Total Pageviews

Saturday, January 3, 2015

Resolusi Baharu? Tiada...

Sudah masuk hari ketiga tahun baharu.

Mengambil daun serai wangi yang dipotong oleh Tuti, merebusnya dan mandi. Setiap kali selepas mandi, mesti mata mahu lelap. Kenapa ya?

Tuti jiran yang baik hati. Kalau pulang ke kampung, dibawanya balik daun sireh yang lebar-lebar. Saya akan merendam dalam air panas dan minum. Dia rajin mengutip daun belalai gajah jiran yang lagi satu dan menghantarnya kepada saya. Alhamdulillah Allah mengirim jiran yang boleh dipercayai seperti itu. Dia ada akses masuk ke rumah jika didapati saya tidak keluar seharian. Maklumlah dengan kondisi kesihatan yang kurang menentu, apa-apa pun boleh berlaku.

Tahun baharu saya tidak ada resolusi apa-apa. Ada beberapa perkara yang masih bergantungan dan belum selesai. Badan saya pun sedikit lemah. Fikiran agak berselirat. Banyak hal yang saya kena bereskan sendiri. Dengan kudrat terbatas, saya masih berusaha menguruskannya meskipun lebih banyak duduk daripada berjalan...

Syukur, banjir sudah mereda. Air sudah masuk meresap ke dalam tanah atau kembali ke sungai. Saya pun tidak bimbangkan air Sungai Neruk melimpahi tebing dan meluru masuk ke teratak mak.

Syukur juga sebab pertama kali tahun baharu Masihi tidak disambut dengan kebiasaan-kebiasaan yang melemaskan. Wang disalur ke negeri-negeri yang dilanda banjir dan harapan orang ramai ialah agar bantuan itu tidak tersekat di mana-mana “pintu tol”. Biasanya begitulah, bantuan sampai kepada mangsa dalam kadar yang kurang daripada sepatutnya disebabkan ada “pengutip-pengutip tol” yang membaham wang rakyat. Orang-orang yang di atas ingatkan sudah sampai semuanya tetapi...

Tabik kepada para sukarelawan “the unsung heroes” yang bertungkus lumus di medan. Moga Allah membalas seluruh kebaikan mereka tidak kira bangsa dan agama. Kemanusiaan itu tidak mengira warna kulit.

Puteri-puteri saya berada dalam musim peperiksaan sekarang ini sehingga pertengahan Januari. Kalau tidak, saya mahu mencadangkan mereka ikut membantu di negeri-negeri yang dilanda teruk seperti Kelantan.

Hmmm...2015. Sudah tua lagi setapak. Mati pun makin mendekat.

Saya sudah jadi ibu kepada anak yang berusia dua puluh lima dan dua puluh tiga.

Moga Allah memelihara iman kita, meneguhkan kepercayaan dan kecintaan kita kepada-Nya. Mengirim orang yang baik-baik dan berhati mulia, menghalang kita daripada melakukan kemaksiatan dan kemungkaran.