Total Pageviews

Monday, November 17, 2014

Irfan Si Budak Bandar

Ahad, saya ke pasar awal pagi. Pulang dan memasak untuk mak. Memastikan mak makan sebelum saya ke Ipoh menghantar anak-anak saudara saya, langsung mahu bergerak pulang ke ibu negeri tempat saya menumpang duduk.

Sepanjang perjalanan kami bermain siapa yang paling banyak pilihan warna kereta. Saya memilih warna putih, Iskandar biru dan Irfan merah. Rupa-rupanya permainan tahun awal 70-an semasa saya masih di tadika dan sekolah rendah itu, masih dimainkan oleh budak-budak sekarang. Bezanya, zaman kecil saya, kereta belum begitu banyak. Kami biasanya duduk di pondok menunggu bas sambil mengira kereta yang lalu.

Sampai di Sungai Siput, kereta warna putih sudah mencapai angka seratus. Jadi, saya mengisytiharkan diri sendiri sebagai pemenang dan secara automatiknya menarik diri daripada pertandingan. Saya memberi harapan kepada Irfan, “mana tahu tiba-tiba ada konvoi kereta berwarna merah!”

Anak-anak saudara saya itu seorang di tahun satu dan abangnya di tingkatan satu. Irfan bertanya mengapa kereta banyak yang berwarna putih.

“Warna putih sesuai dengan cuaca panas di Malaysia...” terang saya.

Malangnya, sehingga ketika tiba di Ipoh, Irfan masih kekal di posisi akhir.

Dua malam lepas, budak dua orang itu mengikut saya balik ke kampung. Irfan mahu duduk di hadapan. Jenuh mendengar dia bersembang. Jam menunjukkan pukul satu setengah pagi tapi dia masih rancak berbual, bermain teka teki dan meminta saya bergilir-gilir bercerita.

Kulitnya cerah, berambut kerinting seperti gemulah ayah saya. Mukanya sentiasa senyum, gigi sebaris cantik. Dia suka makan menyebabkan badannya tembam. Paling menarik mengenai Irfan ialah dia suka bersembang, malahan kadang-kadang ayat yang dituturkan kelihatan begitu skema dan lucu.

Malam kedua, jam sudah lewat juga menghampiri dua belas lebih. Awalnya dia beritahu bahawa dia sudah kenyang. Tetapi entah bagaimana, dia mahu makan nasi dan meminta saya goreng telur separuh masak.

“Telor mata?” tanya saya.

“Bukan! Telor separuh masak. Tak apa, nanti saya ajar makyang!”

Dia meminta saya meletakkan minyak dalam kuali. Kemudian pecahkan telor. Terbalikkan dan pastikan jangan masak sangat.

“Ha, tengok tu. Biar meleleh. Budak bandar saja yang pandai makan telor macam ini. Umi (ibunya) sahaja yang pandai buat. Orang kampung macam makyang dan ayah memanglah tak pandai...”

Hahahaha...sabar sahajalah!

Ketika di masjid menunaikan solat, ada sekali kawan-kawan ayahnya mengirim gambar si Irfan sedang solat sambil duduk atas kerusi. Bila ditanyakan mengapa dia solat duduk, katanya dia sangat penat.

Ketika kami solat berjemaah dan menunaikan solat hajat, dia yang paling lama sujud. Orang sudah lama memberi salam, dia masih sujud.

Uminya bertanya apa yang dia minta kepada Allah. Katanya, “banyak! Saya minta mula-mula mahu jadi kaya sebab mahu beli permainan robot. Kedua, saya minta supaya Angah jangan buli saya lagi...bla bla”. Angah ialah abangnya yang kedua.

Meskipun masih kecil, banyak yang boleh kita teladani daripada sifat dan sikap kanak-kanak. Mereka jujur dan tidak pandai menipu. Kita yang sudah dewasa ini ibarat kain sebidang yang sudah berlumuran dengan simbahan lumpur dosa.

Santuni kanak-kanak dan orang-orang tua, maka hidup kita akan sentiasa dibukakan pintu kebahagian dari segenap arah meskipun di mata orang banyak, kita insan yang tidak punya kekayaan materi.