Total Pageviews

Saturday, April 11, 2015

Sibuk...dan Atat



Yang setia ikut tulisan IBM pasti sudah tahu. Kalau lama tidak menulis, ertinya cuma dua.

Satu, sibuk dengan urusan kerja, urusan anak, urusan dunia. Dan dua, kurang sihat.

Kali ini memang kepenatan tahap maksima. Rasanya seperti dua puluh empat jam itu kurang cukup. Seperti pengamal ilmu sakti juga. Sekejap muncul di sana, sekejap muncul di sini.

Ada sekali itu, menghabiskan kuliah pagi Sabtu dengan tenang. Kemudian dengan lekas menuju ke kampus sebab anak sakit kuat. Di pertengahan jalan, tayar kereta meletup. Aduh...dengan kepanasan matahari dan wang yang tiada di dalam dompet, Allah melorongkan sahabat sejabatan yang kebetulan berada di Kajang untuk turun membantu.

Allah sahajalah yang membalas segala kebaikan.

Beberapa hari saya hanya tiba di laman rumah sekitar jam satu pagi. Dikejutkan si Comel, Baby dan kadangkala Si Atat jam empat atau lima pagi. Makan minum entah ke mana. Ada orang berkata, “kami pun punya anak dan kadangkala anak kami sakit kuat. Tetapi kami tetap makan dan tidur lena...”

Dan saya pun punya jawaban juga. “Betul. Kita serupa tetapi barangkali kurang sama. Belasan tahun kami hanya bertiga. Hanya bertiga dan tiada siapa-siapa. Saya tidak boleh makan dengan lahap dan tidur lena seperti puan-puan pada saat anak saya sedang sakit. Seperti puan-puan juga, kalau boleh mahu sakit itu berpindah badan. Biar kita yang menanggungnya. Atau mahu saja dikecilkan anak itu lalu dimasukkan kembali ke dalam kantung rahim supaya dia boleh berehat dengan aman...”

Peranan yang sama barangkali akan sedikit lain di pentas yang berbeza.

Minggu-minggu ini adalah jangkamasa yang penuh dengan perkataan bernama sibuk. Sehingga Mei, waktu itu Allah akan merehatkan saya untuk beberapa hari ketika akan masuk semula ke OT dengan pembedahan minor.

Ini waktu-waktu kritikal. Kerja kursus pelajar mesti siap diperiksa. Laporan kajian tindakan mesti juga disemak dengan teliti. Ada pembentangan tiga hari sehingga sesi malam. Saya kena siapkan semua tugas supaya rakan-rakan pensyarah tidak terbeban.

Tetapi ada sesuatu yang menggembirakan. Saya akan kekal menjadi tuan baharu Atat.

Pemiliknya, Hawana...membuatkan kelopak bunga matahari saya berkembang. Jika sebelum ini saya menangis ketika Atat datang dan mengurut saya, atau melentokkan kepalanya di atas dada seolah-olah tahu bahawa saya akan memulangkannya...kali ini saya menangis sebab Atat tidak akan meninggalkan rumah kecil ini. Hawana menghadiahkan si jantan Parsi itu kepada saya.

Tiga ekor ini benar-benar menjadi teman berbual dan bergaduh yang baik. Sementara yang lain sentiasa menunggu di jalanan, di pasar, di tepi longkang...yang terbuang itu jika kita hulurkan makanan, pahalanya akan berganda-ganda.

Saya bukan orang berduit. Ada waktunya dompet menjadi sangat nipis. Tabungan juga nihil. Tetapi saya ada kudrat seorang manusia, berbanding kucing-kucing kecil dan sakit yang dibuang sesuka hati. Kasihanilah mereka.