya tidak bergaduhan, tidak juga bercerai. Maka saya kurang menghayati penderitaan yang dialami oleh pelajar-pelajar saya yang sebegitu. Pun sebahagian daripada rasa pedih luka mereka saya tahu. Parutnya nampak cantik tetapi di bawahnya masih dipenuhi cakaran-cakaran kepedihan masa lalu.

Walau pun begitu, jangan menahan diri untuk senyum dan ketawa. Bersyukurlah sebab diberikan pengalaman yang “seindah” itu. kesemuanya sangat berguna dalam pengembaraan kita di muka bumi ini.

Tahniah kepada anak-anak saya yang dua belas orang itu. Saya seronok berada di kelas, dan mereka juga harapnya demikian. Meskipun tanpa latar belakang sastera, tetapi mereka sangat bagus.

Teruskan berimpian untuk memeluk gajah, meskipun hanya seekor bayi gajah.

Bayi gajah pun tetap seekor gajah, kan?