Total Pageviews

Saturday, February 6, 2016

Hujan Datang Lagi

Hujan di luar. Rasanya lebat sebab bunyi bising airnya terjun ke atas gulungan zink di belakang rumah begitu jelas kedengaran. Sedikit memeranjatkan lima ekor bulus yang sedang lena. Berkejar mereka ke belakang, dan kemudiannya menyedari bahawa pintu belakang sudah ditutup.

Dua hari saya ke sekolah menyelia guru pelatih. Barulah saya tahu rupa-rupanya ada jalan yang berselirat di kawasan berdekatan, dengan taman-taman yang dihuni golongan sederhana, setinggan dan orang kaya. Hari pertama siangnya panas. Malam hujan. Hari pertama itu saya begitu penat dan hampir tiada mood ketika hadir mesyuarat pada sebelah petangnya.

Menurut berita, musim panas yang dahsyat berterusan sehingga Mac. Tetapi sekarang rajin hujan. Sudah tentu saya suka. Hujan boleh mendinginkan meskipun membataskan pergerakan. Esok bermula cuti. Cuti Tahun Baharu Cina, tahun monyet. Cuti seminggu. Di meja saya membaca doa dan memulakan proses menulis buku akademik. Namun seperti biasa, saya berhenti tatkala memasuki helaian kedua. Tangan kanan saya kesakitan. Nampaknya saya kena berehat dahulu dan esok baru memulakan proses penulisan semula.

Hujan-hujan begini, aktiviti yang paling bagus ialah tidur. Tetapi tidur pada usia sekarang, lenanya tidak lena dalam hakikat lena yang selena-lenanya. Minda diganggu dengan pelbagai persoalan yang mengacau-ngacau juga nikmat lena.

Bagus datangnya hujan ketika siang panas berbahang. Ada rasa nyaman dan sayu ketika terbangun subuh dan terdengar deru hujan yang turun. Masa yang bagus untuk berdoa. Demikian kita selalu diminta berdoa, merayu kepada Yang Maha Memberi.

Dunia sudah kacau. Kita tidak mampu meneka musim-musim yang akan datang.

Dunia politik pun begitu. Musimnya tidak menentu. Seperti kawasan angin lintang di lebuh raya. Bila-bila masa saja kalau nasib kita kurang baik, kereta boleh berpusing tiga ratus enam puluh darjah. Apabila kita tidak bijak, apabila kita mahu mengambil fungsi pemadam, apabila kita mahu membisukan orang, apabila kita hanya memikirkan isi perut kita sendiri, apabila kita lupa bahawa Allah sedang melihat...

Sebenarnya kita sendiri secara peribadi memang begitu. Jangan ghairah mengata orang sahaja. Kena suluh diri kita juga. Kita sudah baguskah sampai sanggup menelanjangkan orang?

Entahlah. Musim hujan ini sangat cantik. Sangat ajaib. Saya sukakannya meskipun musim hujan sangat mendukacitakan golongan penoreh getah dan penjual air batu.

Tiba-tiba saya terkenang sesuatu. Lintasan seorang lelaki yang termenung melihat hujan di jendela. Wajahnya keruh. Dan kemudian wajah seorang wanita yang sedang menyuap anaknya dengan bubur nasi dan kopi o cair kurang gula.

Mak dan allahyarham ayah, penoreh dan pesawah yang nampak dukacita ketika musim hujan yang datangnya tidak berhenti. Perut anak-anak yang perlu diisi, keperluan sekolah yang wajib dibeli...

Mak dan ayah. Terima kasih. Terima kasih. Kalian dipinjamkan Allah buat kami. Kami sangat menghargai segala pengorbanan. Mudah-mudahan Allah mengampuni segala dosa, menjadikan kesabaran kalian mendidik kami sebagai pahala yang berpanjangan selama-lamanya.