Total Pageviews

Tuesday, November 18, 2014

Meledani Waktu. Dan Mak.

“Kalau tidak sedap hati, balik sahajalah kak” kata Adik Faiz.

Rupa-rupanya hari itu sudah Khamis. Maknanya kena cepat isi borang cuti. Petang Khamis saya menuju ke kampung. Hujan sangat lebat. Angin ribut yang kuat. Sampai di Lebuh raya Guthrie, suami menghantar mesej, “berhenti di sisi jalan. Hujan sangat lebat...”

Memang tidak nampak apa yang ada di hadapan. Jadi, saya pun berhenti di sisi jalan. Menunggu dan menunggu hujan mereda. Ada beberapa kereta juga ikut berhenti. Dalam hati saya sedikit rusuh, sampaikah saya ke kampung yang jauhnya beribu batu?

Tidak mengapa, pasti Allah membantu saya. Mula-mula terfikir mahu menginap semalam di apartmen si bongsu, tetapi kemudiannya saya nekad meneruskan perjalanan. Kalau mak di tempat saya, pasti mak pun akan berbuat seperti saya. Saya tidak singgah di Puncak Alam atau mengambil barang yang mahu dikirim suami. Tidak sempat. Hari semakin gelap dan muram.

Perlahan-lahan saya menyusuri gelap malam menuju ke kampung bersama si Baby. Dia menangis sehingga ke Nilai. Kemudian saya baru teringat mahu memasang CD surah untuk kanser. Setelah memasangnya, barulah dia tenang sedikit. Dia duduk diam di hujung kaki kiri saya. Tidak mengganggu pemanduan.

Berhenti juga untuk ke tandas. Kena berkorban sedikit dengan berhenti di hentian sebelah sebab parkirnya dekat dengan tandas.

Jam sembilan malam baru saya tiba di halaman mak. Mak sedang solat. Nampak wajahnya tidak seceria biasa. Kudratnya sudah banyak hilang.

Esoknya pagi-pagi saya ke pasar. Balik dan masak sup untuk mak. Sebelah petang, saya masak tomyam pula. Seronok lihat mak makan walaupun saya tahu mak hanya mahu mengambil hati saya. Selera mak sudah tiada.

Malamnya saya dan abang ke Ipoh, ada hal kecemasan. Lama kami di sana. Jam dua pagi baru tiba semula ke rumah mak. Esoknya pagi Sabtu saya memasak untuk mak dan anak-anak saudara yang ada di rumah sebelum bergerak semula ke Ipoh untuk ke Darussyifa’.

Jam tujuh pagi Ahad, saya ke pasar Lenggong. Pekan kecil itu lengang. Saya membeli sayur-sayuran dan bekalan dapur untuk mak. Hampir terpijak seekor adik kecil yang membulat di ruang pejalan kaki. Barangkali cuaca dingin menyebabkan dia tidur di situ. Saya memegang belakang lehernya dan memasukkan ke dalam kereta.

Adik kecil itu menangis kuat. Bingit sekali. Tetapi sampai ke sekitar perkuburan Cina, dia senyap. Saya fikir dia sudah kepenatan. Apabila tiba di rumah, barulah saya tahu diamnya bersebab. Dia menyelongkar ikan rebus dalam plastik dan makan seekor ikan dengan lahapnya.

Sampai di rumah, mak mandikan adik kecil itu dan membalutnya. Kasihan dia. Mudah-mudahan dia sihat sejahtera dalam peliharaan mak.

Saya menuju ke ibu negeri tempat saya menumpang duduk dengan dua ekor makhluk berbulu. Singgah sebentar di Puncak Alam, makan bersama si bongsu dan memberikan wang minyak keretanya. Kemudian singgah pula di Bangi menjenguk si sulung. Dia kelaparan sebab kafe kolej kediamannya tutup. Kami ke pasar raya untuk membeli barangan keperluan.

Waktu menunggu si sulung di luar pasar raya, saya ditegur seseorang.

“Kak, ini baka benggal ya? Anak saya beritahu. Kak nak jual?”

Lelaki itu dengan dua anaknya melihat-lihat si Baby.

“Ya, benggal marble...”

Kami bercerita banyak perihal kucing. Mereka sekeluarga peminat baka benggal dan scottish fold. Katanya, harga benggal mahal. Saya kata tidaklah semahal baka spinx yang tiada bulu. Harga baka itu mencecah RM10 ribu. Anaknya yang perempuan ganas sedikit. Saya bimbang si Baby stres. Jadi saya kata, “hati-hati dik. Kucing ni agresif...” sebenarnya Baby hyper-active, bukan agresif.

Setelah keluarga itu pergi, datang lagi beberapa orang. Antaranya ialah pelatih veteriner. Dia menunjukkan beberapa gambar pembedahan untuk memandulkan kucing. Lama juga melayannya sebab dia juga sukakan baka benggal.

Saya sampai di rumah menghampiri Isyak. Mengemaskan keperluan ahli baru dan si Baby, kemudian mencuci kain baju.

Sesi berkenalan berlaku antara dua kucing itu. Malamnya saya tidur dengan Baby sebab si Comel belum saya mandikan. Malam kedua barulah dua-duanya tidur dengan saya. Sukar juga mahu tidur sebab mereka berkejaran bermain dalam bilik. Akhirnya sejuk pendingin hawa menyebabkan mereka lena. Si Comel naik ke atas badan saya, mujur saya tidur dengan memakai topeng penutup mulut dan hidung.

Hari ketiga, kedua-duanya sudah boleh makan bersama. Baby tidak lagi hairan melihat ada entiti lain dalam rumah. Hari ini atau esok, saya akan bawakan si Comel ke klinik untuk mendapatkan suntikan, sementara Baby dihantar untuk grooming. Kukunya sudah panjang. Calar-balar tangan saya dibuatnya.

Menelefon mak awal pagi ini, terdengar suaranya lesu. Bertahanlah mak, saya akan mencuri waktu untuk pulang dan menemani mak.

Betapa banyak pun kita meladeni ibu bapa kita, perbandingannya masih seperti langit lazuardi dan kerak bumi.

Tidak akan sama selama-lamanya.

Mereka telah mengorbankan kegembiraan hidup untuk kita. Dengan kesempitan hidup dan kurang ilmu, mereka membesar dan mendidik kita.

Tetapi kita yang ada wang dan ijazah pertama, kedua dan ketiga...tidak menghasilkan didikan yang bagus seperti mereka.

Jelaslah bahawa wang, pangkat dan ilmu dunia bukan ukuran kejayaan mendidik keturunan. Semuanya bermula daripada keberkatan.

Ya. Keberkatan!