Total Pageviews

Wednesday, November 19, 2014

Perempuan dan Penjara-penjaranya

“Susah betul kahwin dengan orang yang kedekut dan terlampau berkira...” keluhnya. Mukanya yang manis sudah hilang kemanisan. Kes berat ni, fikir saya.

Saya menadah telinga, bersedia untuk mendengar. Bukan mudah untuk seorang isteri pendiam sepertinya meluahkan sesuatu kepada orang lain. Hambatan dosa sentiasa mengejar kerana membuka aib pasangan.

“Sudah lama?” tanya saya.

“Sebelum kahwin lagi sudah tahu tapi...puan pun arif kan...kita ini kalau bercinta, semuanya bisa diatur...”

Alamak, macam ada najis burung garuda jatuh setempek ke muka saya! Hmm...kata-katanya memang dua ratus peratus benar. Kita fikir cinta mampu mengubah manusia dan diri kita, tapi ternyata hakikatnya hampas-hampas belaka.

Saya berlucu, “tapi puan perasan tak? Orang kedekut pun tak suka kalau ada orang yang kedekut dengan dia...”

Dia tersengih sedikit. Saya beritahu dia, saya sendiri tidak boleh tahan berkawan dengan orang yang kedekut, berkira dan suka mengambil kesempatan.

“Ya la, puan. Mula-mula saya boleh bertahan. Tapi lama-lama apabila semua perkara saya yang kena bayar, kena urus...saya manusia biasa. Lama-lama saya rasa penat sangat dan tertekan. Kalau yang melibatkan kepentingan dirinya dan keluarganya, saya kena berkorban tidak kira masa, kena memahami kekangan-kekangan mereka, tetapi apabila melibatkan hal saya...”

Memang dia isteri baik. Saya mengesannya daripada atur bahasanya yang begitu awas dan tersekat-sekat. Seperti yang saya katakan tadi, kita diajar untuk mentaati suami, menyimpan aibnya sehingga memakan hati kita sendiri.

“Sebenarnya agama kita tidak ajar begitu, puan. Suami yang kena jaga kita sebab kita adalah amanah Allah, bukan kita yang jaga dia sampai jadi seperti babu. Puan biasa dengar kan, selepas menjadikan kita babu, suami akan cari lain, yang lebih bergetah dan serupa peragawati...” katanya.

Kedekut-kedekut pun ada hati mahu cari yang serupa peragawati? (Tiba-tiba juga saya teringat teka-teki si Irfan, "binatang apa yang kedekut?")

Sebenarnya saya mahu menambah begini...”yang serupa peragawati itu macam buah yang cantik kulitnya tetapi dalam berulat...” tetapi saya simpan sahaja kata-kata itu. Saya tidak boleh menambah garam dalam gulai yang sudah sedia masin.

Saya pernah mendengar ustaz menyebut, suami kena faham maksud wang nafkah dan wang dapur. Kalau tidak jelas bayaran untuk yang mana satu, suami kena minta halal daripada isterinya. Kadang-kadang isteri menggunakan wangnya sendiri untuk membeli barang dapur, membayar bil, dan sebagainya sedangkan sepatutnya itu di bawah tanggungjawab suami.

Jangan main-main dan anggap enteng, kata ustaz. Esok-esok di akhirat, jenuh mahu menjawab soalan daripada Allah SWT.

“Orang lelaki sekarang...” katanya, “sudah tiada harga diri sebagai lelaki...”

Oh, oh...saya memahami perempuan seperti ini. Dia seperti gunung berapi pendam yang begitu lama berdiam dan bertahan. Ramai yang begitu di sekitar kita, barangkali termasuklah diri kita sendiri.

“Ada isteri atau suami yang dapat pasangan yang sangat bagus, tetapi tidak bersyukur pula. Kalau kena macam saya, baru mereka tahu!” dia menamatkan kisahnya dengan lega. Ada banyak hal yang diceritakan tetapi terpaksa off record. Dia membenarkan saya menulis “untuk perkongsian dengan mereka yang senasib dan sebagai iktibar kepada yang sedang bercinta”.

Awalnya saya kurang berminat mahu menulis tentang hal rumahtangga. Kepenatan yang sejak Khamis lalu menghuni jasad saya, belum terusir. Sudah seminggu ini tidur saya tidak cukup. Kepenatan seperti pakaian yang melekat di tubuh.

Tetapi wajahnya berapungan di udara ingat.

Wajahnya yang sedih. Tutur katanya yang diamuk rasa bersalah. Beban yang bersesakan dalam minda. Dirinya yang terkurung dalam kepiluan yang hanya dirinya sendiri yang mengerti.

Apa pun, itulah nasibnya menjadi perempuan dalam masyarakat yang seperti kita ini.

Kenyataan sarkastik? Kejam?Tidak berpijak di bumi nyata? Berbau feminisme? Pesimis? Prejudis?

Apa-apalah ya!