Total Pageviews

Wednesday, December 31, 2014

Tahun Lama Pun Menutup Tirainya

Lama tidak menulis.

Ada dua sebab kalau jadi begitu.

Pertamanya, kurang sihat.

Kedua, sibuk.

Hari ini hari terakhir tahun 2014. Tahun yang penuh dengan cerita duka. Pesawat hilang, pesawat ditembak, pesawat jatuh. Banjir yang dahsyat, penindasan di Palestina yang tiada kesudahan, derita saudara-saudara kita di negara jauh.

Setiap kita ada episod duka termasuk saya. Tahun ini ujian sangat berat.

Walau apa pun, hidup wajib diteruskan biarpun kita terpaksa melangkah menggunakan tongkat atau berpegang di dinding. Berat ujian kita, tidak mungkin seberat derita ahli keluarga MH370 yang menunggu khabar berita mangsa yang tidak tahu hilangnya di lautan atau belantara. Beratnya ujian kita tidak sehebat duka yang meranap hati ahli keluarga MH17 atau pesawat Air Asia, atau sungai luka saudara-saudara kita di Palestina, di Syria, di Myanmar, bahkan di pantai timur Semenanjung Tanah Melayu.

Jika kita tidak berkasut, lihat mereka yang tidak berkaki.

Mari kita sibukkan diri dengan memujuk hati sendiri. Kalau kita diuji dengan anak, ibu bapa kita dahulu telah letih diuji dengan perangai kita. Kalau kita diuji dengan sakit, berapa ramai orang di luar sana yang lebih teruk sakitnya daripada kita.

Kesukaran-kesukaran hidup ini tidak akan berhenti.

Tetapi kita tidak boleh berhenti untuk mencari jalan keluar dari kotak hidup yang berliku-liku itu.

Terima kasih atas kasih sayang Allah yang memberikan segala peluang untuk saya menghirup udara milik-Nya. Terima kasih mak (dan Allahyarham ayah), suami, puteri-puteri saya, kakak-kakak, abang, adik-adik lelaki saya, kaum keluarga, sahabat handai, jiran tetangga, pakar-pakar perubatan, bulus-bulus saya; anda menjadikan hidup saya lebih bermakna.

Percayalah, kehidupan dan ujiannya adalah sesuatu yang sangat menakjubkan!

No comments: