Total Pageviews

Wednesday, May 27, 2015

Ingatan Terhadap Hujan

Hujan petang Rabu. Sepatutnya selepas tamat kursus dalaman tadi, saya dan seorang rakan perlu ke ibu kota untuk berbengkel mengenai drama. Tetapi hanya Allah yang tahu mengapa pada saat akhir itu semuanya terbatal. Mungkin doa si kucing yang keberatan mahu ditinggalkan tuan.

Jam sudah melepasi lima setengah petang. Kami terkurung di jabatan yang sudah berpindah aras. Kamar yang lebih luas, lebih selesa. Hujan melebat di luar. Ada guruh juga yang mengaum di langit. Dr Faiziah meratapi seekor ikan emasnya yang mati. Tinggal seekor yang masih hidup. Waktu saya tinggalkan dia dengan pesan, “Datin...nanti boleh tolong hantar Faiz ke surau?”, dia masih meratapi kematian ikannya itu. Tidak boleh menunggu ratapannya berakhir sebab saya teringat kucing-kucing saya yang nanti tempias dan kehujanan.

Waktu pulang dalam hujan, saya ternampak sesuatu. Seorang ibu muda sedang berpayung, menolak kereta sorong bayinya yang bertutup litup dengan baju hujan. Saya memperlahankan kereta, ada sesuatu juga yang tiba-tiba meledak di ingatan.

Ingatan-ingatan itu. Hujan. Payung. Kereta sorong. Bayi.

Saya berhenti lama di sisi jalan. Merayu minda supaya jangan mengenang. Padamkan cepat. Padamkan cepat!

Tetapi memori itu kekal di situ, malahan berasak-asak mahu menjenguk keluar.

Seorang ibu muda yang berpayung. Itu lebih baik daripada perempuan kurus bertubuh kecil yang basah kuyup meredah hujan. Membalut kereta sorong bayinya dengan baju hujan supaya bayinya kekal kering. Kesejukan bukan sesuatu yang menakutkan. Guruh yang berteriak di langit juga bukan lagi satu ketakutan. Bayi itu bukan seorang, tapi berdua. Berhimpitan dalam kereta sorong yang sudah usang.

Waktu keluar mahu membuka pintu pagar, ada air mata yang bercampur dengan hujan yang masih melebat turunnya dari langit!