Total Pageviews

Thursday, December 10, 2015

SEKOLAH HIDUP

Saya mengajak abang sulung mencari Pak Said di Kampung Bukit Sapi. Sebenarnya saya tidak tahu kedudukan sebenar kampung tersebut. Rupa-rupanya kampung itu menganjur ke dalam. Jalannya bertar tetapi kecil. Kiri kanan masih hijau sama ada dihiasi belukar atau kebun getah. Ketika membelok ke kanan, tiba-tiba abang minta saya berhenti.

“Itu kawan abang...” katanya menunjuk ke belakang ke arah lelaki pertengahan baya yang bermotosikal. Saya memberhentikan kereta dan abang keluar bertemu dengan rakannya. Bertanyakan arah jalan ke rumah Pak Said. Kawan abang meminta kami mengekorinya.

Wah, jalannya berliku. Kena melalui permatang sawah yang selebar kereta. Ada sekolah rendah juga. Saya suka pemandangan ini, tetapi kemudian geli hati sendiri cuba mengelak-elak tahi lembu yang bertaburan di jalanan. Aduh, saya terkenang Kuala Pilah, khususnya jalan ke Seri Menanti. Itu sajalah kecacatannya. Tahi lembu!

Saya fikir kalau diminta pergi lagi sekali, memang sukar untuk saya mengecam. Maklumlah mata pelajaran paling saya lemah ialah Ilmu Alam. Sekarang ini sekali pun kereta saya ada GPS, saya tetap dalam kesesatan yang nyata.

Pak Said tidaklah tua sangat. Abang meminta dia ke rumah dan memberikan duit minyak. Mak agak sukar untuk dibawa ke sana memandangkan rumah beliau agak berbukit. Dia pun datang ke rumah, membetulkan kedudukan tulang mak di bahu dan belakang. Menjerit mak kesakitan walaupun hanya sekejap. Tetapi Pak Said ini mungkin telah diajar oleh gurunya untuk bermain dengan psikologi pesakit. Dia asyik berkata, “mari saya tengok. Oh...sikit saja ni. Tak ada apa-apa...” dan dalam tak ada apa-apa itu, dia membetulkan kedudukan tulang yang “lari”.

Mak OK selepas itu. Sepatutnya lutut mak juga perlu “dibaiki” tetapi mak serik sedikit. Abang sulung saya juga membetulkan tulang pinggangnya.

Esoknya, mak bertatih di jalan hadapan rumah, di samping mencari cahaya matahari. Dengan tongkat yang baharu dibeli kakak, mak bergerak perlahan-lahan. Saya mengawasinya dengan cermat. Mak duduk di sofa, masih mencari cahaya. Sambil bercerita dan berteka-teki dengan anak saudara saya, si Irfan yang debab.

Baiklah. Matahari saya telah bangkit perlahan-lahan, menghilangkan gelisah penghuni siang. Meskipun cahayanya masih malap, tetapi semangat matahari telah menyerap ke dalam diri. Ya, doa dan ikhtiar yang seperti lebuh raya panjang. Tidak putus-putus. Dicampur dengan kekuatan semangat mak yang memang kita maklumi sejak dahulu. Apa lagi selepas kakak saya terpaksa kembali bekerja (dan pulang usai tugasnya untuk menemani mak sebelah malam). Dan kemudian saya beritahu mak bahawa saya perlu kembali bekerja kurang lebih dua minggu lagi. Mak berusaha keras untuk berdikari. Hinggakan saya lihat mak bertatih menuju ke tandas di bilik air. Melihatkan itu saya khuatir sendiri.

Saya masih berpendapat bahawa anak perempuan lebih sabar menangani sensitiviti ibu bapa yang terlantar. Mesti selalu meyakinkan dengan nada suara yang lembut, “tidak mengapa mak. Buang air sahaja di situ, nanti kami buang”. Tidak boleh bersuara kuat dengan alasan telinga orang tua sudah tidak mendengar. Jangan selalu menyebut tentang hospital sedangkan kita tahu betapa fobianya orang tua dengan tempat tersebut. Orang tua sangat sensitif. Mereka cepat berasa bahawa kita sudah tidak larat menjaga mereka. Mesti juga melihat ada semut atau serangga kecil berdekatan tempat tidur. Mesti memastikan alas kering, tidak berbau hancing. Makanan yang dihidang mesti bersih dan bertutup kemas. Mesti mengingatkan mereka berkenaan waktu solat. Mengingatkan bahawa ujian Allah itu demi memastikan mereka layak untuk tinggal di syurga. Mesti sabar jika tiba-tiba mereka mahukan itu dan ini. Jangan sampai mereka terdengar kita menyebut perkataan penat.

Saya banyak belajar daripada kakak. Dan kakak mempelajarinya dengan melihat bagaimana mak menjaga dan menguruskan allahyarham ayah ketika ayah terlantar sakit bertahun-tahun. Kata kakak, mak akan bangun sebelum subuh, perkara pertama ialah memastikan keselesaan ayah. Selepas itu barulah menguruskan hal rumah, hal anak, untuk turun ke sawah atau kebun getah. Malam pula mak tidak tidur lena. Siap siaga jika tiba-tiba ayah perlukan sesuatu.

Kita tidak mempelajari semua itu di sekolah atau universiti. Pengalaman, kesusahan dan pemerhatian adalah sekolah kehidupan terbaik untuk kita.

Mak sudah beransur baik meskipun masih perlu diawasi.

Alhamdulillah. Terima kasih atas seluruh doa.