Total Pageviews

Saturday, January 10, 2015

Sajak pertama atau kedua 2015?



BH Ahad 11 Januari 2015.

Semalam saya sangat tidak sihat. Berpusing seperti gasing. Saya hanya ingatkan mati.Mengucap berulang kali, tidak mahu ingat emak, anak, suami, kereta, rumah, wang ringgit. Saya hanya mahu berjumpa Tuhan tetapi bagaimana? Dengan bekalan yang asyik tercicir di sana sini?

Sudah beritahu jiran, kalau dapat panggilan, lekas masuk ke dalam rumah. Sudah juga maklumkan suami dan dia kerisauan sehingga terjangkit pusing seperti gasing. Kawan-kawan pensyarah sangat baik, berita saya kurang sihat berpusing-pusing itu dengan cepat berkelintaran dalam kalangan mereka.

Saya tidak cemas. Cuma sedikit awas ketika masuk ke tandas. Kalau jatuh di situ, memang sungguh tidak seronok. Itu tempat tinggal syaitan yang direjam.

Malam, Puan Mahaya Yassin memanggil. Bertanya mengenai novel, adakah sudah terbit? Rupa-rupanya ada mesyuarat PEN dan mahu dilancarkan karya ahli. Apa boleh buat. Novel saya yang "mendukacitakan" itu masih menunggu giliran percetakan.

Dia orang yang sangat cekap, dengan cepat juga mengesan bahawa saya tidak sihat meskipun saya menggayakan suara yang segar seperti bunga kembang pagi. "Rehat Na. Jangan banyak fikir. Kak doa awak sihat..."

Saya memang sihat...hihihi. Dan aksara yang saya taip ini sedang menari-nari, tidak duduk diam di skrinnya!

Pameran Kucing di SACC terpaksa saya lupakan. Hanya menghantar pesan kepada si bongsu untuk membeli pet grass dan cat nip. Kucing-kucing itu kena menjadi kambing kalau mahu sihat.