Total Pageviews

Thursday, April 30, 2015

Sahabat Baharu Kami, Sooren

Esok bermula cuti yang agak panjang. Empat hari. Cuti Hari Pekerja (dulu disebut Hari Buruh) jatuh pada Jumaat dan Wesak hari Ahad dibawa ke Isnin.

Si bongsu balik ke rumah. Saya masih di pejabat waktu dia memberitahu sudah tiba. Sementara si sulung asyik mengirim mesej. Saya perasan sesuatu. Sejak dia menjadi isteri, dia semakin kerap menghubungi. Sebenarnya saya sedang menahan hati. Mencuba sedaya upaya untuk tidak melakukan rutin melawat dan menemaninya untuk segala urusan.

Biar. Biar. Hati saya memujuk. Dia mesti belajar melakukan segalanya tanpa ibu seperti selalu. Saya tahu dia mampu. Hati saya berasa sangat belas. Dia tidak biasa susah meskipun bukan mewah. Tapi saya juga tahu hatinya yang cekal dan keras berlawanan dengan luarannya yang nampak lembut dan sedikit lurus.

Mudah-mudahan mereka tenang dan bahagia. Dibukakan Allah pintu rezeki dari segenap arah.

Meskipun cuti, esok pagi saya kena ke Bais (Balai Islam). Sejak seminggu ini, ada seekor kucing berwarna oren akan datang dan duduk di sisi sejadah ketika saya dan Dr Faiz berada di surau pada waktu pagi selepas kami mengetip kehadiran sekitar jam 7.40. Saya memberikan makanan kering kucing yang memang sentiasa ada dalam kereta. Hari ini saya bawakan mangkuk untuk meletakkan makanan.

Dr Faiz memanggilnya Sooren. Soooooo...oren! Sebab warnanya oren. Ekornya pendek. Masih gadis, kata Dr Faiz...hahaha.

Sooren hanya wujud pada sebelah pagi ketika orang berdhuha. Dia akan datang bermanja-manja, bersenam dan duduk menunggu dengan sabar meskipun kelaparan. Sebelah tengah hari waktu Zuhur atau petang waktu Asar, dia tidak ada. Dan esok cuti. Tentu Sooren mencari dua orang mak cik ini pagi-pagi! Meskipun saya tinggalkan balang makanan dan mangkuk, mana mungkin Sooren dapat mengambil makanannya sendiri.

Demi Sooren, mak cik ini akan datang pagi-pagi ke Bais saat semua orang sedang seronok berpesta di Pesta Buku atau menikmati kopi panas dan lempeng!

Lagipun minggu hadapan, mak cik yang seorang lagi bertugas di luar. Tinggallah saya yang akan melayan Sooren sepanjang minggu.

Saya, Dr Faiz dan Sooren!

Kami sahabat yang baik, meskipun Sooren hanya muncul sekejap mengiau-ngiau kelaparan.