Total Pageviews

Thursday, April 30, 2015

LAUT YANG TIADA OMBAK

Dewan Sastera Mei 2015.



Sebenarnya beberapa hari lalu, saya dikhabarkan oleh seorang penulis yang ada sajak saya terbit di DS. Esoknya seorang lagi penulis yang menjadi Karyawan DS memaklumkan hal yang sama.Mana mahu dicari majalah DS di ibu negeri ini. Jadi, saya mengirim kepada kawan yang ke Pesta Buku.

Ooooo...sajak ini rupa-rupanya.

Bukan kisah laut atau ombak.

Tapi kisah kita. Kehidupan yang menyedihkan. Berulang-ulang membentuk kitaran. Metamorfosis.

Tapi minggu ini ada khabar ceria. Isnin lalu ada panggilan memberitahu novel saya sudah selesai dicetak.

Cantiiiiiiiikkkkk!!!

Sahabat Baharu Kami, Sooren

Esok bermula cuti yang agak panjang. Empat hari. Cuti Hari Pekerja (dulu disebut Hari Buruh) jatuh pada Jumaat dan Wesak hari Ahad dibawa ke Isnin.

Si bongsu balik ke rumah. Saya masih di pejabat waktu dia memberitahu sudah tiba. Sementara si sulung asyik mengirim mesej. Saya perasan sesuatu. Sejak dia menjadi isteri, dia semakin kerap menghubungi. Sebenarnya saya sedang menahan hati. Mencuba sedaya upaya untuk tidak melakukan rutin melawat dan menemaninya untuk segala urusan.

Biar. Biar. Hati saya memujuk. Dia mesti belajar melakukan segalanya tanpa ibu seperti selalu. Saya tahu dia mampu. Hati saya berasa sangat belas. Dia tidak biasa susah meskipun bukan mewah. Tapi saya juga tahu hatinya yang cekal dan keras berlawanan dengan luarannya yang nampak lembut dan sedikit lurus.

Mudah-mudahan mereka tenang dan bahagia. Dibukakan Allah pintu rezeki dari segenap arah.

Meskipun cuti, esok pagi saya kena ke Bais (Balai Islam). Sejak seminggu ini, ada seekor kucing berwarna oren akan datang dan duduk di sisi sejadah ketika saya dan Dr Faiz berada di surau pada waktu pagi selepas kami mengetip kehadiran sekitar jam 7.40. Saya memberikan makanan kering kucing yang memang sentiasa ada dalam kereta. Hari ini saya bawakan mangkuk untuk meletakkan makanan.

Dr Faiz memanggilnya Sooren. Soooooo...oren! Sebab warnanya oren. Ekornya pendek. Masih gadis, kata Dr Faiz...hahaha.

Sooren hanya wujud pada sebelah pagi ketika orang berdhuha. Dia akan datang bermanja-manja, bersenam dan duduk menunggu dengan sabar meskipun kelaparan. Sebelah tengah hari waktu Zuhur atau petang waktu Asar, dia tidak ada. Dan esok cuti. Tentu Sooren mencari dua orang mak cik ini pagi-pagi! Meskipun saya tinggalkan balang makanan dan mangkuk, mana mungkin Sooren dapat mengambil makanannya sendiri.

Demi Sooren, mak cik ini akan datang pagi-pagi ke Bais saat semua orang sedang seronok berpesta di Pesta Buku atau menikmati kopi panas dan lempeng!

Lagipun minggu hadapan, mak cik yang seorang lagi bertugas di luar. Tinggallah saya yang akan melayan Sooren sepanjang minggu.

Saya, Dr Faiz dan Sooren!

Kami sahabat yang baik, meskipun Sooren hanya muncul sekejap mengiau-ngiau kelaparan.

Thursday, April 23, 2015

Sibuk Lagi

Cuaca sangat terik. Panasnya lain macam. Saya jadi takut kepada matahari yang tidak mesra lagi seperti dahulu.

Kebanyakan waktu saya menghindari matahari. Bukan sebab takut kehitaman. Tetapi bahangnya menyebabkan saya kepanasan luar biasa. Bahangnya memantak ke dalam kepala, ke rongga dada dan mengakibatkan pandangan menjadi berpinar-pinar. Beberapa kali saya mengharapkan imam tidak rukuk terlalu lama sebab sudah berasa mahu rebah.

Mahu beribadah pun masih berkira-kira! Aduh!

Saya takut dengan keberangan matahari, seperti kiamat terlalu hampir. Pil kecil yang saya ambil setiap hari dengan satu perkataan mengandungi perintah (WAJIB) itu pun sudah menyebabkan seluruh badan kepanasan, ditambah lagi dengan garangnya matahari.

Musim kering ini banyak waktu saya hanya berkurung sahaja di kamar pejabat atau berada di Balai Islam, jika tiada kuliah. Kerja sangat banyak dan seperti lari berganti-ganti. Selesai satu, satu yang lain atau dua pula menunggu. Begitulah, selagi bernama pekerja yang menggalas tanggungjawab.

Pelajar-pelajar saya lulus pembentangan penyelidikan mereka. Sekarang ialah masa untuk membuat pembetulan. Waktu itu juga saya menjadi ibu mertua orang (takkan pula jadi ibu mertua kambing ya? Hahaha...) Tidak banyak yang boleh saya lakukan sebab majlis si sulung berlangsung di kediaman ayahnya di Selangor. Tiada acara persandingan meskipun pelaminnya ada. Maka, mereka bergambar-gambar usai rombongan si lelaki pulang ke ibu kota, sedangkan saya terbaring di kamar akibat cuaca panas dan bergegas-gegas membantu melengkapkan dan mengingatkan ayahnya apa-apa yang kurang dan tiada!

Acara keluarga itu menemukan saya kembali dengan anak-anak saudara yang sudah dewasa. Masing-masing datang menyalami saya langsung bertanya, “makyang ingat atau tidak siapa saya?” Aduhai, masa dan keadaan begitu jauh dan lama memisahkan. Saya jenuh mengingat. Kemudian saya berkata, “beginilah. Jika ada foto sewaktu masih kecil, kirimkan kepada makyang sekarang. Di minda makyang tiada kamu yang sebesar dan setinggi ini. Makyang mahu panggil semula ingatan itu...”

Satu perasaan yang aneh ketika mereka memanggil anak-anak mereka (cucu saudara) untuk menyalami “nenek”...waduh!!! Di Perak, saya hanya menjadi “opah” kepada kurang lebih enam orang cucu saudara. Di sini, bilangannya sangat ramai hahaha...

Meninggalkan si sulung dengan seribu pesanan, saya kononnya begitu gembira dan membuat lawak bodoh. Tiada siapa pun yang tahu termasuk si bongsu yang memandu dan anak saudara di sebelahnya; bahawa ada seorang ibu di kerusi belakang kereta yang sedang menyapu tumpahan air mata di pipi. Makin melimpah-limpah ketika menerima puluhan gambar anak-anak sewaktu mereka masih kecil melalui whassap. Si sulung pula mengirim kata “memang akak masih kecil dan masih memerlukan ibu (yang pendek)”...

Jangan keliru dengan ayat yang berada dalam kurungan. Mereka suka mengaitkan saya dengan apa sahaja yang “pendek” sebab ketinggian saya hanya 152 sentimeter.

Seperti kata seorang rakan, saya kena belajar untuk melepaskan.

Waktu kecil ditimang ibu, sudah dewasa ditimang gelombang.

Sebuah pelayaran baru bermula di laut hidup.

Sarungkan pakaian sabar dan kalian akan lebih memahami arah angin dan perubahan musim.

Tugas ibu membesar dan mendidik. Tamatlah sudah fasa pertama.

Namun tugas ibu belum selesai. Selamanya tidak akan selesai, sehinggalah ibu dipanggil pulang ke sisi-Nya.

Mudah-mudahan dia ingat pesanan saya sepanjang jalan berkereta ke kediaman ayahnya...”kakak, ingat selalu. Jangan berkahwin untuk bercerai. Terima kekurangan, syukuri kelebihan, pakailah selalu pakaian bernama sabar...”

Saturday, April 11, 2015

Sibuk...dan Atat



Yang setia ikut tulisan IBM pasti sudah tahu. Kalau lama tidak menulis, ertinya cuma dua.

Satu, sibuk dengan urusan kerja, urusan anak, urusan dunia. Dan dua, kurang sihat.

Kali ini memang kepenatan tahap maksima. Rasanya seperti dua puluh empat jam itu kurang cukup. Seperti pengamal ilmu sakti juga. Sekejap muncul di sana, sekejap muncul di sini.

Ada sekali itu, menghabiskan kuliah pagi Sabtu dengan tenang. Kemudian dengan lekas menuju ke kampus sebab anak sakit kuat. Di pertengahan jalan, tayar kereta meletup. Aduh...dengan kepanasan matahari dan wang yang tiada di dalam dompet, Allah melorongkan sahabat sejabatan yang kebetulan berada di Kajang untuk turun membantu.

Allah sahajalah yang membalas segala kebaikan.

Beberapa hari saya hanya tiba di laman rumah sekitar jam satu pagi. Dikejutkan si Comel, Baby dan kadangkala Si Atat jam empat atau lima pagi. Makan minum entah ke mana. Ada orang berkata, “kami pun punya anak dan kadangkala anak kami sakit kuat. Tetapi kami tetap makan dan tidur lena...”

Dan saya pun punya jawaban juga. “Betul. Kita serupa tetapi barangkali kurang sama. Belasan tahun kami hanya bertiga. Hanya bertiga dan tiada siapa-siapa. Saya tidak boleh makan dengan lahap dan tidur lena seperti puan-puan pada saat anak saya sedang sakit. Seperti puan-puan juga, kalau boleh mahu sakit itu berpindah badan. Biar kita yang menanggungnya. Atau mahu saja dikecilkan anak itu lalu dimasukkan kembali ke dalam kantung rahim supaya dia boleh berehat dengan aman...”

Peranan yang sama barangkali akan sedikit lain di pentas yang berbeza.

Minggu-minggu ini adalah jangkamasa yang penuh dengan perkataan bernama sibuk. Sehingga Mei, waktu itu Allah akan merehatkan saya untuk beberapa hari ketika akan masuk semula ke OT dengan pembedahan minor.

Ini waktu-waktu kritikal. Kerja kursus pelajar mesti siap diperiksa. Laporan kajian tindakan mesti juga disemak dengan teliti. Ada pembentangan tiga hari sehingga sesi malam. Saya kena siapkan semua tugas supaya rakan-rakan pensyarah tidak terbeban.

Tetapi ada sesuatu yang menggembirakan. Saya akan kekal menjadi tuan baharu Atat.

Pemiliknya, Hawana...membuatkan kelopak bunga matahari saya berkembang. Jika sebelum ini saya menangis ketika Atat datang dan mengurut saya, atau melentokkan kepalanya di atas dada seolah-olah tahu bahawa saya akan memulangkannya...kali ini saya menangis sebab Atat tidak akan meninggalkan rumah kecil ini. Hawana menghadiahkan si jantan Parsi itu kepada saya.

Tiga ekor ini benar-benar menjadi teman berbual dan bergaduh yang baik. Sementara yang lain sentiasa menunggu di jalanan, di pasar, di tepi longkang...yang terbuang itu jika kita hulurkan makanan, pahalanya akan berganda-ganda.

Saya bukan orang berduit. Ada waktunya dompet menjadi sangat nipis. Tabungan juga nihil. Tetapi saya ada kudrat seorang manusia, berbanding kucing-kucing kecil dan sakit yang dibuang sesuka hati. Kasihanilah mereka.