Total Pageviews

Monday, September 29, 2014

Zakaria: Ada Yang Tiada

Betapa kehidupan telah mengujinya begitu.

Namanya Zakaria. Tua setahun dua daripada saya. Dia bersekolah rendah di kampung kami. Menempuh zaman kanak-kanak yang biasa. Waktu itu sekitar tahun 60-an dan 70-an, kampung kami masih dilatari dengan pemandangan sawah padi.

Sungai di dada kampung kami jernih dan tenang. Sesekali kalau hujan di hulu, dengan cepat airnya menguning teh susu dan melimpah hingga ke luar tebing. Selalu juga setelah surut, kami mengutip ikan-ikan yang berlompatan di lopak kecil tinggalan banjir.

Zakaria seperti anak kampung lain, sesekali berendam di sungai, ikut mengutip ikan yang berlompatan, memancing atau memasang tauk dan ada kalanya bermain lumpur di sawah. Dia berkulit agak gelap, gempal sedikit seperti gemulah bapanya.

Saya tidak ingat bila apabila Zakaria tidak lagi muncul di sungai atau di sawah.

Saya pun tidak bertanyakan emak dan gemulah ayah, akan keberadaan Zakaria. Oleh sebab itu kami terus melupakan Zakaria sehinggalah sekarang.

Anak-anak saudara saya yang tinggal di kampung pasti tidak tahu bahawa masih ada seorang warga kampung yang namanya Zakaria. Zakaria tidak menamatkan pengajian sekolah menengahnya sebab dia lumpuh. Rumahnya itu adalah dunianya.

Saya sendiri sudah puluhan tahun tidak melihatnya. Tidak dapat membayangkan bagaimanakah rupa Zakaria sekarang. Kata emak, badannya gempal. Dia juga kuat membaca. Kalau diajak bicara, bicaranya bagus.

Jika diikutkan kami masih ada bau bacang dari sebelah gemulah ayah.

Saya tidak tahu mengapa saya teringatkan Zakaria, insan sekampung yang dilupakan. Mungkin dia sudah lima puluh tahun. Dia dijaga ibu dan keluarganya dengan penuh prihatin. Tidak dapat membayangkan dunia Zakaria yang terbatas pandangan dan pergerakan. Dia melihat dunia luar melalui kaca televisyen dan akhbar. Sesekali kalau tiba hari mengundi, khabarnya dia akan disorong ke tempat pengundian.

Terbelakah nasib orang kelainan upaya seperti Zakaria, yang undinya dirayu ketika diperlukan? Kemudian selepas menang pilihan raya, orang seperti Zakaria dilupakan begitu sahaja walaupun mungkin dia penyokong kuat calon yang menang.

Saya seperti mahu mengenalkan Zakaria kepada anak-anak dan anak-anak saudara saya.

Dia insan sekampung yang dilupakan. Dia wujud tetapi tidak dikenali. Lima tahun sekali undi seorang Zakaria sangat berharga.

Dan kemudian dia kembali ke dunianya yang sepi. Lima tahun lagi jika usia Zakaria panjang, dia akan kembali diingati!