Total Pageviews

Sunday, January 18, 2015

Manusiakah Si Kucing?

Seorang bayi ditinggalkan orang dalam musim dingin di Rusia.

Datang seekor kucing jalanan, masuk ke dalam kotak dan memanaskan bayi itu yang hampir mati kesejukan.

Saya tertanya-tanya, yang mana satu sebenarnya manusia dan yang mana satu pula binatang?

Tidak kisahlah sama ada ibu kucing itu masuk ke dalam kotak disebabkan naluri keibuannya atau dia juga mahu menumpang hangat badan anak manusia yang terbuang itu.

Yang pentingnya ialah, manusia begitu tega membuang bayi di jalanan dan kucing itu telah menyelamatkannya daripada mati kaku.

Manusia ada waktunya menjadikan seketul benda yang terletak cantik di tempurung kepalanya sebagai hiasan semata-mata.

Memang tidak berotak!!!

Saturday, January 17, 2015

Tragedi Buah Epal

An apple a day keep the doctor away

Semuanya sudah jadi terbalik.

Kalau makan epal kena jumpa doktor.

Saya terbaca hal ini di dinding sepupu saya, Dr Zainal Omar, Pengarah Kesihatan Pahang (mantan Pengarah Kesihatan NS) berkaitan epal terlarang. Tetapi belum ada pengesahan. Saya pandang sahaja epal yang ada di atas meja. Oleh sebab saya sangat jarang menonton televisyen, saya tidak tahu sama ada disiarkan dalam berita atau tidak.

Esoknya, di akhbar pagi, saya membaca ini...

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyekat kemasukan epal jenis Gala dan Granny Smith dari Amerika Syarikat ke Malaysia kerana dipercayai tercemar oleh bakteria Listeriosis, kata Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Khabarnya sudah ada tiga kematian di Amerika.

Saya membuang epal-epal itu ke dalam bakul sampah. Lekas pula menghantar mesej kepada si sulung yang memang pemakan epal. Juga kepada kakak di Ipoh, sebab dia rajin membelikan buah-buahan untuk emak.

Memang susahlah kalau begini. Makan buah dan sayur sebab mahu sihat walafiat, rupa-rupanya ada kebarangkalian tercemar dengan bakteria.

Saya pun menukar buah. Saya beli limau lokam.

Saturday, January 10, 2015

Sajak pertama atau kedua 2015?



BH Ahad 11 Januari 2015.

Semalam saya sangat tidak sihat. Berpusing seperti gasing. Saya hanya ingatkan mati.Mengucap berulang kali, tidak mahu ingat emak, anak, suami, kereta, rumah, wang ringgit. Saya hanya mahu berjumpa Tuhan tetapi bagaimana? Dengan bekalan yang asyik tercicir di sana sini?

Sudah beritahu jiran, kalau dapat panggilan, lekas masuk ke dalam rumah. Sudah juga maklumkan suami dan dia kerisauan sehingga terjangkit pusing seperti gasing. Kawan-kawan pensyarah sangat baik, berita saya kurang sihat berpusing-pusing itu dengan cepat berkelintaran dalam kalangan mereka.

Saya tidak cemas. Cuma sedikit awas ketika masuk ke tandas. Kalau jatuh di situ, memang sungguh tidak seronok. Itu tempat tinggal syaitan yang direjam.

Malam, Puan Mahaya Yassin memanggil. Bertanya mengenai novel, adakah sudah terbit? Rupa-rupanya ada mesyuarat PEN dan mahu dilancarkan karya ahli. Apa boleh buat. Novel saya yang "mendukacitakan" itu masih menunggu giliran percetakan.

Dia orang yang sangat cekap, dengan cepat juga mengesan bahawa saya tidak sihat meskipun saya menggayakan suara yang segar seperti bunga kembang pagi. "Rehat Na. Jangan banyak fikir. Kak doa awak sihat..."

Saya memang sihat...hihihi. Dan aksara yang saya taip ini sedang menari-nari, tidak duduk diam di skrinnya!

Pameran Kucing di SACC terpaksa saya lupakan. Hanya menghantar pesan kepada si bongsu untuk membeli pet grass dan cat nip. Kucing-kucing itu kena menjadi kambing kalau mahu sihat.

Saturday, January 3, 2015

Resolusi Baharu? Tiada...

Sudah masuk hari ketiga tahun baharu.

Mengambil daun serai wangi yang dipotong oleh Tuti, merebusnya dan mandi. Setiap kali selepas mandi, mesti mata mahu lelap. Kenapa ya?

Tuti jiran yang baik hati. Kalau pulang ke kampung, dibawanya balik daun sireh yang lebar-lebar. Saya akan merendam dalam air panas dan minum. Dia rajin mengutip daun belalai gajah jiran yang lagi satu dan menghantarnya kepada saya. Alhamdulillah Allah mengirim jiran yang boleh dipercayai seperti itu. Dia ada akses masuk ke rumah jika didapati saya tidak keluar seharian. Maklumlah dengan kondisi kesihatan yang kurang menentu, apa-apa pun boleh berlaku.

Tahun baharu saya tidak ada resolusi apa-apa. Ada beberapa perkara yang masih bergantungan dan belum selesai. Badan saya pun sedikit lemah. Fikiran agak berselirat. Banyak hal yang saya kena bereskan sendiri. Dengan kudrat terbatas, saya masih berusaha menguruskannya meskipun lebih banyak duduk daripada berjalan...

Syukur, banjir sudah mereda. Air sudah masuk meresap ke dalam tanah atau kembali ke sungai. Saya pun tidak bimbangkan air Sungai Neruk melimpahi tebing dan meluru masuk ke teratak mak.

Syukur juga sebab pertama kali tahun baharu Masihi tidak disambut dengan kebiasaan-kebiasaan yang melemaskan. Wang disalur ke negeri-negeri yang dilanda banjir dan harapan orang ramai ialah agar bantuan itu tidak tersekat di mana-mana “pintu tol”. Biasanya begitulah, bantuan sampai kepada mangsa dalam kadar yang kurang daripada sepatutnya disebabkan ada “pengutip-pengutip tol” yang membaham wang rakyat. Orang-orang yang di atas ingatkan sudah sampai semuanya tetapi...

Tabik kepada para sukarelawan “the unsung heroes” yang bertungkus lumus di medan. Moga Allah membalas seluruh kebaikan mereka tidak kira bangsa dan agama. Kemanusiaan itu tidak mengira warna kulit.

Puteri-puteri saya berada dalam musim peperiksaan sekarang ini sehingga pertengahan Januari. Kalau tidak, saya mahu mencadangkan mereka ikut membantu di negeri-negeri yang dilanda teruk seperti Kelantan.

Hmmm...2015. Sudah tua lagi setapak. Mati pun makin mendekat.

Saya sudah jadi ibu kepada anak yang berusia dua puluh lima dan dua puluh tiga.

Moga Allah memelihara iman kita, meneguhkan kepercayaan dan kecintaan kita kepada-Nya. Mengirim orang yang baik-baik dan berhati mulia, menghalang kita daripada melakukan kemaksiatan dan kemungkaran.